Projek #PenaMVM – Aku Seorang Sukarelawan Oleh Nurul Izzyana Rahmat

Hai volunteer,

Sebelum ini, kami telah kongsikan kepada anda pemenang tempat ketiga #PenaMVM bulan Ogos iaitu Saudari Norsamila Samsudin. In sha Allah, hari ini kami ingin mengumumkan pula tempat kedua yang merupakan salah seorang volunteer aktif di MVM iaitu Nurul Izzyana Rahmat. Semoga anda mendapat manfaat daripada cerpen beliau. Selamat membaca!

Penulis: Nurul Izzyana Binti Rahmat

           Dua tahun menceburkan diri dalam bidang kesukarelawanan, aku temui diri aku inginkan kelainan. Selama dua tahun ini, Thailand dan Kemboja sudahpun aku ‘tawan’ dengan membantu penduduknya yang susah; kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Khatan, ibadah qurban dan menghiburkan kanak-kanak juga penduduk di sana, kelak menjadi memoir terindah bagi diri yang ingin mengenal kehidupan dan mempelajari erti kesusahan, sekali gus untuk lebih mensyukuri nikmat kurniaan Tuhan.

Maka kelainan yang aku inginkan ternyata ada pada Muslim Volunteer Malaysia (MVM), sebuah organisasi yang berjaya melebarkan pemahamanku tentang makna sebenar ‘orang yang kurang bernasib baik’ melalui program yang diberi nama Celik Hati bersama orang-orang buta. Mengapa tidak pernah aku sedar selama ini, bahawa mereka yang tidak mempunyai daya penglihatan juga adalah insan yang memerlukan bantuan? Ya, mereka perlukan sokongan, dan sebagai sukarelawan yang holistik, kita perlu memainkan peranan.

Frasa ‘orang yang kurang bernasib baik’ tipikalnya hanya merujuk kepada mereka yang memerlukan bantuan asas kehidupan dan kewangan, atau lebih mudah difahami sebagai ‘miskin’. Namun kini aku sedar, ianya lebih dari itu. Sesungguhnya inilah kelainan yang aku cari, iaitu sebuah dimensi baharu untuk mendefinisikan erti aktiviti kesukarelawanan. Dari itu, ingin aku kongsikan memoriku bersama orang-orang buta dari Yayasan Orang Buta Malaysia. Semua sukarelawan berkumpul di Farm in the City, dan kami dikehendaki untuk memimpin orang-orang buta dan membantu mereka untuk berinteraksi dengan alam; tugas yang kedengaran mudah, namun pada aku ianya sarat dengan makna tersirat yang memerlukan ikhlasnya kudrat.


“Pejamkan mata, dengarkan saja: apa di minda?”

Hari itu, telah aku sampaikan ceritera dunia kepada yang tidak pernah mengenal bagaimana cantiknya debunga dan indahnya sinar sang mentari yang menerangi semesta. Buat seketika, aku bagaikan seorang penglipur lara buat si buta. Jadi luas pandangku pada alam, semuanya aku susun jadikan kalam.

“Ceritakanlah pada aku: agarku faham dunia”

Telah juga aku selami apa rasanya tatkala mempunyai mata, namun tak dapat melihat bumi ciptaan Yang Esa. “Beruntung aku boleh melihat. Kasihan mereka, tiada apa di mata terlihat.” Sebagai yang punyai pancaindera, nikmat  Tuhan manakah yang ingin kau dustakan? Diri ini bermuhasabah habis-habisan.

“Andai dapatku lihat semua, adakah ku sempurna? Ataupun adakah mataku yang leka membuatku berdosa?”

Entah mengapa aku rasakan kekalahan di dalam limpahan kecukupan yang diberikan Tuhan. Di sebalik kemenangan ini, aku temui diri yang lalai: anugerah penglihatan ini ternyata masih belum aku gunakan sebaiknya sebagai hamba yang dambakan kejayaan dan kebahagiaan.

“Apakah semua yang zahir di mata takkan pernah berdusta?”

Lalu aku yang celik inilah, yang sebenarnya buta. Buta mentafsir dunia yang dapat aku lihat dalam terang dan gelapnya, buta membeza baik dan buruknya, buta menimbang benar dan salahnya. Aku kalah dalam menang, terasa nikmat ini telah kupersiakan begitu saja.


“Tuhan, segalanya telah Engkau tentukan; terangi saja hatiku, maafku selalu terlupa mensyukuri semuanya”

Bukan aku mengeluh dengan nikmat, bukan juga membanding di jauh dan dekat. Tapi sekadar menyedari bahawa segala yang berlaku itu adalah sarat dengan hikmat yang padat. Diciptakan aku dengan celik dan mereka dengan buta, bukan untuk membolehkan kita saling mencerca, tetapi untuk sama menjaga, membantu selagi terdaya, dan menyayangi selama berupaya.

“Tanpa KAMU, siapalah aku? Tanpa aku, tetap saja KAU sempurna dan SATU: terangilah hatiku”

Tuhan, sesungguhnya Kau yang empunya sepenuh pengetahuan untuk segala yang Kau ciptakan. Dan aku bukanlah sesiapa untuk mempersoal sebab dan musababnya; kerana aku yakin, dunia ini adalah persinggahan untuk manusia mencari bekalan, sebelum masing-masing menemui pengakhiran. Ada lebih dan kurangnya untuk setiap insan, mengajar bahawa hanya Kau sajalah pemilik kesempurnaan. Moga diraih sebaik balasan untuk segala amal kebaikan yang ditunai dengan keikhlasan.

Sekian saja untuk Aku Seorang Sukarelawan.

Nukilan: Nurul Izzyana Binti Rahmat
Facebook: Nurul Izzyana Rahmat
Instagram: nurul_izzyana
Pelajar: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)