Tips Solat: Panduan Menentukan Arah Kiblat Menggunakan Lintasan Matahari

Gambar hiasan | Kredit: Google

UMAT Islam pasti mengetahui bahawa salah satu amalan wajib yang termaktub dalam Rukun Islam ialah solat lima waktu. Garis panduan bagi ibadah solat ini pula telah ditetapkan seperti yang dinyatakan dalam Quran dan hadis nabi.

Selain itu, kita juga mendirikan solat dalam keadaan menghadap ke arah kiblat iaitu ke Ka’abah di Masjidilharam. Menyentuh soal kiblat, terdapat pelbagai metodologi yang dilakukan bagi mengenal pasti kedudukan arah kiblat yang tepat lagi diyakini.

Baru-baru ini, Bahagian Falak & Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan berkongsi panduan untuk menentukan arah kiblat dengan menggunakan lintasan matahari. Mari ikuti perkongsian di bawah ini.

Panduan menentukan arah kiblat menggunakan lintasan matahari

Penentuan arah kiblat membantu umat Islam menunaikan ibadat dengan yakin dan sempurna. Arah kiblat pada asasnya bermaksud arah menghadap ke kaabah yang terletak di Mekah. Terdapat pelbagai cara dalam menentukan arah kiblat sama ada menggunakan kaedah moden atau tradisonal.

Salah satu peluang terbaik untuk menetapkan arah kiblat adalah sewaktu matahari berada tegak di atas garisan kiblat. Fenomena ni berlaku hampir sepanjang tahun di Malaysia kecuali hari-hari tertentu dalam bulan Januari, Jun, Julai dan Disember.

Kaedah untuk menyemak arah kiblat menggunakan kaedah ini adalah mudah. Bayang matahari dicari dengan meletakkan kayu tegak (diyakini tegak 90 darjah) tanpa ada apa-apa halangan.

Ia boleh dilakukan pada tarikh dan waktu yang mana bayang matahari searah dengan kiblat. Nak tahu waktu dan tarikh tersebut, sila rujuk gambar rajah yang disertakan (di bawah artikel). Terima kasih.

Tatacara yang digunakan bagi menentukan arah kiblat dengan menggunakan kaedah ini adalah:

  1. Pastikan merujuk kepada waktu yang tepat berdasarkan waktu Malaysia. (Sila dail 1051 untuk mengetahuinya)
  2. Gunakan objek yang diyakini tegak (90 darjah) dan lurus seperti tingkap, pintu dan lain-lain.
  3. Bayang yang terhasil daripada objek tersebut akan menunjukkan ke arah kiblat. InsyaAllah.
  4. Tandakan garis bayang yang terhasil.

Sekian, selamat mencuba.

Sumber: Bahagian Falak & Sumber Maklumat, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan