DI SEBALIK PASCA-BANJIR: SENYUMAN YANG MENGUBAH UJIAN (BAHAGIAN 2)

Jejak MVM di Lanchang

Selain projek baik pulih beberapa fasiliti di dua buah sekolah, MVM turut membantu kerja-kerja baik pulih rumah asnaf yang terpilih.

Rumah Encik Faizal sekeluarga adalah di antara yang menerima bantuan pendawaian semula elektrikal sebelum kami sepakat meneruskan kerja-kerja bantuan dengan membaik pulih kediaman tersebut, sebaik melihat kesan banjir yang teruk akibat tenggelam dalam banjir lumpur. Bahkan, kesannya masih lagi dapat dilihat kali terakhir kami ke sana iaitu Februari yang lalu.

Sebuah bilik kayu, kembang manakala lantainya juga tidak kuat. Rumah tersebut asalnya bersaiz kecil tetapi telah ditambah baik oleh beliau sedikit demi sedikit setiap kali wang simpanannya cukup. Ini kerana beliau mempunyai tiga orang anak perempuan dan dua orang anak lelaki.

Projek baik pulih rumah Encik Faizal telah dilaksanakan dalam tiga bentuk. Iaitu baik pulih elektrikal, merobohkan ruang bilik yang rosak dan diganti dengan dua buah bilik baru, membekalkan pintu bagi bilik-bilik yang sebelum ini tidak mempunyai pintu, merobohkan anak tangga yang tiada fungsi serta yang terakhir, mengecat.

Ini merupakan pertama kali projek baik pulih rumah DSP MVM dibuat secara bergotong-royong, bersama-sama Encik Faizal sendiri selaku Tukang Rumah dibantu sukarelawan daripada pelbagai latar belakang. Hasilnya meskipun projek ini berjalan sedikit demi sedikit, MVM selaku organisasi yang menguruskan projek ini berharap hasilnya mampu memberi kegembiraan kepada penerima, dermawan serta sukarelawan yang telah bersama-sama sejak awal projek ini digerakkan.

Dalam kegembiraan orang lain yang dibantu selepas ujian,

tetap ada kegembiraan untuk semua yang menghulur tangan