‘Tukar Sampah Jadi Duit’, Inisiatif Terbaik Jaga Alam Sekitar

Kredit gambar: GPM Malaysia

SISA pepejal seperti sampah sepatutnya perlu dibuang ke dalam tong sampah. Ini bagi menjamin kebersihan alam sekitar, sekaligus mengurangkan risiko pencemaran air dan udara.

Bagaimanapun dari sudut kemampanan alam sekitar, tidak semua sampah perlu dilupuskan terus, sebaliknya ia masih boleh dimanfaatkan pada masa depan melalui amalan kitar semula.

Seperti yang kita tahu, ‘sifir’ mudah bagi amalan kitar semula adalah pada warna tong sampahnya. Tong warna biru untuk kertas, tong coklat untuk kaca dan tong hijau untuk tin dan plastik.

Tapi tahukah anda, kini sudah ada inisiatif baharu dalam amalan kitar semula iaitu menukar sisa pepejal itu dengan pembelian semula secara tunai. Bahasa mudahnya, ‘tukar sampah jadi duit’.

Begitulah seperti yang dilakukan dalam program Anda Kitar, Kami Bayar anjuran SWCorp melalui projek ‘Love Initiative for Earth (LIFE)‘ yang berlangsung di Melaka pada 23 Oktober lalu.

Kredit gambar: GPM Malaysia

Konsepnya mudah saja. Program ini mengalu-alukan mereka yang memiliki bahan sisa buangan seperti fabrik (kain baju) dan minyak masak terpakai, sisa barangan elektronik (e-waste) dan barangan kitar semula.

Berkonsepkan ‘pandu-lalu’, mereka hanya perlu membawa bahan buangan tersebut dan menukarkannya dengan nilai pembelian semula melalui kaedah timbangan berat. Pendek kata, datang bawa sampah dan pulang bawa duit.

Nilai pembelian semula yang dicatatkan adalah sebanyak RM2,246.40 bagi 1,248 kilogram minyak terpakai; RM371.30 bagi 1,858.65 kilogram sisa barangan e-waste; RM495 bagi 4,595 kilogram sisa fabrik serta RM438.90 bagi 2,370 kilogram sampah boleh dikitar semula.

Untuk rekod, jumlah keseluruhan berat bagi sisa buangan yang terkumpul dalam tempoh beberapa jam adalah 10,071.65 kilogram, manakala hasil pembelian semula adalah berjumlah RM3,552.03.

Sebagai orang awam yang cintakan alam sekitar, marilah bersama-sama menguruskan sisa pepejal kita secara lestari agar bumi tidak lagi tenat menampung lambakan sampah yang terlalu banyak.

Sumber: Facebook Global Peace Mission (GPM) Malaysia