#tipsgayahidup: 10 ‘Common Sense’ Yang Perlu Korang Amalkan Kalau Nak Jadi Baik

SEBAGAI seorang Muslim, melakukan kebaikan adalah satu perkara yang amat dituntut dalam menjalani kehidupan seharian.
Apatah lagi Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda;
“Sebaik-baik manusia adalah yang memberi manfaat kepada orang lain,” (hadis riwayat Ahmad).
Pernah dengar istilah ‘common sense’?
Secara falsafahnya, ia bermaksud keupayaan minda untuk melihat dan mentafsir perkara-perkara seperti pergerakan dan saiz (logik akal).
Selain itu, ia juga membawa maksud rasa semulajadi manusia terhadap manusia lain dan masyarakat. Ia adalah cara dan keupayaan kita untuk hidup dalam sebuah masyarakat dengan harmoni.
Atau dalam bahasa mudahnya untuk difahami,

“Benda tu tak perlu suruh pun anda boleh fikir sendiri”.

Suasana kehidupan hari ini banyak menuntut manusia untuk melakukan kebaikan yang sangat berkaitan dengan ‘common sense’.
Berikut ada 10 situasi yang kita boleh amalkan:-

1-Lepas makan, kemas meja

Situasi ini sering dikaitkan dengan kedai makan, di mana selepas kita selesai menjamah hidangan, adalah lebih baik untuk kita ringankan tangan bantu kemaskan semula pinggan yang kita guna.
Mungkin sesetengah orang beranggapan, ianya tidak perlu sebab pekerja kedai makan itu dibayar untuk buat kerja-kerja sebegitu.
Namun, tidak salah rasanya jika kita bantu mereka. Tidak banyak pun, bantu susunkan pinggan pun dah cukup memadai buat mereka tersenyum melihat kerja mereka ‘dipermudahkan’.

2-Bantu orang melintas jalan

Sekiranya ternampak ada orang tua, uzur, atau orang kelainan upaya (OKU) mahu melintas jalan, apalah salahnya kita berhentikan kenderaan untuk biarkan mereka lalu dahulu.
Selain dapat meringankan beban kudrat mereka, kita juga telah menyelamatkan nyawa mereka daripada dilanggar kenderaan lain.

3-Bawa makanan kucing ke mana-mana

Bagi pencinta haiwan, tabiat ini mungkin sudah menjadi kebiasaan. Selain itu, situasi di kedai makan juga boleh berlaku apabila kucing-kucing jalanan datang bertandang ke kaki kita.
Mereka hanya minta sisa makanan. Hulurlah ayam secubit dua. Tidak rugi mana pun. Malah, pasti kucing itu akan mendoakan kebaikan untuk kita.

Gambar sekadar hiasan.

4-Kutip sampah

Kalau berjalan kaki di mana-mana tempat, perhatikan juga keadaan kebersihan di kawasan itu.
Jika ada sampah plastik, botol minuman, tisu dan sebagainya yang ‘mencacatkan’ pemandangan, tidak salah rasanya kalau kita tolong kutip dan buang ke tong sampah berhampiran.
Itu pun boleh dikira sebagai amal jariah buat alam sekitar. Kalau sampah itu dibiarkan begitu saja, tidak mustahil akan hanyut ke longkang jika hujan turun sekaligus membuatkan air tersumbat. Besar risikonya.

5-Beratur

Amalan ini sudah dipupuk sejak zaman sekolah rendah lagi. Adakah kita masih ingat? Bila beratur, keadaan akan jadi lebih tersusun.
Situasi mudah yang selalu kita terlepas pandang, contohnya ketika beratur di kaunter stesen minyak. Kadang-kadang orang main serbu saja.
Ketika tengah bersesak itu, apa kata kita jadi orang pertama yang beratur. Lihatlah selepas itu, pasti ada orang kedua, ketiga, keempat dan seterusnya yang beratur di belakang kita. Percayalah.

6-Tak pentingkan diri waktu ‘parking’ kenderaan

Selalu terjadi kes letak kenderaan secara bertindih (double parking) hingga menghalang lalu lintas. Lebih ‘malang’ lagi, kereta itu dikunci sekali brek tangannya, selain nombor telefon tidak ditinggalkan.
Ya, kita boleh berhusnu zhon, mungkin pemilik kereta itu dalam kecemasan, tidak sempat cari parking lain. Tapi sebaiknya, tinggalkanlah nombor telefon supaya mudah dihubungi.

7-Balik kampung jangan ‘terperap’ dalam bilik

Gambar sekadar hiasan.

Situasi ini sering terjadi oleh kebanyakan mereka yang pulang ke kampung sekali-sekala. Ketika di rumah bersama mak ayah, sebaiknya kurangkan memegang telefon untuk melayari media sosial, sebaliknya lebihkan masa untuk berbual dengan mereka.
Tolong mak masak di dapur, teman ayah mengemas kebun, bawa mereka bersarapan di luar dan banyak lagi. Asalkan masa itu pasti bersama mereka.
Lama mereka menanti kepulangan kita, jadi waktu sehari dua yang ada itulah perlu dimanfaatkan sebaiknya.

8-Sentiasa senyum

Salah satu amalan Nabi Muhammad SAW adalah sentiasa senyum. Apabila kita senyum, automatik minda dan fikiran kita akan positif.
Dalam masa sama, orang lain yang melihat kita pun turut berasa senang hati.

9-Bersedia bersedekah bila-bila masa

Selalu kita ternampak pengemis di mana-mana kan? Sebagai seorang yang berjiwa sukarelawan, bersedekah kepada mereka adalah satu amalan terpuji.
Senang saja, sediakan duit kecil (RM1 misalnya) dalam dompet kita. Asal ternampak orang susah yang memerlukan, kita terus hulur saja tanpa fikir apa-apa. Memang niat nak sedekah. Sebab?
Kalau kita terlalu ‘over thinking’, banyak persoalan akan timbul dalam fikiran, contohnya benarkah mereka itu pengemis? Duit yang dapat tu nak makan atau beli rokok? Dan sebagainya.
Orang kata, kalau dia nak menipu, biarlah itu urusannya dengan Allah. Kita sebagai sukarelawan, kita sudah jalankan bahagian kita. Bukankah Allah itu Maha Mengetahui?

10-Ringan mulut ucap terima kasih

Walaupun sekadar dua perkataan, tak dinafikan kadang-kadang ia boleh jadi sangat berat untuk diucap, kalau kita tidak biasakan diri untuk mengucapkannya.
Tanda orang yang bersyukur adalah sentiasa mengucapkan Alhamdulillah. Itu antara kita dengan Allah.
Bagi sesama manusia pula, ucapan terima kasih menandakan kita menghargai seseorang itu, walaupun sekadar tolong beri laluan.
Begitulah 10 common sense asas yang perlu kita amalkan dalam kehidupan seharian.
Mungkin ada banyak lagi yang perlu ditulis, namun cukuplah 10 ini menjadi ‘pemula’ untuk kita amalkan dan hidup dengan lebih baik.
Persoalannya, bila nak mula?
Tidak perlu tanya siapa-siapa. Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Jom jadi baik!