Dhuha Itu Magnet Rezeki

Dhuha Itu Magnet Rezeki


 
“Ah stressssnyaaaa ! Kenapa hidup aku susah ? Kenapa?! ”. Tipulah tatkala kita ditimpa musibah dan rasa tertekan dengan kehidupan, kita tidak sedih mahupun kecewa. Tapi cuba kita renungkan sebentar, adakah segala dugaan dan ujian yang mendatang ini sesuata yang sia-sia ? Pastinya tidak !
Sebelum kita terus merungut dan mempersoalkan segalanya apa kata jika kita cuba bermuhasabah kembali merenung diri sendiri. Mana mungkin Allah yang sifatnya itu Maha Pengasih sanggup menguji hambanya dengan sesuatu yang sia-sia. Percayalah disebalik dugaan dan ujian yang menimpa pasti terselit hikmah-hikmah yang penuh dengan rahsia tuhan yang tidak kita ketahui.
Disaat kita rasa tertekan dan kecewa kembalilah dan dekatilah kepada tuhan yang hakiki, antaranya ialah dengan mengerjakan solat sunat Dhuha. Seperti yang kita ketahui, solat sunat Dhuha itu diibaratkan seperti magnet yang menarik rezeki dan percayalah rezeki yang hadir itu adalah sesuatu yang kita tidak akan pernah sangkakan. Namun perlu diingatkan niat kita hanyalah untuk beribadat kepada Allah semata dan hanya dengan izin Allah sahaja kebaikan dan kehebatan yang ada di dalam solat sunat Dhuha itu sendiri yang akan datang kepada kita.


Demi waktu Dhuha dan demi malam apabila menjadi sepi. Tidaklah Tuhanmu meninggalkanmu dan tidaklah Dia membencimu. Dan akhirat itu lebih baik daripada dunia ini. Dan pasti Tuhanmu akan memberi kepadamu kurniaan hingga kamu menjadi suka.” 

(Surah Adh-Dhuha, Ayat 1-5)

Solat sunat dhuha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tidak ternilai tingginya. Manakala di Akhirat pula Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga. Solat sunat dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Sekira tidak pasti adalah lebih baik  dan lebih mudah dengan merujuk kepada takwim waktu solat.
Namun waktu paling afdal dan sesuai melakukan solat sunat Dhuha adalah anggaran matahari naik, tinggi segalah iaitu (7 hasta atau 3 meter), iaitu sekitar pukul 9.30 pagi. Solat ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat sehinggalah 12 rakaat, tetapi yang paling banyak dikerjakan oleh Rasulullah S.A.W ialah lapan rakaat.
Bermula dengan niat solat sunat kemudian membaca Surah Al-Fatihah seterusnya diikuti dengan surah Al-Kafirun, Al-Ikhlas atau Al-Syams pada rakaat pertama serta surah Al-Dhuha pada rakaat kedua. Lakukan solat ini dengan penuh keyakinan. InsyaAllah dengan izin Allah amalan ini mampu memberikan ketenangan dan kemurahan rezeki.
Jika ada diantara kita yang tidak fasih atau tidak menghafal surah-surah tersebut bolehlah membaca ayat Kursi sebanyak 10 kali pada rakaat pertama dan membaca surah Al-Ikhlas 10 kali juga pada rakaat kedua sesudah membaca Al-Fatihah.
Namun perlu diingatkan, isu bacaan dalam solat ini adalah sesuatu yang subjektif, maka kita tidak perlulah terikat dengan kaifiat dan bacaan tertentu kerana apa yang paling penting solat tersebut diniatkan dengan betul, dipenuhi segala syarat-syaratnya dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

“Ya Allah, jika rezekiku di langit turunkanlah ia, jika rezekiku di bumi keluarkan ia, jika di laut maka timbulkan ia, jika sukar maka permudahkanlah, jika sedikit perbanyakkanlah, jika banyak maka berkatilah, jika haram maka sucikanlah, dengan berkat waktu dhuha-Mu, keindahan, kecantikan, kekuatan, kekuasaan dan pemeliharaan-Mu. Kurniakanlah daku apa yang Engkau anugerahkan kepada hamba-Mu yang salih dan beriman.”

Hah pasti ramai yang terkejut dengan kehebatan solat sunat Dhuha ini kan ? Dah lah mudah tetapi fadhilatnya sangat besar dan hebat. Kadang-kadang kita perlu ingat, tidak kiralah sekuat manapun kita bekerja mencari duit, rezeki itu tetap di tangan-Nya.
Berusaha untuk menjadikan solat sunat Dhuha ini sebagai rutin harian, tidak sampai 10 minit untuk melakukannya. Bayangkan bukan sahaja kita dapat mendekatkan diri kepada Allah, malah kita juga telah berjaya menghidupkan sunnah Rasululah SAW. Jadi, jangan lupa untuk tunaikan solat sunat Dhuha selepas ini !