Simpati Ramai Tertekan Akibat Pandemik Tapi Tak Mampu Jumpa Pakar, NGO Lancar Tabung Bantuan Psikososial & Terapi Kesihatan Mental

Gambar hiasan

Pandemik ini telah mengakibatkan ramai individu mengalami tekanan emosi akibat hilang sumber pendapatan, dibuang kerja dan sebagainya. Ketika ini, mereka sepatutnya perlukan bantuan psikososial dengan kadar segera bagi mengelakkan sebarang perkara buruk terjadi.

Namun keadaan ‘poket’ yang menipis tidak mengizinkan mereka untuk berjumpa dengan pakar. Akhirnya masalah yang menghentak akal akan terus menghimpit mental, tidak mustahil mereka semakin tertekan sehingga sanggup mengambil jalan terakhir dengan membunuh diri,

Justeru, bersimpati dengan nasib yang menimpa, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) bersama Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai (PPPJ) melancarkan Tabung Projek Salam MVM x Jiwadamai bagi membantu masyarakat yang mengalami tekanan hidup dan kecelaruan emosi akibat pandemik COVID-19. 

Ketua Pegawai Eksekutif  MVM, Mohd Fauzan Abdul Sukor berkata, tujuan utama projek ini dijalankan adalah untuk membantu masyarakat tidak berkemampuan yang mengalami tekanan agar mereka tidak terpinggir dan mendapat bantuan psikososial serta menerima terapi kesihatan mental yang sewajarnya bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam waktu yang sukar ini.

Merujuk statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), 1,099 kes bunuh diri telah direkodkan dari 2020 hingga Mei 2021. Punca utamanya adalah akibat masalah keluarga, tekanan perasaan dan kewangan.

Malah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor baru-baru ini dibimbangi akan meningkatkan lagi kes tekanan perasaan dengan lebih mendadak.

Selain itu, Pengarah Urusan & Doktor Kesihatan Pekerjaan PPPJ, Dr. Hasnor Safwan berkata, mereka yang mempunyai tekanan perasaan perlu dibawa berjumpa ahli profesional secepat mungkin.

Ini kerana risiko cubaan bunuh diri perlu dinilai, sama ada akan dimasukkan ke wad, dimulakan ubatan atau berjumpa ahli psikologi bagi menjalankan terapi tingkah laku kognitif.

Difahamkan, antara masalah terbesar yang dihadapi sistem kesihatan negara kini adalah doktor-doktor perubatan di hospital-hospital kerajaan sedang bertarung dengan lambakan kes COVID-19, masalah kekurangan doktor psikiatri yang terpaksa dipinjamkan ke wad lain bagi menjaga pesakit COVID-19 serta ada sebahagiannya perlu membantu program vaksinasi. 

Selain itu, negara turut mempunyai lambakan graduan universiti daripada bidang psikologi klinikal yang masih menganggur dan belum mendapat kerja, namun mereka ini telah terlatih untuk mengendalikan kes-kes berkaitan kesihatan mental. 

Justeru sebagai alternatif,  PPPJ akan melantik graduan-graduan ini untuk memberikan khidmat terapi psikologi kepada individu yang kurang berkemampuan di bawah pemantauan pakar psikologi berpengalaman.

Empat golongan ini akan dibantu

Dalam misi bantuan psikososial ini, sebanyak empat golongan yang akan disasarkan iaitu golongan B40 (dewasa & kanak-kanak), golongan M40 (hilang punca pendapatan), petugas barisan hadapan (frontliners) dan pelajar.

Bagi bantuan untuk dewasa, mereka akan menjalani saringan kesihatan mental; servis konsultansi dan psikoterapi kesihatan mental serta bantuan ubat.

Manakala bagi bantuan untuk kanak-kanak pula, mereka akan menjalani servis konsultansi dan psikoterapi kesihatan mental; saringan dan terapi masalah pertuturan kanak-kanak; saringan dan terapi masalah perkembangan kanak-kanak (Autism, ADHD dan lain-lain); Kelas Intervensi Awal untuk masalah perkembangan kanak-kanak serta bantuan ubat.

Sasaran  dana bagi tabung ini adalah sebanyak RM20,000 sebulan dan jumlah keseluruhan dana yang diperlukan adalah berjumlah RM200,000 untuk tempoh 10 bulan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia melalui Maybank (5648 0164 7699), CIMB Islamik (8602 5378 07) dan Bank Islam (1230 0010 0030 65) atas rujukan Salam Jiwadamai, emel ke account@mvm.org.my atau rujuk di SINI untuk keterangan lanjut.