2 Minggu Berkelana & Hantar Bantuan, Ini Realiti Sebenar Di Afghanistan Kini – Catatan Koresponden & Sukarelawan Malaysia

Kredit foto: MVM & Syed Azwan

PADA penghujung September lepas, sekumpulan sukarelawan dari Malaysia terbang ke Kabul, Afghanistan bagi menjalankan misi kemanusiaan ekoran krisis peralihan kerajaan serta pergolakan yang berlaku di sana.

Misi itu diketuai wakil Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Azlan Muhammad Sharif; Ketua Pegawai Operasi Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Hasbullah Najib dan sukarelawan GPM serta MVM yang lain.

Turut sama mengikuti misi tersebut adalah koresponden Berita Alhijrah dari TV Alhijrah, Syed Azwan Syed Ali yang menjalankan tugas sebagai penyampai berita di lapangan.

Difahamkan, selain misi bantuan yang dijalankan, keberadaan mereka di sana juga adalah untuk melihat sendiri bagaimana keadaan Afghanistan khususnya di Kabul setelah negara bergolak itu telah bertukar tampuk pimpinan kerajaannya.

Sukarelawan dari Malaysia yang terbang ke Afghanistan melalui jalan udara selepas transit selama dua minggu di Islamabad, Pakistan bulan lepas. | Kredit foto: MVM
Keadaan semasa di Afghanistan pada hari ini | Kredit foto: Syed Azwan

Laporan-laporan semasa yang tercatat dalam akhbar media asing khususnya dari Barat, boleh dikatakan kebanyakannya dipercayai agak berat sebelah. Pendek kata, apa yang dilaporkan hakikatnya tidak sama dengan apa yang berlaku.

Sepanjang dua minggu berkelana di sana, banyak laporan mengenai situasi semasa sempat dicatat Syed Azwan dari semasa ke semasa. Beliau berkongsi catatannya melalui Facebook berdasarkan keadaan tertentu.

Oleh itu, berikut di bawah adalah beberapa catatan penting yang dipetik dari Facebooknya. Apa yang bakal kita baca ini adalah satu realiti sebenar tentang Afghanistan pada hari ini; iaitu sebuah wilayah bergolak yang tersimpan pelbagai isu tidak berkesudahan.

Diulangi sekali lagi, apa yang kita terbaca daripada mana-mana media Barat sebelum ini, tidak sama dengan apa yang mereka lalui dan melihatnya dengan mata kepala sendiri. Mari ikuti perkongsian Syed Azwan di bawah ini.

Catatan koresponden & sukarelawan Malaysia di Afghanistan

Syed Azwan (kanan) bersama seorang rakyat Afghanistan semasa dalam misi serahan bantuan barangan asas di sana | Kredit foto: Syed Azwan

1. Keadaan di wilayah Kabul selamat dan tenang di bawah Taliban buat masa ini, tidak seperti yang digembar-gemburkan dalam mana-mana laporan media Barat.

2. Majoriti rakyat tempatan didakwa tidak memakai pelitup muka. Ia bukan satu perkara yang diwajibkan seperti di Malaysia. Kata mereka, ‘No corona’.

3. Berkenaan prosedur operasi standard (SOP), hampir semua premis seperti hotel, sekolah, universiti dan gedung beli-belah memasang papan ‘main entrance’ pada pintu besi yang lengkap dengan info keselamatan.

4. Di sekitar jalanan di Kabul, pasti akan ada kelibat tentera Taliban yang berkawal setiap saat di mana-mana. Sama ada berjalan berdua atau berkelompok kecil sambil lengkap bersenjata.

5. Kebanyakan ‘footsoldier’ Taliban berambut panjang dan memakai vest kalis peluru, lengkap dengan AK-47. Ada waktu tertentu mereka akan meronda dengan Toyota Hilux atau pacuan empat roda lain yang dipasangkan bendera putih tertera kalimah syahadah, iaitu bendera rasmi Kerajaan Emiriyah Afghanistan.

Suasana di pasar jalanan di Afghanistan | Kredit foto: Syed Azwan

6. Sejak Taliban berkuasa, kadar jenayah seperti merompak, mencuri, menculik dan jenayah lain didakwa turun mendadak, dipercayai kerana penduduk takut dihukum dengan keras oleh tentera di jalanan.

7. Buat masa ini ekonomi sedang kritikal. Ramai yang tiada kerja dan tiada duit. Ada juga bekerja tapi tiada gaji. Ini kerana kerajaan tidak boleh membayar gaji mereka ekoran aset Afghanistan sedang dibekukan oleh kuasa asing.

8. Ada sukarelawan NGO tempatan didakwa menyalahkan kuasa asing yang membekukan kira-kira USD9.5 bilion aset Afghanistan, tapi tidak mahu ia dilepaskan kepada kerajaan semasa. Dia sendiri sudah empat bulan tidak menerima gaji.

9. Waktu bekerja dikurangkan dari 10 pagi hingga 4 petang kepada 10 pagi hingga 1 petang pada setiap hari ekoran krisis kewangan kerajaan.

10. Kerajaan Emiriyah Islam Afghanistan kini turut terkesan dengan konflik ekonomi hingga terpaksa bergantung kepada sedikit simpanan yang ada, selain kutipan cukai import dan eksport barangan melalui pintu sempadan negara jiran seperti Pakistan dan Iran.

