(Video) Perjuang Isu Gaza Melalui Lirik Lagu, Inteam Lancar Single Baharu ‘Al-Quds Lana’

Perjuangkan isu ummah melalui lirik lagu. Itulah yang dilakukan oleh kumpulan nasyid terkenal tanah air, Inteam apabila mereka melancarkan lagu single terbaharunya yang berjudul Al-Quds Lana baru-baru ini.

Difahamkan, Al-Quds Lana adalah sebuah lagu nasyid yang diberikan nafas baharu oleh Inteam dengan kerjasama My Aqsa Defenders (MAD) sebagai usaha menjadi hiburan alternatif dalam memahami isu Masjidil Aqsa.

Menariknya, lagu ini dinyanyikan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Melayu, sekaligus membolehkan pendengar untuk memahami makna ‘perjuangan’ melalui bait lirik dengan lebih jelas.

Video muzik Al-Quds Lana secara rasminya telah dimuat naik ke Youtube pada 21 Julai baru-baru ini, selain turut boleh didengari di platform digital lain seperti Spotify, Deezer, Apple Music dan Joox.

Berikut di bawah adalah video muzik Al-Quds Lana di Youtube. Selamat menghayati perjuangan ini!

MAD optimis perjuang isu Palestin melalui e-book

Sebagai gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang ditunjangi anak muda, MAD optimis mahu membawa perjuangan membela Masjidil Aqsa secara lebih dinamik.

Seiring dengan sambutan Hari Raya Aidiladha yang berlangsung pada 20 Julai baru-baru ini, MAD telah menyuntik semangat perjuangan dengan melancarkan Al-Quds Lana dan e-book 100 Hujah #AlQudsKitaPunya.

Jika Al-Quds Lana menjadi hiburan untuk ummah memahami perjuangan Palestin melalui lirik lagu, e-book 100 Hujah #AlQudsKitaPunya pula berperanan sebagai sumber ilmiah yang dibentangkan dalam bentuk soal jawab.

Dalam e-book ini, terdapat 100 koleksi soalan dan jawapan (Q&A) mengenai isu-isu asas Palestin untuk difahami secara santai, selain dipercayai sangat mesra pembaca.

Menariknya, e-book yang dihasilkan oleh PALMS Strategic Initiatives Centre (PALMS) ini diedarkan kepada seluruh rakyat Malaysia secara percuma sahaja.

Bagi sesiapa yang berminat, anda boleh mendapatkan e-book 100 Hujah #AlQudsKitaPunya ini secara percuma melalui pautan INI sekarang.

Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh menghubungi sekretariat MAD, Haikal Zulkefli di talian 011-58679973 atau emelkan ke haikal.myaqsa@gmail.com.

Sumber: My Aqsa Defenders