7 Jenis Zakat Yang Mungkin Anda Terlepas Pandang

7 Jenis Zakat Yang Mungkin Anda Terlepas Pandang

Zakat dari segi bahasa bererti “BERSIH”, “SUCI”, “SUBUR”, “BERKAT” dan “BERKEMBANG”
Pengertian “BERSIH” dan “SUCI” dalam istilah zakat ialah membersihkan harta dan membersihkan diri orang kaya daripada bersifat kedekut dan bakhil. Dalam erti yang lain ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam terhadap orang kaya.
Dari Segi Syarak:
Zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak
7 jenis zakat yang telah disenaraikan oleh Pusat Zakat Selangor :
1. Zakat Fitrah
Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.
2. Zakat Pendapatan
Harta pendapatan bermaksud semua jenis upah, imbuhan, bayaran atau hasil yang diperolehi daripada kerja atau usaha yang dilakukan sama ada secara tetap atau sekali sekali. Allah menjelaskan bahawa segala ‘hasil usaha yang baik’ itu wajib dizakat. Oleh itu, bagi sesiapa yang menjadikan makan gaji itu sebagai satu profesion, maka itu juga termasuk dalam ‘hasil usaha’ yang wajib dizakat.
Firman Allah s.w.t:
“Wahai orang-orang yang beriman, keluarkan zakat sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.”
3. Zakat Perniagaan
Zakat perniagaan ialah zakat yang wajib dikeluarkan hasil daripada harta perniagaan sama ada berasaskan pembuatan, perlombongan, perikanan, perkapalan, pembekalan, pertanian, perkhidmatan atau sebagainya dengan tujuan diperniagakan, sama ada dalam bentuk perniagaan persendirian, perniagaan perkongsian sesama Islam atau dengan bukan Islam, perniagaan semua jenis syarikat, koperasi atau perniagaan saham dan sebagainya.
4. Zakat Simpanan
Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat wang simpanan adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram).
5. Zakat Emas dan Perak
Mata wang wajib dikenakan zakat kerana ia boleh digunakan untuk bermuamalah sama dengan emas dan perak. Wang sama ada berbentuk kertas, syiling atau sebagainya setaraf dengan emas dan perak sebagai satu kuasa membeli. Nisab zakat emas adalah berdasarkan nilai semasa bagi nisab emas 20 mithqal (85 gram) atau perak (595 gram). Jumhur fuqaha telah menyandarkan nisab wang kepada nisab emas (85 gram).
6. Zakat Saham
Saham adalah wang yang dilaburkan dalam syarikat atau perniagaan. Bagi sijil-sijil saham dalam sesebuah syarikat yang tersenarai di pasaran saham (Contoh Bursa Malaysia), ianya mudah untuk dijadikan wang tunai berbanding dengan saham dalam syarikat yang tidak tersenarai atau dalam koperasi.
Pemilik saham adalah pemilik syarikat and berkongsi keuntungan atau kerugian sesebuah syarikat. Prestasi sesebuah perniagaan biasanya boleh diukur melalui dividen yang diagihkan dan juga harga atau nilai saham seperti tersenanari di pasaran saham.
7. Zakat KWSP
WANG KWSP ialah wang daripada pendapatan seseorang hasil daripada pekerjaannya yang disimpan di dalam akaun simpanan pekerja kerana tertakluk di bawah akta KWSP. KWSP dikenakan zakat kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma perbezaannya simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya seperti akaun simpanan biasa.
Wang ini hanya boleh dikeluarkan sebahagiannya oleh pencarum apabila ia mencapai umur tertentu dalam tempoh perkhidmatannya atau mengambil keseluruhannya apabila ia telah mencapai umur pencen atau bersara. Selain daripada pengeluaran berdasarkan faktor umur, ianya juga boleh dikeluarkan setelah memenuhi syarat –syarat dibawah pelbagai Skim Pengeluaran KWSP.
Sumber : Pusat Zakat Selangor
#muslimvolunteermalaysia