DI SEBALIK PASCA-BANJIR: SENYUMAN YANG MENGUBAH UJIAN (BAHAGIAN 1)

(Writer: Jie)

Penat dan tidak kuat. Itulah rupa kami setelah berhari-hari melalui kerja-kerja pembersihan pasca banjir di Selangor sejak bencana itu menenggelamkan sebahagian besar negeri ini tanpa sesiapa menyangka. Bagi yang pernah terlibat pasti faham dengan keletihan mengalihkan lumpur tebal serta bau hanyir sebahagian air banjir yang tertinggal di ruang rumah dan tempat-tempat lain.

Sehingga Januari, kami masih turun padang menemui penduduk di beberapa tempat yang terkesan. Istimewanya di setiap tempat, kami tidak bersendirian. Setiap misi di lokasi berbeza telah memberi peluang kepada kami bertemu dengan ramai sukarelawan yang lama dan baru. Menariknya, kali ini pengalamannya berbeza.

Sukarelawan Sayap Senyap MVM

Pada awalnya mereka turun ke Selangor bersama bot adalah untuk membantu misi menyelamat. Tetapi perkenalan singkat kami telah mendorong kerjasama di antara anak-anak muda dari Perak ini untuk meneruskan bakti bersama MVM pula. Mereka adalah ‘halilintar’ senyap yang turun padang lebih awal mengambil maklumat keperluan keluarga-keluarga yang terjejas, untuk disalurkan dan dinilai oleh MVM bagi beberapa jenis bantuan.

Sekalipun tanpa publisiti, MVM telah mewujudkan sinergi kerja yang berimpak jangka panjang apabila mengetahui kepakaran mereka dalam kerja-kerja pendawaian elektrikal. Banyak rumah yang telah dibantu secara bersama di mana MVM  mengumpulkan dana dan menyelia projek, manakala mereka mengurus serta menyelesaikan projek-projek baik pulih elektrikal. Sinergi bantuan ini telah membawa kami sehingga ke Lanchang, Pahang.