Kita Perlu Ada ‘Psychological First Aid’ Untuk Bantu Mangsa Bencana, Kenali 4 Fasa Garis Masa Trauma Ini

Gambar hiasan | Google

Jika berlaku kemalangan, perkara pertama yang perlu dibuat adalah bantuan kecemasan, kan? Biasanya peralatan perubatan yang ‘wajib’ digunakan ialah pembalut luka, cecair antiseptik dan sebagainya.

Tapi tahukah anda, selain menerima rawatan luar, mangsa kemalangan juga sebenarnya memerlukan bantuan psikologi bagi mengelakkannya menghadapi kesan buruk pada mental akibat kejadian itu.

Bantuan psikologi inilah yang disebut sebagai pertolongan cemas psikologi atau psychological first aid (PFA). Ianya bertujuan untuk menjaga keadaan mental mangsa yang berisiko mengalami trauma pada masa akan datang.

Menyentuh tentang trauma, ‘kit kecemasan’ PFA ini sangat penting untuk kita mengenal pasti tahap trauma yang dialami mangsa berdasarkan garis masa untuk satu tempoh tertentu.

Garis masa trauma terbahagi kepada empat fasa, iaitu intervention needed (24 jam pertama), minimal intervention (beberapa hari hingga tiga minggu), intervention (selepas tiga minggu) dan gangguan tekanan selepas trauma (sebulan).

Untuk lebih faham, kita gunakan contoh situasi bencana banjir yang melanda sebuah lokaliti. Memetik perkongsian psikologis klinikal, Dr. Azlina Wati Nikmat, apabila berlaku sesuatu trauma (daripada bencana), 55 peratus daripada populasi (mangsa) boleh berfungsi (alami simptom minimum), 35 peratus tiada simptom dan 10 peratus lagi akan betul-betul terkesan.

Di sinilah peranan kita untuk mengenal pasti populasi yang perlu dibantu melalui ‘kit kecemasan’ PFA. Dengan garis masa inilah kita akan mengesan siapa mangsa banjir yang berjaya ‘pulih’ dan siapa 10 peratus mangsa yang benar-benar trauma dan perlu ‘diselamatkan’.

1) Intervention needed (24 jam pertama)

Pada fasa ini, kebanyakan mangsa banjir akan berasa begitu tertekan, anxiety, panik, terkejut, menangis, terkeliru, rasa bersalah dan  sukar mempercayai sesiapa. Umumnya, ini adalah simptom normal yang dialami kebanyakan mangsa dalam tempoh 24 jam pertama selepas bencana.

2) Minimal intervention (beberapa hari hingga tiga minggu)

Selepas beberapa hari bencana berlaku, kebanyakan mangsa akan mula ‘move on‘. Mereka percaya bahawa ada harapan untuk keadaan pulih seperti sediakala. Ada antara mereka yang pulih ini akan menyertai misi bantuan untuk membantu mangsa banjir lain yang alami nasib sama.

Namun hakikatnya ketika ini masih ada lagi mangsa yang masih trauma. Ini dapat dibuktikan melalui simptom-simptom ditunjukkan mereka seperti masih berasa takut, akan jadi terlalu berwaspada, mudah marah, beremosi, sukar untuk tidur dan kerap teringat detik tragedi tersebut.

3) Intervention (lepas tiga minggu)

Selepas tiga minggu berlalu, mangsa-mangsa yang masih trauma akan berterusan menunjukkan simptom. Kali ini difahamkan lebih ‘keras’ seperti tidak dapat berehat dengan tenang, agak panik, sentiasa sedih dan selalu berfikiran negatif.

Selain itu, mereka juga seakan hilang arah, tidak lagi mahu berbuat apa-apa (dipercayai menghampiri kemurungan), gemar menjauhkan diri daripada orang lain dan alami anxiety seperti degupan jantung kencang, pening serta sakit kepala.

4) PTSD (sebulan)

Jika mangsa ini tadi masih tiada perubahan walaupun sudah genap sebulan bencana berlalu, maka mereka kini sedang berada pada fasa tertinggi trauma iaitu gangguan tekanan selepas trauma atau post-traumatic stress disorder (PTSD).

Apabila sudah sampai ke fasa ini, mereka disahkan memerlukan bantuan psikologi yang serius, termasuklah perlu dibawa berjumpa pakar untuk jalani rawatan terapi mental serta psikososial dengan kadar segera.

Perlu diingat, trauma yang dialami mangsa akan memberi kesan buruk kepada kesihatan mereka melalui empat elemen iaitu fizikal, emosi, tingkah laku dan daya pemikiran.

Sebab itulah ‘kit kecemasan’ PFA ini sangat penting kerana ia mengajar kita bagaimana cara untuk mengendalikan kes-kes trauma dengan betul.

Untuk mengetahui bagaimana caranya menggunakan ‘kit kecemasan’ PFA, anda boleh rujuk pada perkongsian artikel akan datang.

 

 

Sumber: Forum online Intro to Psychological First Aid, anjuran Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai & Muslim Volunteer Malaysia pada 26 Jun 2021.