Hati-hati, Scammer Boleh Memburu Anda Di Sebalik Nama 'NGO'

Isu scammer bukan lagi asing dalam masyarakat kita. Pelbagai jenis jenayah berkaitan scam sering berlaku dan kini semakin menjadi barah tanpa sedar.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menahan sekumpulan individu dipercayai menjadi dalang kegiatan scammer terbesar di negara ini.
Dikatakan jutaan ringgit telah ‘berjaya’ disapu mereka daripada mangsa-mangsa yang tidak bernasib baik.
Berbalik kepada isu asas, sebenarnya jenayah scam ini luas, bukan sahaja berlegar dalam radius penjenayah wang ringgit semata-mata, malah mereka juga bergerak dan berselindung atas nama pertubuhan kebajikan.
Umum mengetahui, badan bukan kerajaan (NGO) khususnya bidang kemanusiaan kebiasaannya menjalankan gerak kerja pertubuhan berdasarkan sumbangan awam.
Sumbangan awam yang dibuka ini selalunya ‘laku’ kerana misi bantuan kemanusiaan yang dijalankan kelihatan jelas untuk menarik kepercayaan orang awam.
Tidak dinafikan, banyak NGO di negara ini betul-betul menjalankan misi bantuan menggunakan sumbangan ini dan ternyata mereka berjaya.
Namun, jangan tidak tahu, ada juga segelintir pihak (scammer) yang berselindung di sebalik nama ‘NGO’ untuk memperdaya mangsa yang jenis pemurah.

Cara NGO scammer buat kerja

Difahamkan, terdapat beberapa modus operandi yang dijalankan mereka untuk menarik perhatian mangsa, antaranya:-
1- Kempen bermusim
Mereka hanya buka kempen pada bulan Ramadan dan jika ia bantu pelarian, hanya pada musim sejuk dan Ramadan sahaja. Ia berbeza dengan NGO-NGO lain yang kempennya akan berjalan sepanjang masa, tidak terhad untuk satu-satu tempoh.
Seperkara lagi, mengapa Ramadan yang disasarkan? Kerana Ramadan ialah bulan yang dipercayai menjadi lubuk pahala. Sudah tentu rasa prihatin orang awam pada bulan tersebut sangat tinggi. Jadi, ketika itulah mereka jalankan kerja mereka.
2- Tiada perkembangan
Tiada sebarang laporan kemas kini yang dibentangkan selepas kutipan awam dibuat. Selepas misi dijalankan (jika benar seperti dalam hebahan), mereka akan senyap terus seribu kata. Wang yang disumbangkan itu pun tidak diketahui ke mana tujunya.
Ia berbeza dengan NGO lain, hatta badan berautoriti seperti pusat zakat sekalipun. Setiap bulan atau penggal tertentu pasti akan dilampirkan laporan perbelanjaan keluar masuk wang misalnya untuk beri penjelasan kepada orang awam tentang ketelusan pihak pengurusan menguruskan wang sumbangan.
3- Curi harta intelek
Scammer NGO ini akan menciplak dan tiru poster iklan atau harta intelek milik NGO lain secara tidak beretika, jauh lagi permohonan kebenaran. Faktor ini mungkin disebabkan mereka tiada tenaga kerja yang mahir dalam penghasilan bahan-bahan iklan (pereka grafik misalnya). Lalu jalan pintas untuk ‘cepat jalan’ adalah mencuri.
Selain bahan grafik iklan, satu lagi maklumat sulit yang berisiko dicuri ialah data peribadi penyumbang. Setiap penyumbang yang memberi sumbangan kepada NGO, data mereka akan direkodkan dan disimpan untuk rujukan.
Namun, tidak dinafikan ada scammer NGO ini licik. Mereka tahu di mana ‘lubang’ untuk mengambil data peribadi tersebut sama ada emel, nombor telefon dan sebagainya.
4- Copywriting melampau
Mungkin terdesak mahu ‘mengumpan’ emosi mangsa, mereka dipercayai akan menggunakan penulisan isi kandungan hebahan (copywriting) yang melampau dan agak ekstrim. Selain itu, ada juga tahap ‘menunggang agama’ semata-mata mahu membuktikan misi bantuan mereka itu benar-benar berjalan.
Secara logiknya, penyampaian sesuatu perkara dalam komunikasi akan lebih ‘sampai’ jika dibicarakan dengan ikhlas dari hati. Bukan memaksa-maksa, apatah lagi mencampur-aduk penyampaian dengan perkara yang di luar logik.
Jika mahukan sumbangan untuk pelarian Palestin, cukuplah sekadar mengucapkan penghargaan. Tidak perlu sehingga ‘menjanjikan syurga’. Itu bukan urusan kita.
5-Terlalu mendesak
Hampir sama dengan situasi keempat. Desakan yang dibuat selalunya melalui gambar di dalam poster, contohnya menggunakan wajah mangsa serangan bom yang luka parah dan meraung tangis. Gambar sedemikian mungkin digunakan untuk menarik emosi lebih ramai penyumbang tersentuh hati untuk menyumbang.
Selain itu, copywriting yang mendesak juga satu masalah yang dicipta mereka, di mana ayat yang digunakan seolah-olah memaksa penyumbang untuk ‘terpaksa’ menghulurkan sumbangan. Lebih parah lagi, ayat tersebut seakan berbaur ugutan seperti “Sekiranya anda tidak menyumbang, ketahuilah murka Allah untuk mereka yang kedekut dengan rezeki,”. Apabila terlalu memaksa, kata-kata permohonan bantuan itu bukan lagi dibicara melalui hati, tapi lebih kepada emosi.
Sebaliknya, jika diperhatikan cara NGO sebenar, mereka tidak pernah memaksa. Malah lebih kepada ‘Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan’. Sangat profesional dan memohon dalam nada tenang. Kecuali jika berlaku misi kecemasan yang betul-betul memerlukan sumbangan segera (contohnya letupan Lubnan baru-baru ini), barulah teknik ‘mendesak’ akan digunakan. Itupun tidak melampau-lampau.

