Tak Ramai Yang Tahu, Ini Realiti Gelandangan Di Pelabuhan Klang Yang Jarang Diceritakan

Oleh: NUR ADNIN ABDUL RAZAK

APABILA sebut tentang gelandangan, pasti akan terbayang dalam minda kita sosok tubuh yang berpakaian ‘sederhana’ lengkap, tidur di kaki lima dari malam hingga ke terbit fajar, makan apa yang ada dan banyak lagi.

Umumnya, gelandangan yang biasa terpapar kisahnya di media massa dan media sosial ialah yang mereka yang kebanyakannya ‘menetap’ di sekitar celahan bangunan di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur.

Namun, tidak ramai yang tahu bahawa rupa-rupanya terdapat banyak lagi ‘jajahan’ lain di sekitar Lembah Klang yang menjadi wilayah mereka. Antara lokasi lain yang menjadi lubuknya ialah di Pelabuhan Klang, Meru dan Kapar.

Jika anda menerjah ke bangunan-bangunan kosong di sekitar bawah jambatan berhampiran Hentian Bas Pelabuhan Klang, anda akan dapati kebanyakan ruang usang tersebut dihuni oleh segenap mereka.

Bahkan, ada antaranya juga yang tidur di kaki lima di bangunan-bangunan premis di sekitarnya. Baring hanya untuk tidur, sebelum bingkas semula memulakan rutin harian pada pagi keesokannya.

Populasi bertambah sejak pandemik

Secara kasarnya, statistik gelandangan di Pelabuhan Klang ini pada asalnya hanyalah kira-kira 200 ke 300 orang setahun. Namun angka itu meningkat hingga 500 orang sejak COVID-19 melanda negara awal tahun lalu.

Menjadi gelandangan bukanlah pilihan mereka. Tapi tidak mustahil ia mungkin keputusan terakhir yang perlu dibuat. Difahamkan, kebanyakannya berpunca daripada masalah keluarga, dibuang ahli keluarga, dibuang kerja dan lain-lain.

Selain itu, sebahagian besar mereka juga langsung tidak mempunyai rumah. Pendek kata, hidup sekadar dengan apa yang ada sahaja. Sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak, masing-masing ada rutinnya sendiri.

Sebahagian gelandangan di Hentian Bas Pelabuhan Klang | Gambar: MVM

Bagi dewasa yang tidak bekerja atau kanak-kanak yang tidak bersekolah, mereka akan mengutip tin dan besi buruk. Ada juga yang mengambil upah jaga kebun. Malangnya, ada yang mencari ‘rezeki’ untuk membeli ‘bahan’ terlarang.

Keberadaan mereka di sekitar Pelabuhan Klang ini bukanlah perkara asing bagi penduduk tempatan. Dikatakan sebahagian penduduk sudah boleh terima keadaan gelandangan ini. Tidak semuanya yang berbahaya.

Pernahkah gelandangan ini diserbu? Ya. Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) melakukan serbuan dan tangkapan untuk satu tempoh tertentu. Ada yang dihantar ke Jabatan Imigresen, ada juga yang dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Peranan kerajaan dalam isu gelandangan Pelabuhan Klang

Berkisar mengenai peranan agensi kerajaan dalam isu gelandangan di Pelabuhan Klang ini, hakikatnya golongan ini tidak pernah ‘jauh’ daripada pemantauan MPK. Serbuan dan tangkapan bukanlah semata-mata solusi yang ada.

Pihak MPK sebelum ini pernah mewujudkan sebuah pusat transit gelandangan di sini. Difahamkan, tempoh pendudukan bagi setiap gelandangan adalah selama enam bulan beserta pemantauan.

Sebahagian gelandangan di Hentian Bas Pelabuhan Klang | Gambar: MVM

Selain itu, MPK turut menawarkan kerja sampingan kepada mereka seperti jaga tandas, jaga dewan dan sebagainya. Mereka turut diberi sejumlah gaji sebagai duit poket untuk kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, MPK juga menjalankan banyak program khidmat sosial khas buat golongan gelandangan ini, antaranya adalah aktiviti gotong-royong. Mereka agak seronok kerana dapat berbakti, selain turut diberi jamuan makanan.

Tidak hanya MPK, malah agensi lain seperti Lembaga Zakat Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO) juga turut sering turun padang menyantuni mereka. Pendek kata, gelandangan Pelabuhan Klang bukanlah minoriti yang terbiar sepi.

Gelandangan diberi suntikan vaksin

Negara kini sedang berusaha mencapai imunisasi kelompok (herd immunity). Sebagai langkah utama, kerajaan sedang mempergiatkan usaha vaksinasi secara besar-besaran terhadap semua lapisan rakyat.

Begitulah juga inisiatif yang dijalankan MPK apabila agensi tersebut turut menyasarkan pemberian vaksin COVID-19 kepada gelandangan-gelandangan di sekitar Pelabuhan Klang.

Justeru, Program Vaksinasi COVID-19 Gelandangan Di Sekitar Pelabuhan Klang anjuran MPK telah dijalankan pada 19 September baru-baru ini dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

Sebahagian gelandangan di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang | Gambar: MVM

Kira-kira 138 orang gelandangan termasuk bukan warganegara telah tampil ke Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang pada pagi tersebut bagi mendapatkan suntikan vaksin Cansino yang hanya memerlukan satu dos suntikan.

Kehadiran mereka bukanlah secara walk-in semata-mata, tetapi sudah didaftar yang mana maklumat mereka telah mula dikumpulkan sejak bulan lepas melalui beberapa siri serahan bantuan pek makanan oleh NGO-NGO.

Menariknya, setiap seorang daripada mereka diberikan sekeping kad vaksin seakan sijil digital dalam aplikasi MySejahtera sebagai bukti sudah divaksin, selain turut boleh digunakan sebagai rujukan untuk tujuan perubatan.

Usaha-usaha NGO & masa depan gelandangan

Mengenai masa depan gelandangan di sini, terdapat satu perancangan besar oleh NGO Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dan Pertubuhan Komuniti Sahabat Harmoni (KASEH) yang turut terlibat sama dalam program vaksinasi tersebut.

Antara usaha NGO-NGO ini adalah mereka sedang berusaha mendapatkan premis kosong yang terletak di tingkat atas Hentian Bas Pelabuhan Klang di sini untuk dijadikan sebagai pusat transit gelandangan.

Kesimpulannya, gelandangan di Pelabuhan Klang ini mungkin tidak se’popular’ seperti gelandangan di Kuala Lumpur. Kisah mereka juga jarang diceritakan di media sosial. Kewujudan mereka seakan tidak diketahui.

Namun jauh di sudut lain, hakikatnya mereka juga kelompok minoriti yang perlu dibantu. Inilah peranan kita untuk membuktikan bahawa Malaysia adalah sebuah ‘rumah’ besar yang berhak diduduki dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Sebahagian gelandangan di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang | Gambar: MVM
Sebahagian gelandangan di Klinik Kesihatan Pelabuhan Klang | Gambar: MVM

**Nota: maklumat mengenai gelandangan ini diperoleh semasa temubual rambang penulis bersama pegawai tadbir Majlis Perbandaran Klang ketika terlibat dalam program vaksinasi tersebut.