“Hilang Tetapi Hidup Sewaktu Ramadan”

Kehilangan aktiviti rewang semasa musim perkahwinan dan majlis lain tidak ubah seperti zaman seluar kembang yang berlalu hingga akhirnya dilupakan. Kata orang, setiap zaman ada generasinya.

Jika ditanya tentang perbezaan zaman, ada yang berpendapat generasi hari ini lebih hidup di media sosial daripada dunia sebenar. Mungkin ini sebahagian faktor aktiviti fizikal khususnya kemasyarakatan semakin bubar kecuali sewaktu Ramadan.

Sungguhpun Ramadan sinonim dengan haus, lapar dan penat, aktiviti rewang memasak agak hidup. Aneh sekali ia mendapat sambutan. Memasaknya pula bukan sebungkus dua tetapi beratus, kadang mencecah ribu-ribu. Jika memasak dalam musim bahang, panas dan peluhnya berlawan.

Tenaga kerja yang ikut merewang juga aneh. Ramai tetapi bukan ahli keluarga, ahli komuniti setempat pula tidak semua kerana yang susah perlu mendahulukan kerja. Maka ada yang datang dari kejiranan sebelah, dari luar daerah, bahkan ada juga kumpulan pelajar universiti yang saling mengumpul duit buat tambang perjalanan jauh.

Walaupun yang terlibat baru saling mengenali, jumlah tenaga kerja yang mencukupi adalah kepuasan sebenar merewang dalam bulan Ramadan. Lebih ramai tenaga, semakin kurang rasa penat, haus dan lapar.

Merewang dalam bulan Ramadan segera mengingatkan kami bahawa Rasulullah SAW pernah menyebutkan Ramadan adalah bulan yang penuh berkat. Menurut Al-Asfihani, iaitu seorang ulama tafsir yang terkenal pula, sesuatu yang disebut berkat bermakna terdapat kebaikan dan kebajikan yang amat banyak didalamnya.

Mungkin inilah yang mendorong sesetengah individu untuk terlibat dengan aktiviti rewang memasak sewaktu bulan Ramadan. Lebih istimewa, Allah SWT ada menyediakan sesuatu.

Diriwayatkan oleh Zaid Ibn Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.[1] – Riwayat al-Tirmidzi: 807

Tidak hairanlah rewang memasak dalam bulan ini istimewa. Susah-payah, duit, masa dan aktiviti peribadi yang dikorbankan rupa-rupanya Allah gantikan dengan ganjaran yang lebih baik. Semoga aktiviti yang semakin dilupakan ini dapat terus diwujudkan dengan niat, kesedaran serta penghayatan yang melebihi keserian serta estetik di media sosial semata-mata.