(Video) 25 Usahawan Asnaf Program ‘Dare To Grow’ Rangkul Ijazah Keusahawanan

Gambar: MVM

SERAMAI 25 asnaf dan usahawan B40 yang menyertai program pembangunan keusahawanan Sustainable Livelihood: Dare To Grow (D2G) anjuran Muslim Volunteer Malaysia (MVM) dengan kerjasama Sustainable Entrepreneurship Development Centre (SEDC) telah merangkul ‘ijazah’ kejayaan mereka dalam Majlis Graduasi Usahawan D2G pada 4 dan 5 Disember baru-baru ini.

Majlis graduasi yang dijalankan ini adalah bertujuan untuk meraikan kejayaan semua peserta setelah berpenat-lelah selama enam bulan mengharungi tempoh ‘membina semula perniagaan’ yang pernah terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menurut Pengarah dan Perunding Utama SEDC, Mohd Sazali Shafie,  hasil perkembangan perniagaan yang berjaya ditonjolkan peserta setelah menyertai program ini amat memberangsangkan dan menepati objektif sasaran program.

Jelas Mohd Sazali, peningkatan bagi jualan kumpulan secara keseluruhan mencatat 70 peratus peningkatan, manakala purata peningkatan jualan bagi setiap peserta pula mencapai 70 hingga 80 peratus dalam masa enam bulan.

Malah menurutnya, 100 peratus peserta yang menyertai program ini masih dapat meneruskan perniagaan walaupun dengan cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan ia adalah kejayaan terbesar program ini setelah bantuan modal serta bimbingan diberikan ketika di awal program semasa PKP.

Dalam pada itu, peserta-peserta juga difahamkan telah bersedia untuk fasa perniagaan selanjutnya setelah mereka melalui proses pembangunan produk dan perundangan perniagaan dengan lengkap, termasuklah pendaftaran perniagaan. 

Difahamkan, modul latihan yang digunakan oleh peserta sepanjang enam bulan tersebut adalah berdasarkan hasil data serta kajian penyelidik mengenai usahawan asnaf dan B40 dalam kategori miskin bandar.

Lima fasa utama program

Gambar: MVM

Terdapat lima fasa utama yang dijalankan dalam program ini, iaitu latihan pembangunan usahawan secara bulanan; bimbingan perniagaan (biz coaching) dua sesi setiap bulan; bimbingan kaunseling dan psikologi, satu sesi setiap bulan; pemadanan perniagaan dan rangkaian perniagaan.

Manakala modul latihan yang telah dipelajari mereka termasuklah model perniagaan dan customer value; pemasaran media sosial dan digital; asas pengurusan kewangan; penetapan dan sasaran perniagaan; operasi dan prosedur operasi standard (SOP); kajian prestasi perniagaan (business performance review) dan tinjauan pasaran (market survey).

Tidak kurang juga, kesemua peserta D2G ini turut mendapat bantuan sokongan kesihatan mental daripada pakar-pakar psikiatri Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai yang berpusat di Seksyen 7, Shah Alam. Bantuan ini penting bagi menjamin kesihatan mental mereka agar dapat meneruskan agenda kehidupan dan perniagaan masing-masing dengan lebih baik.

Imbas kembali, program D2G ini bertujuan mahu membantu usahawan asnaf dan B40 atau penerima manfaat yang terjejas sepanjang tempoh getir pandemik COVID-19 meneruskan perniagaan mereka sebagai punca pendapatan utama keluarga.

Selain itu, program ini juga dapat menyalurkan bantuan serta sokongan perniagaan yang sesuai bagi merancakkan semula operasi perniagaan usahawan yang terjejas teruk.

Dalam masa sama, program ini mahu memberi bimbingan perniagaan secara berterusan bagi memastikan bantuan yang diberikan dapat digunakan secara produktif, sekaligus meningkatkan prestasi perniagaan.

Majlis Graduasi Usahawan D26 ini berlangsung selama dua hari, iaitu pada 4 dan 5 Disember baru-baru ini, bertempat di bangunan Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya. Ia juga turut mendapat liputan daripada beberapa agensi media tempatan seperti RTM dan lain-lain.