HARI ini yang bertarikh 9 Ogos 2021 merupakan hari terakhir dalam tahun 1442 Hijriah. Menjelang Maghrib nanti, secara rasminya 30 Zulhijjah 1442 akan pergi dan kita akan memasuki tahun baharu, 1 Muharram 1443.
Secara fitrahnya, setiap pengakhiran pasti akan diganti dengan permulaan baharu. Demikianlah 12 bulan dalam takwim Islam yang akan memasuki pusingan baharu beberapa jam lagi. Firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat 36:
“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi ALLAH adalah dua belas bulan, dalam ketetapan ALLAH di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (suci). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” (QS. At-Taubah: 36)
Walaupun kita semua (umat Islam khususnya) bakal beralih tahun, namun situasi dunia yang masih menderita dicengkam virus Corona belum lagi menunjukkan tanda-tanda pulihnya. Malah lebih tenat dengan kemunculan varian-varian baharu.
Mungkin secara zahiriah, salah satu ‘senjata’ untuk ‘survive‘ dalam wabak ini adalah vaksin, InsyaAllah. Malaysia juga adalah salah satu negara yang sedang giat berusaha mencapai imunisasi kelompok.
Bagaimanapun sebagai hamba Allah SWT dan umat Nabi Muhammad SAW, adalah wajar untuk kita turut ‘berusaha’ daripada sisi pandang seorang Muslim. Pendek kata, tindakan teknikal dan ‘spiritual’ itu haruslah seiringan bersama.
Hijrah tahun baharu: imunisasi jiwa
Hingga ke hari ini, satu-satunya ‘warisan’ tinggalan nabi kita, iaitu Al-Quran dan as-sunnah masih lagi terjaga kemas dalam kehidupan. Justeru, tidak mustahil jika kita turut perlu ‘menggunakannya’ sebagai ‘imunisasi jiwa’.
Istilah ‘hijrah’ itu sendiri cukup kuat untuk mendefinisikan pengamalian ‘imunisasi jiwa’, lebih-lebih lagi di kala pandemik ini. Masakan tidak, kita telah penat menghadapi kehidupan yang ‘serba muram’ sejak Mac tahun lalu.
Tidak dinafikan, pelbagai inisiatif telah dijalankan di peringkat pemerintah. Namun keganasan wabak ini memang sangat sukar dijangka. Banyak sektor terpaksa ditutup demi menghentikannya, termasuklah insititusi rumah ibadat.
Kita sesekali tidak menolak keputusan pemerintah yang menguatkuasakan undang-undang berdasarkan pandangan fatwa semasa, namun sebaiknya inisiatif kendiri daripada diri sendiri juga perlulah ‘dikuatkuasakan’ bersama.
Hijrah & strategi mendepani pandemik
Bersempena dengan 1 Muharam esok, telah tiba masanya untuk kita mendefinisikan istilah ‘Hijrah’ dengan lebih terperinci. Berhijrah daripada kekusutan, berhijrah daripada wabak, juga berhijrah dalam soal ikhtiar.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat ke-74:
“Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan ALLAH, dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada Muhajirin), mereka itulah orang yang benar-benar beriman. Mereka beroleh keampunan dan rezeki yang mulia.” (QS. Al-Anfal:74)
Jihad di sini – yang sesuai dengan keadaan/situasi di Malaysia – mungkin boleh ditakrifkan sebagai jihad kendiri. Kita tidak layak mengangkat senjata, tapi kita masih berupaya mengangkat tangan untuk berdoa.
‘Strategi’ yang mungkin boleh digunakan secara kendiri adalah dengan mempergiatkan lagi amalan fardhu dan sunat; menghidupkan semula masjid dan surau seperti dulu; mengislamisasikan kehidupan norma baharu serta menguatkan imunisasi jiwa ‘berdoskan’ Al-Quran dan as-sunnah.
Terkini, pemerintah telah memberi kebenaran untuk solat di surau dan masjid semula bermula 10 Ogos esok dengan syarat, individu itu telah lengkap divaksin Bukankah ini satu ‘kunci’ baharu buat kita untuk menghidupkan kembali rumah Allah?
Jika pemerintah sedang berusaha percepatkan vaksinasi bagi mencapai imunisasi kelompok, kita juga perlu berperanan untuk memperbaharui kehidupan masing-masing dengan berhijrah menjadi lebih baik melalui imunisasi jiwa.
Percayalah, tahun baharu yang kita bakal mulakan esok akan lebih bermakna jika kita benar-benar fahami konteks ‘Hijrah dalam mendepani pandemik’. Pendek kata, misi imunisasi kelompok dipercayai akan berjaya jika seiring dengan usaha imunisasi jiwa.
Kesimpulannya, kita bukan menolak vaksinasi sebagai ikhtiar, kita juga tidak perlu memberontak hanya kerana persepsi. Tetapi kita boleh optimumkan lagi usaha menamatkan wabak melalui tindakan kendiri, berpandukan strategi hijrah mendepani pandemik ini.
Marilah bersama-sama kita bersedia mengakhiri 1442 Hijriah dan memasuki 1 Muharam 1443 Hijriah dengan bacaan doa akhir dan awal tahun. Semoga ibadah dan kehidupan kita dinilai Allah. Selamat menyambut tahun baharu.
Panduan bacaan doa akhir dan awal tahun
Berikut di bawah adalah panduan bacaan doa akhir dan awal tahun seperti yang dikongsikan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini.
Bagi doa akhir tahun Hijrah (1442), ia akan dibaca sebelum masuk waktu Maghrib (sama ada selepas solat Asar atau penghujung waktu Asar) pada 9 Ogos (30 Zulhijjah) petang ini.
Manakala bagi doa awal tahun Hijrah (1443) pula, ia akan dibaca selepas masuk waktu Maghrib pada 9 Ogos (1 Muharam) menjelang Maghrib nanti.
Leave a Reply
View Comments