“Hampir Semua Yang Kalian Dengar Di Media Barat Adalah Tidak Tepat Sama Sekali”, Kumpulan NGO Malaysia Pertama Tiba Di Afghanistan

Gambar: MVM

Oleh: NUR ADNIN ABDUL RAZAK

BOLEH dikatakan kebanyakan laporan berita mengenai Taliban yang sering dilaporkan dari media Barat adalah tidak sama dengan apa yang berlaku sebenarnya.

Demikianlah pengakuan Ketua Pegawai Operasi Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Hasbullah Najib sejurus beliau bersama pasukan misi kemanusiaannya selamat mendarat di Kabul, Afghanistan kelmarin.

“Kami adalah kumpulan pertama dari Malaysia yang sampai selepas Taliban mengambil alih pemerintahan Afghanistan.

“Bila sampai di sini apa yang saya boleh cakap ialah hampir semua yang kalian dengar di media Barat adalah tidak tepat sama sekali.

“Mereka cipta persepsi yang tidak benar,” katanya di laman Facebook semalam, mengulas mengenai persepsi tidak benar yang timbul dalam kalangan orang awam tentang Taliban.

GPM & MVM merupakan pasukan NGO pertama dari Malaysia yang tiba di Afghanistan sejak krisis Taliban mengambil alih kerajaan. | Gambar: MVM

Hasbullah bersama lima lagi sukarelawan dari Malaysia terbang ke Afghanistan bagi menjalankan Misi Kecemasan ke Afghanistan anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia dengan kerjasama MVM.

Keenam-enam mereka selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul kira-kira 4.30 petang waktu tempatan (8 malam Malaysia) kelmarin selepas enam hari transit di Islamabad, Pakistan bagi urusan clearance dan penerbangan.

Difahamkan, pasukan misi yang diketuai Azlan Muhammad Sharif dari GPM itu dijadualkan akan berada di sana selama kira-kira dua minggu bagi menjalankan penilaian tentang keperluan-keperluan semasa.

Ia adalah berikutan isu pergolakan serta krisis kemanusiaan dan ekonomi yang berlaku selepas negara bergolak tersebut mengalami fasa pertukaran kerajaan pada pertengahan bulan lalu.

Sementara itu, Hasbullah turut menawarkan rakan-rakan serta pengikut di Facebooknya untuk bertanyakan pelbagai soalan mengenai ‘wajah sebenar’ Afghanistan sejak di bawah pemerintahan Taliban.

“InsyaAllah dari semasa ke semasa saya akan kongsi apa keadaan sebenar di sini. Pautan berita ketibaan kami di ruangan komen. Doakan kami,” katanya.

GPM & MVM merupakan pasukan NGO pertama dari Malaysia yang tiba di Afghanistan sejak krisis Taliban mengambil alih kerajaan. | Gambar: MVM

Sumber: Alhijrah Online / FB Hasbullah Najib