Sasaran MyAqsaDefenders Tercapai, RM17 Juta Terkumpul Dalam 5 Hari

Gambar: MAD

Oleh: NUR ADNIN ABDUL RAZAK

RM17 juta dalam masa lima hari. Itu satu tempoh cukup singkat yang berjaya dicapai oleh gabungan 20 badan bukan kerajaan (NGO) ini dalam misi menggerakkan tabung bantuan kecemasan untuk konflik di Gaza.

Gabungan 20 NGO berkenaan yang dikenali sebagai MyAqsaDefenders (MAD) memulakan kempen kecemasan mereka seusai gerakan itu ditubuhkan pada 14 Mei baru-baru ini.

Sesuatu yang menarik untuk kita ketahui di sini adalah tentang tahap kecaknaan rakyat Malaysia terhadap isu Palestin. Tahukah anda, jumlah kutipan dana yang berjaya terkumpul sejak hari pertama kempen bermula sehingga 18 Mei kelmarin adalah berjumlah RM17,878,518.37.

Gambar: MyAqsaDefenders

Ini sesuatu yang amat membanggakan kerana usaha mengumpul RM17 juta dalam masa lima hari memang di luar jangkauan akal kita semua. Jumlah yang sangat tinggi, tempoh masa yang sangat singkat. Menakjubkan.

Ulas Sekretariat MAD dalam satu kenyataan, kejayaan ini menunjukkan tahap keprihatinan orang Malaysia yang tidak berbelah bahagi dalam perjuangan pembebasan Palestin, selain nilai kepercayaan yang tinggi akan gabungan ini untuk menguruskan amanah dengan penuh bertanggungjawab serta berintegriti.

Ke mana bantuan ini pergi?

Difahamkan, dana terkumpul ini akan disalurkan kepada beberapa projek secara berperingkat, bermula dengan Fasa 1 iaitu pembinaan Klinik Malaysia – Al-Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah, projek Kafalah Keluarga Miskin di Baitul Maqdis dan dana untuk Gaza Emergency Relief.

Apa yang MAD nak buat?

Untuk maklumat para penderma, MAD sangat komited dengan agenda urus tadbir baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam melaksanakan program dan projek kemanusiaan dan kebajikan di Palestin mahupun di tanah air ini. Terdapat beberapa kerangka semak dan imbang yang digariskan dalam ekosistem pengurusan MAD dalam misi ini, iaitu:

1) Mewujudkan beberapa lapisan pentadbiran bagi menghindari sebarang konflik berkepentingan seperti lapisan Pengasas Bersama Gabungan, Majlis Tertinggi Gabungan, Jawatankuasa Monitoring, Evaluation, Accountability and Learning (MEAL) dan sekretariat gabungan.

2) Mewujudkan Jawatankuasa MEAL sebagai entiti semak dan imbang yang dianggotai tiga perwakilan daripada ahli MAD, satu (1) perwakilan daripada Ahli Majlis Tertinggi MAD dan satu (1) perwakilan daripada Sekretariat MAD.

Gambar: MyAqsaDefenders

3) Mewujudkan garis panduan kerangka urus tadbir baik, ketelusan, dan akauntabiliti yang menjadi dokumen panduan pentadbiran, pengurusan dan kewangan gabungan.

4) Mewujudkan pelan perancangan strategik sehingga tahun 2030 yang menjadi kayu ukur kelestarian impak sosial kepada masyarakat penerima manfaat di Palestin.

5) Mewujudkan jawatankuasa khas melibatkan pihak berkecuali yang terdiri daripada peguam, pegawai tadbir bertauliah (Chartered Governance Professional), akauntan bertauliah, konsultan sektor pembangunan dan kemanusiaan serta konsultan Anti-Money Laundering, Counter Financing of Terrorism (AML/CFT) bagi memantau dan menasihati pihak pengurusan dan pentadbiran dalam urusan MAD.

Menurut kenyataan Sekretariat MAD lagi, beberapa dokumen penting berkenaan MAD seperti Panduan Tadbir Urus MAD, MAD Frequently Asked Questions, Laporan Perkembangan Projek dan Laporan Kewangan akan boleh diakses umum terutamanya kepada para penyumbang di platform yang sedang dibangunkan.

Gambar: MyAqsaDefenders

“Bagi menampung kos operasi MAD dalam menjayakan agenda besar ini, kami akan melancarkan produk eksklusif MAD pada Jumaat ini (21 Mei 2021) jam 9 malam. Untuk makluman, sebanyak 1,000 unit ‘pre-order’ yang pertama akan menerima cenderahati eksklusif daripada pihak MAD.

“Pihak MAD ingin mengucapkan sekalung penghargaan kepada semua penyumbang dan pendukung isu Palestin di atas segala bentuk bantuan dan berharap agar dapat terus menyokong usaha kami yang kecil ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Siapa bersama MAD dalam misi ini?

Jangan tidak tahu, di sebalik 17 NGO kemanusiaan yang bergabung di bawah satu kolaborasi ini, berdirinya beberapa selebriti tanah air, individu berpengaruh, insan-insan hebat dan ramai lagi yang turut sama menjayakan misi agung ini. Mereka ialah:-

  1. Heliza Helmi dan Hazwani Helmi
  2. MizzNina dan Noh Salleh – Min Qalby Foundation
  3. Faizal Tahir – IamFaithmen
  4. PU Rahmat- One Nation & Azhar Care
  5. Into Taqwa Malaysia
  6. Fedtri Yahya – MFS
  7. Amir Masdi – MFS
  8. Dahlia Shazwan – MFS
  9. Natasha Hudson – Amalhope
  10. Nabila asyiqin – Amalhope
  11. Aliza Kim – CGM
  12. Farah Adeeba
  13. Farah Lee
  14. Dr Atiyah Azmi
  15. Dr Fitri Haris
  16. IM Fakhrul
  17. Zizi Kirana – GPM
  18. Ustaz Fawwaz Fadzil – GPM
  19. Sarancak – GPM
  20. PU Amin – IC
  21. Ustazah Isfadiah – Serantau Muslim
  22. Imam Muda Hassan – Serantau Muslim
  23. Dr. Taufiq Razif – Serantau Muslim

Kenali 20 NGO di sebalik MyAqsaDefenders

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Maka dengan itu marilah lihat senarai 20 NGO kemanusiaan yang bergabung untuk menjayakan misi besar ini. Mereka adalah:

  1. Cinta Gaza Malaysia – CGM
  2. Global Peace Mission (GPM) Malaysia
  3. MAPIM : Malaysian Consultative Council for Islamic Organization
  4. Malaysia for Syria
  5. Iman Care
  6. One Nation
  7. Al-Azhar Care
  8. Pertubuhan Kebajikan Dana Kita
  9. Murtadha Dakwah Centre – MADAD
  10. Serantau Muslim
  11. Cinta Syria Malaysia – CSM
  12. MyFundAction
  13. Muslim Volunteer Malaysia – MVM
  14. Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)
  15. Pertubuhan WARGA CAKNA
  16. Amalhope
  17. Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia
  18. Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS)
  19. Cakna Palestin
  20. MinQalby Foundation

Sumber: MyAqsaDefenders