Suasana di sebuah sekolah persendirian di Kabul | Kredit foto: Syed Azwan

11. Isu ekonomi di sana sangat meruncing dan menunggu masa untuk meletup. Bukan hanya gaji kakitangan kerajaan, malah kerajaan sementara Emeriyah Islam Afghanistan yang diketuai Mullah Mohamad Hasan Akhund juga dikatakan berdepan kesukaran untuk menampung kebajikan pejuang-pejuangnya.

12. Mengenai isu wanita yang ditindas, setakat pemerhatian dan temubual dengan aktivis dan wakil wanita di Kabul, mereka masih optimis bahawa Taliban akan meleraikan isu tersebut. Ringkasnya, mereka bukan ditindas tetapi isu seperti akses pendidikan dan pekerjaan untuk wanita di sana masih menjadi persoalan setakat ini. Dikatakan isu ini sangat kompleks kerana ia berkait dengan persoalan agama, budaya, taraf kehidupan sosial di bandar dan luar bandar yang berbeza serta persoalan tentang pilihan.

13. Difahamkan, buat masa ini hanya pelajar perempuan gred satu hingga enam (sekolah rendah) saja dibenarkan, tapi pelajar perempuan sekolah menengah dan universiti kerajaan masih belum ada ketentuan. Dikatakan inilah perkara yang dibimbangi ramai pihak, khususnya  golongan ‘feminist’. 

14. Hampir dua minggu berlalu, keadaan di Kabul masih tenang dan selamat. Keadaan jalanan agak sesak. Dikatakan tentera-tentera kerajaan Emiriah Arab Afghanistan masih berkawal di jalanan. Namun begitu, ia tidaklah 100 peratus ‘kebal’ daripada ancaman anasir luar dan dalam. Pernah berlaku insiden pengeboman pada awal Oktober baru-baru ini.

15. Krisis kelaparan masih mencengkam rakyat Afghanistan. Malangnya masih belum ramai pihak luar yang tampil menghulur bantuan serta sokongan setakat ini. Ada yang terpaksa mengemis di jalanan semata-mata untuk membeli sebuku roti yang berharga 10 Afghani atau RM0.40.

Kejadian pengeboman dan letupan yang dilapor berlaku di sebuah masjid di Kunduz ketika solat Jumaat baru-baru ini | Kredit foto: AFP/Syed Azwan

16. Syed Azwan dan tim sukarelawan Malaysia lain terpaksa untuk tidak menghadiri solat Jumaat di masjid atas faktor keselamatan. Katanya, masjid sering menjadi sasaran pengeboman oleh pengebom berani mati, lebih-lebih lagi ketika solat Jumaat. Difahamkan ancaman bahaya tersebut turut datang daripada pihak pemberontak Daesh.

17. Antara tragedi pengeboman ketika solat Jumaat yang berlaku adalah di Kunduz, utara Afghanistan. Sekurang-kurangnya 50 orang dilapor terkorban, manakala berpuluh-puluh yang lain tercedera dalam letupan besar tersebut. Lapor agensi AFP, kejadian itu didakwa dilakukan oleh pengebom bunuh diri.

18. Syed Azwan berpesan, bagi mana-mana NGO dari Malaysia yang ingin terbang ke Afghanistan untuk menghantar bantuan, mereka dinasihatkan untuk merancang perjalanan masuk dan keluar dengan rapi memandangkan isu akses masih lagi tidak menentu setakat ini.

Dari kiri: Koresponden Berita Alhijrah, Syed Azwan Syed Ali; sukarelawan media MVM, Wan; COO MVM, Hasbullah Najib & sukarelawan NGO tempatan | Kredit foto: Syed Azwan

Demikianlah beberapa catatan penting yang dipetik daripada Facebook Syed Azwan. Tidak hanya menulis di Facebook, Syed Azwan juga turut melaporkan berita-berita semasa mengenai misi mereka di Afghanistan menerusi Berita Alhijrah di Tv Alhijrah.

Difahamkan, tim sukarelawan tersebut kini dalam proses untuk terbang pulang ke tanah air. Bagaimanapun perjalanan mereka tergendala seketika baru-baru ini ekoran semua penerbangan ke Islamabad, Pakistan telah dibatalkan.

Jelas Syed Azwan, ini adalah kerana kerajaan Pakistan tidak membenarkan sebarang penerbangan asecara langsung atau ‘direct flight’ dari Kabul ke Islamabad atas sebab-sebab tertentu, walaupun harga tiket kini sudah melambung hingga lima kali ganda daripada harga asalnya, iaitu USD250.

Nantikan laporan-laporan semasa dan terkini dari Afghanistan oleh Syed Azwan menerusi Facebooknya, Syed Azwan. Ikuti juga perkembangan mereka di laman Facebook MVM dan GPM serta portal Alhijrah Online.

 

 

 

Sumber rujukan:

1. FB Syed Azwan – Ada yang tanya selamat ke di Afghanistan? Tak takut Taliban ke?
2. FB Syed Azwan – AFGHANISTAN DI BAWAH TALIBAN: MAJU ATAU MUNDUR?
3. FB Syed Azwan – NOTA DARI KABUL #3
4. FB Syed Azwan – NOTA DARI KABUL #4 UJIAN SANG MUSAFIR
5. FB Syed Azwan – NOTADARIKABUL #5 MASJID DIBOM KETIKA SOLAT JUMAAT 
6. FB Syed Azwan – #notadarikabul # 6 | Sejak Ahad lalu saya tidak lagi menginap di hotel, tetapi menumpang di guest room di sebuah bangunan sini.