Solat Dhuha – Rebut 6 Kelebihan Yang Dijanjikan

Solat Dhuha – Rebut 6 Kelebihan Yang Dijanjikan

Dhuha adalah waktu yang tercatat di dalam al-Quran. Istimewanya waktu ini sehinggakan Allah bersumpah dengannya di dalam surah Ad-Dhuha : “Demi waktu Dhuha”. Pernahkah kita terfikir kenapa Allah bersumpah dengan waktu Dhuha? Kenapa tidak dengan waktu-waktu yang lain? Imam Ar-Razi berkata andai Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ia menunjukkan perkara itu adalah sangat penting.
Dhuha bermaksud ‘pagi hari’ atau ‘panas sinar hari’. Waktu inilah manusia-manusia semua berkejar-kejaran keluar untuk mencari rezeki. Namun disebalik waktu ini Allah sebenarnya menyaran untuk meninggalkan ‘kejar-kejaran’ itu dan menunaikan solat sunat Dhuha. Waktunya adalah dari matahari naik setinggi segalah sehingga tergelincirnya matahari (masuk waktu Zohor).
Solat sunat Dhuha adalah solat bagi orang-orang yang mahu ‘kembali’. Kembali ke mana? Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

“Solat Dhuha itu adalah ( solatul awwabin ) solat orang yang kembali kepada Allah, setelah orang mulai lupa dan sibuk bekerja, iaitu pada waktu anak-anak unta mula bangun kerana mulai panas tempat pembaringannya.” (HR Muslim )

Ya, solat Dhuha itu adalah solat orang yang mahu kembali kepada Allah. Maka kerana itulah terlalu banyak fadilat solat Dhuha yang disebut sendiri oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat. Berikut adalah antara ‘hadiah-hadiah’ yang dijanjikan Allah kepada sesiapa yang jatuh cinta dengan solat Dhuha.
1. Dicukupkan Rezeki.
Allah S.W.T menjamin rezeki yang cukup kepada hambanya yang mempunyai masa untuk solat Dhuha. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”
(Hadis Riwayat Abu Dawud)
2. Rumah Di Syurga.
Rasulullah S.A.W memberi motivasi kepada orang yang rajin memperuntukkan sedikit waktu paginya untuk Solat Dhuha dengan sabda baginda, “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” 
(Sahih al-Jami’: 634)
3. Nilai Seperti Bersedekah.
Sesungguhnya di dalam badan kita ini terdapat 360 sendi pinjaman Allah. Sendi inilah yang membolehkan kita bekerja dan menjalani kehidupan. Maka sendi-sendi ini ada hak-haknya yang perlu kita langsaikan.
Dari Abu Dzar, dari Rasulullah S.A.W beliau bersabda : “Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha”
( Hadis Riwayat Muslim )
4. Diampunkan Dosa Terdahulu.
Sesungguhnya Allah amat rindu pada hambanya yang ingin menyucikan dosa. Sebanyak mana dosa yang kita lakukan, pintu keampunan Allah tidak pernah tertutup. Solat Dhuha adalah antara pintu ampunan yang disediakan oleh Allah. Rasulullah S.A.W berkongsi kelebihan solat Dhuha yang kita lakukan di dalam sabdanya :
“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”
(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
5. Memperoleh Keuntungan Besar
Atau dalam bahasa Arabnya disebut Ghanimah. Dikisahkan bahawa Rasulullah S.A.W mengutus tentera Islam berperang melawan musuh Allah. Dengan izin Allah, tentera Islam menang dan  mendapat harta rampasan yang banyak. Orang ramai bercerita singkatnya peperangan itu dan banyaknya harta rampasan perang yang diperoleh. Kemudian Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa ada yang lebih utama dan lebih mudah memperoleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak iaitu shalat Dhuha.
Rasulullah S.A.W bersabda : “Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.”
(Sahih al-Targhib : 666)
6. Mendapat Pahala Umrah.
Rugi kalau kita tidak mahu lagi kerjakan solat Dhuha jika secara terang-terangan Allah menganugerahkan pahala umrah melaluinya. Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda“Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”
(Sahih Al-Targhib: 673)
Selepas usai solat Dhuha, janganlah kita berlalu pergi. Duduk sebentar dan berdoalah dengan doa ini. Doa yang disunatkan untuk kita baca selepas solat Dhuha. Jika diteliti dan difahami doa ini sangat hebat maksudnya. Sangat kena dengan kita yang sering tercari-cari jalan keluar kepada kesempitan rezeki.

 
Erti bacaan doa Solat Dhuha :

“Ya Allah bahawasanya waktu Dhuha itu waktu Dhuha-Mu, kecantikan itu ialah kecantikan-Mu, keindahan itu keindahan-Mu, kekuatan itu kekuatan-Mu, kekuasaan itu kekuasaan-Mu dan perlindungan itu perlindungan-Mu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit, turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu Dhuha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaan-Mu, limpahkanlah kepada aku segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Jika kita mampu hayati maksud doa ini, solat Dhuha kita akan terasa lebih nikmat. Maka bertebaranlah mencari rezeki dengan penuh pengharapan semoga Allah bukakan pintu rezeki kita seluas-luasnya.
Jika saat ini kita sedang buntu, sedang sedih atau sedang terasa sempitnya hidup, kerjakanlah solat Dhuha selama 30 hari dan lihatlah apa yang bakal terjadi pada hidup kita. Sesungguhnya ada satu perasaan yang amat indah apabila kita sudah terbiasa melakukan Solat Dhuha. Jiwa menjadi tenang. Urusan menjadi mudah. Rezeki melimpah ruah. Cubalah kerana dengan waktu Dhuha Allah sudah bersumpah.
Tulisan : Azam Abdullah