Masih Terjejas Akibat COVID-19? Ini Cara Mohon Bantuan Zakat Selangor Peduli

Gambar hiasan | Kredit: Awani

WALAUPUN negara kini sedang menuju fasa pulih melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun tidak dinafikan masih ramai yang terkesan kehidupannya akibat wabak COVID-19.

Justeru, pelbagai inisiatif bantuan dijalankan oleh kerajaan bagi memastikan kelangsungan ekonomi rakyat, khususnya mereka yang berstatus M40, B40, asnaf dan seumpamanya.

Di Selangor pula, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang dikhususkan untuk membantu golongan terkesan ini.

Difahamkan, bantuan ini adalah kesinambungan daripada pakej bantuan terdahulu iaitu Bantuan Khas COVID-19 (BKC19) dan Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT).

Penting untuk difahami, ia ditawarkan kepada individu B40 yang terjejas pendapatannya dan hilang pekerjaan yang memenuhi syarat serta kriteria yang tertentu.

Bagaimanapun, ia bukan untuk asnaf fakir, miskin dan muallaf yang berdaftar dengan LZS dan permohonannya telah dibuka secara rasmi bermula Julai 2021.

Syarat-syarat permohonan

1. Pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:-

  • Beragama Islam
  • Warganegara atau pemastautin tetap (PR)
  • Lahir dan menetap di Selangor / bermastautin dan masih menetap di Selangor tidak kurang tiga tahun (tidak tertakluk kepada asnaf Ibnu Sabil)
  • Pemohon mestilah ketua keluarga bagi isi rumah
  • Memenuhi kriteria Had Kifayah yang ditetapkan oleh LZS iaitu pendapatan isi rumah kurang atau tidak sampai had mencukupi (Had Kifayah) bagi asnaf fakir miskin

2. Pemohon telah dibanci menggunakan Had Kifayah dan memenuhi kriteria seperti berikut:-

  • Hilang pekerjaan / pendapatan (peniaga kecil / penjaja); atau
  • Masih diarah cuti tanpa gaji; atau
  • Masih bekerja dengan pemotongan gaji bulanan; atau
  • Pemohon dalam proses menunggu pencen (kerajaan) / pencen atau bantuan ilat / pencen penakat / insuran / pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Dokumen lampiran yang diperlukan

Pemohon wajib menyertakan dokumen berikut bagi permohonan yang berkaitan. Kegagalan melengkapkan dokumen menyebabkan permohonan akan ditolak:-

  1. Salinan kad pengenalan keluarga dan pasangan
  2. Salinan kad pengenalan atau sijil kelahiran tanggungan
  3. Slip pendapatan atau pengesahan pendapatan bagi yang bekerja sendiri
  4. Pengesahan pemberhentian kerja atau diarah cuti tanpa gaji atau dikurangkan gaji bulanan (bagi yang bekerja)
  5. Dokumen pendaftaran atau lesen perniagaan (sekiranya berkaitan)
  6. Maklumat bank yang mengandungi nama bank, nama pemegang akaun dan nombor akaun bank untuk uruskan pembayaran terus ke akaun pemohon
  7. Bil utiliti TNB / air / Indah Water (IWK) / cukai dan lain-lain (satu sahaja)
  8. Pengesahan status perkahwinan (dimuat naik dalam lain-lain dokumen dalam portal)
  9. Pengesahan / memo status kesihatan pemohon / tanggungan daripada pakar atau doktor perubatan (sekiranya memilih pernyataan masalah [b])
  10. Sebut harga / pengesahan kos rawatan daripada pakar, doktor perubatan, farmasi atau syarikat pembekal (sekiranya memilih pernyataan masalah [b])
  11. Dokumen berkaitan dengan hutang yang perlu dijelaskan dengan kadar segera (sekiranya memilih pernyataan masalah [c])

Sekiranya tiada surat pemberhentian kerja, pemohon boleh mengisi Borang Akuan Hilang Pendapatan di SINI.

Selain itu, semua dokumen lampiran yang dikemukakan ini tidak memerlukan pengesahan daripada ketua kampung / JKKK / penghulu / pegawai Kumpulan A kecuali Surat Akuan Hilang Pendapatan.

Nak mohon di mana?

Bagi yang ingin memohon, permohonan bantuan Zakat Selangor Peduli ini boleh diakses melalui pautan INI. Sebarang pertanyaan pula boleh dirujuk melalui talian 1 300 88 4343.

Tempoh bantuan ini adalah enam bulan bermula dari tarikh kelulusan dan sepanjang tempoh itu, pemohon boleh memohon Bantuan Keperluan Hidup sebanyak tiga kali berdasarkan keterangan dalam Perkara 10.

Selepas tempoh enam bulan, pemohon yang masih memerlukan bantuan boleh berhubung dengan LZS untuk siasatan bancian bagi menentukan bantuan yang boleh ditawarkan kepadanya.

Bagaimana kaedah penyaluran bantuan?

Kaedah bayaran dibuat melalui sistem Pemindahan Dana Elektronik (EFT). Justeru, pemohon dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah berikut:-

  • Akaun bank masih aktif untuk proses transaksi bayaran
  • Akaun bank adalah akaun individu dan bukan akaun bersama
  • Maklumat nombor akaun dan nama bank dimuat naik dengan jelas

Namun sekiranya pemohon tiada akaun bank, bantuan akan disalurkan melalui pindahan tunai ke akaun bank pasangan atau waris terdekat melalui Surat Perwakilan Kuasa yang ditandatangani oleh pemohon.

Bagaimanapun perlu diingat, golongan asnaf fakir / miskin / muallaf di bawah LZS tidak dibenarkan untuk mengisi permohonan ini.

Sebaliknya mereka boleh merujuk terus dengan Penolong Amil Kariah atau Eksekutif Operasi Agihan Daerah di kawasan masing-masing.

Sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh merujuk lampiran Soalan Lazim di portal Bantuan Zakat Selangor Peduli di pautan INI.

 

 

 

Sumber: Portal Zakat Selangor