Solat Kunci Rahsia Kejayaan Datuk Azizulhasni Awang

Gambar: FB Datuk Azizulhasni Awang

KALAU dilihat pada terjemahan ‘Hayya ‘alassolah‘, ia membawa makna ‘marilah mendirikan solat’. Manakala bagi ‘Hayya ‘alal falah’ pula, iai membawa makna ‘marilah menuju kejayaan’.

Jika dibaca kedua-duanya, ia berbunyi ‘Marilah mendirikan solat, marilah menuju kejayaan’. Inilah dua bait dalam seruan azan yang cukup bermakna bagi seorang Muslim.

Seperti yang kita tahu, solat adalah tiang agama. Segala apa yang kita laksanakan (lebih-lebih lagi ibadah) dalam hidup ini, semuanya bergantung dengan solat. Kukuh tiang, kukuhlah ‘bangunannya’.

Baru-baru ini, jagoan sukan lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi sedikit ‘rahsia’ amalan ibadah yang diamalkannya melalui satu perkongsian di Facebook.

Rupa-rupanya, semua siri kejayaan beliau sejak bertahun-tahun dahulu adalah ‘berpunca’ daripada solat. Pada beliau, sesukar mana pun cabaran yang dihadapi, solatlah. Nescaya akan ada kemudahan selepasnya.

Jom ikuti perkongsiannya di bawah ini.

“Ketika otak berserabut dengan hal dunia dan kita resah serta gelisah, pulanglah kepada fitrah.”

Gambar: FB Datuk Azizulhasni Awang

Gambar ini di ambil ketika waktu rehat semasa di Kejohanan Asia Korea pada tahun 2019 dahulu.

Kami turun ke sana dengan misi untuk mengutip mata penting di dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan saya ketika itu tidak turun dengan prestasi terbaik kerana terlibat dengan kecederaan dimana jari saya hampir putus ketika latihan (boleh baca posting sebelum ini untuk cerita penuh).

Walaubagaimanapun situasi itu tidak memutuskan harapan saya, dan saya masih ingin membawa pulang kejayaan untuk pasukan Malaysia.

Ketika ada waktu rehat pendek sebelum perlumbaan seterusnya, saya mengajak rakan sepasukan untuk ke ‘lounge’ yang disediakan dan kami memilih untuk menyelesaikan tuntutan agama di dalam keadaan yang genting tersebut.

Ketika otak berserabut dengan hal dunia dan kita resah serta gelisah, pulanglah kepada fitrah. Mohon petunjuk dan minta bantuan daripada Yang Maha Membantu dan Yang Maha Mengetahui.

Ya betul, di atas dunia ini ada pelbagai ilmu-ilmu umum yang manusia kuasai tetapi ilmu Allah itu adalah suatu yang tidak ada makhluk ketahui.

Selepas solat itu saya berlumba di final acara sprint dengan pelumba Jepun yang hadir dengan tahap kondisi yang terbaik dan merupakan pelumba pilihan untuk menang.

Tetapi jika Allah kata kemenangan itu milik kita, maka ianya akan jadi milik kita juga walauapapun halangan yang kita terpaksa tempuhi.

Syukur Alhamdulillah saya menang dan kemenangan itu membuktikan untuk cemerlang dan menang bukan hanya memerlukan kekuatan fizikal dan mental, tetapi juga kekuatan spiritual.

 

 

 

Sumber: Facebook Datuk Azizulhasni Awang