Apa nak buat sebelum menyumbang?

Berdasarkan kelima-lima perkara di atas, jelaslah di sini bahawa orang awam berhak untuk menjalankan siasatan ringkas terlebih dahulu sebelum membuat keputusan ‘melepaskan’ sejumlah wang kepada tabung sumbangan mereka.
1- Semak latar belakang NGO
Ini penting untuk kita mengenal pasti siapa yang menjadi tulang belakang sesuatu NGO tersebut. Adakah orang berpengaruh, orang korporat, usahawan, ahli politik, pakar perubatan, penyelidik dan sebagainya.
Kita boleh semak direktori pengurusan bermula dari peringkat Ahli Lembaga Pengarah, barisan pimpinan majlis tertinggi, exco jabatan, kakitangan sehinggalah ke sukarelawan melalui laman web rasmi NGO, media sosial mahupun buku profil rasmi.
Difahamkan, mengikut kepada undang-undang, setiap NGO yang ditubuhkan wajib mempunyai lapan nama ahli lembaga pengarah.
2- Semak pendaftaran NGO di bawah ROS
Selain itu, kita boleh semak pendaftaran NGO tersebut di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Ia bertujuan untuk memastikan NGO itu bergerak betul-betul secara sah di sisi undang-undang.
Sebaliknya, jika sesuatu NGO itu didapati tidak didaftarakan di bawah ROS, sudah tentu pengurusannya juga boleh menimbulkan keraguan, lebih-lebih lagi berkaitan soal keluar masuk kewangan.
Semakan status pendaftaran NGO boleh disemak di pautan INI.
3- Media sosial NGO
Ini juga penting kerana media sosial milik NGO itu ibarat identiti maya. Orang awam akan menilai kualiti, gerak kerja, perjalanan program, pengurusan dan kewangan melalui media sosial tersebut.
NGO terbaik adalah yang mempunyai akaun-akaun media sosial yang aktif. Aktif di sini bermaksud hebahan iklan, maklumat, berita, poster, kempen dan sebagainya sentiasa dimuat naik dari semasa ke semasa.
Seperkara lagi, apabila media sosialnya aktif, itu bermaksud NGO berkenaan mempunyai kemampuan dan keupayaan memiliki ahli pasukan media yang kuat. Barulah orang awam yakin untuk menyumbang.
Begitulah sedikit sebanyak pendedahan mengenai bagaimana cara untuk kita mengelak daripada ‘tersumbang’ kepada pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik nama ‘NGO’.
Dalam masa sama, tiga langkah di atas mungkin boleh membantu untuk kita mengenali sesebuah NGO itu dengan lebih mendalam.
Jika menyumbang ke saluran yang betul, Insya-Allah setiap sen daripada sumbangan itu akan memberi pulangan manfaat yang berganda.
Manakala jika berlaku sebaliknya, agak rugi untuk pihak penyumbang dan pihak penerima yang sepatutnya lebih memerlukan.
Percayalah NGO yang anda kenal, yakinlah NGO yang anda percaya. Selamat menyumbang.
 
 
Sumber asal: Ros Atiqah Fatin, ROS