Betul Ke Ibu Tunggal Tidak Tersenarai Dalam Golongan Penerima Zakat?

Kita sering terbaca di media sosial, isu-isu tular berkenaan asnaf yang memerlukan bantuan hidup daripada ihsan orang awam. Dalam kebanyakan mereka, antara golongan yang sering mencuri perhatian adalah ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Apabila tularnya isu mereka, pihak pertama yang secara automatik terlintas dalam fikiran kita semestinya ialah pihak zakat, kan? Dalam masa sama, muncul juga persepsi demi persepsi yang mula menimbulkan spekulasi; Di mana pihak zakat? Kenapa tidak buat kerja?

Mungkin secara kasarnya, kita anggap golongan inilah yang perlu dibantu pihak zakat, lebih-lebih lagi telah nyata mereka amat memerlukan bantuan. Soalnya, betul ke kita yakin yang ibu tunggal, OKU dan warga emas ini boleh terima zakat?

Ibu tunggal bukan penerima zakat

Kalau korang nak tahu, ibu tunggal, OKU dan warga emas macam yang disebutkan tadi sebenarnya BUKANLAH termasuk dalam senarai penerima zakat. Pelik kan?

Ya. Secara asasnya memang mereka tidak tersenarai pun. TETAPI bagaimanapun, kelayakan mereka sebaliknya akan diukur dulu berdasarkan  ciri-ciri LAPAN GOLONGAN yang layak menerima zakat seperti yang terkandung dalam Al-Quran.

Firman Allah Taala dalam Surah At-Taubah, ayat 60;

Maksudnya: “Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mualaf yang dipujuk hatinya, orang yang memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, orang-orang berjuang di jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana,”

Mari kita ikuti kelapan-lapan golongan ini satu persatu:-

1) Fakir

Seseorang yang tidak mempunyai sebarang harta mahupun pekerjaan, selain turut tidak menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50 peratus daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya, serta tidak sampai 50 peratus daripada belanja hidup seseorang yang hidup besederhana dan orang-orang tanggungannya.

2) Miskin

Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya, tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian, serta menampung orang-orang tanggungannya.

3) Amil (pengutip zakat)

Jangan tidak tahu, amil zakat juga berhak menerima zakat dalam bentuk upah. Mereka ini terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.

4) Muallaf

Beruntung mereka yang mendapat hidayah untuk cenderung memilih dan memeluk agama fitrah ini. Syara’ telah menggariskan panduan bahawa golongan ‘istimewa’ ini terbahagi kepada dua bahagian:-

A. Beragama Islam

  • Baru memeluk agama Islam
  • Ketua-ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua-ketua bukan Islam yang sejawatan atau sama tarafnya dengannya
  • Ketua-ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang-orang di bawah pimpinannya
  • Orang-orang Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh

B. Bukan beragama Islam

  • Boleh dipujuk supaya masuk Islam
  • Boleh dipujuk supaya tidak berbahaya kepada orang Islam

5) Al-Riqab

Mereka ini yang berperanan memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan, sama ada daripada segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan orang-orang tertentu.

6) Al-Gharimin

Perasan tak, ada kes orang itu rumahnya besar, ada kereta tapi tetap dapat zakat. Setelah diselidiki, rupa-rupanya dia kematian suami, anak masih kecil, terputus sumber kewangan. Rumah dan kereta masih berhutang, risiko tinggi untuk ditarik/dihalau sebab tak mampu bayar.

Perlu tahu, mereka adalah golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syara’.

7. Fisabilillah

Mana-mana orang atau pihak yamg melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

8. Ibnu Sabil

Ibnu Sabil ini istilah mudahnya musafir. Mereka ini berada dalam satu perjalanan yang panjang bagi maksud-maksud yang diluluskan oleh syara’ daripada mana-mana negeri atau negara yang memerlukan bantuan.

Jika dilihat kelapan-lapan golongan di atas ini, secara kasarnya ibu tunggal memang tidak tersenarai langsung. Namun bagaimanapun, pihak zakat akan menilai semula status seseorang ibu tunggal itu; adakah dia mualaf? adakah dia miskin? atau adakah dia berhutang (al-gharimin)?

Kesimpulannya, selari dengan isu yang kerap terjadi pada masa kini, apabila sampai kepada kita sesuatu maklumat yang tular berkenaan ibu tunggal yang didakwa tidak terima zakat, sebaiknya tabayyunlah terlebih dahulu.

Tugas kita selaku orang awam adalah menjadi penyampai maklumat kepada pihak zakat. Kitalah agen awam institusi zakat. Untuk keterangan lebih lanjut, jom tonton video di bawah ini.

 

Sumber rujukan: Lembaga Zakat Selangor / PPZ MAIWP