Bersedekahlah Tanpa Syarat – ( Nur Sahidah Mohammad, CEO MOHA TRADING SDN BHD )

Bersedekahlah Tanpa Syarat – ( Nur Sahidah Mohammad, CEO MOHA TRADING SDN BHD )

Cerita bagaimana bermulanya beliau berjinak-jinak dengan dunia perniagaan, cerita bagaimana beliau bangkit dari kegagalan dan yang paling penting cerita bagaimana sedekah itu mengubah hidup dan perniagaan beliau ke tahap yang membanggakan.
Inilah cerita usahawan muda bernama Nur Sahidah Mohammad atau lebih mesra dikenali sebagai Shida Mohammad.
Jom kita tumpukan perhatian!
Bermula Dari Zero
Gadis berwajah lembut ini berasal daripada Johor. Beliau merupakan anak bongsu dari 5 adik beradik. Beliau mula mengenali dunia perniagaan pada usia 20 tahun. Namun sebelum Shida Mohammad mula berkecimpung dengan dunia perniagaan, beliau pernah bekerja di sektor swasta sebaik sahaja tamat pengajian. Namun pekerjaannya di sektor swasta itu tidak diteruskan kerana mahu menfokuskan kepada perniagaan. Perniagaan pertama yang mula-mula beliau ceburi adalah berasaskan perniagaan online.
“Shida mula buat bisnes online dengan kakak Shida. Kami 100% buat bisnes online dan tak pernah buat offline. Alhamdulillah sekarang kami ada pejabat sendiri dengan 20 staf.” Shida Mohamad memulakan bicara.
Bermula dengan niat untuk membantu keluarga, pada mulanya Shida Mohammad tidak berapa yakin dengan kemampuannya untuk berniaga kerana sudah terbiasa dengan makan gaji. Namun dengan sokongan dan tunjuk ajar kakaknya, Shida Mohammad menepis jauh keraguan itu. Sikit demi sedikit tangga perniagaan itu beliau daki. Semuanya bermula dengan ‘zero’.

“Pada mulanya Shida memang tak yakin nak terjun dalam dunia bisnes ni. Tapi Shida percaya yang 9/10 rezeki datangnya dari perniagaan. Shida pegang yang itu. Apa orang lain buat dalam bisnes, Shida ikut satu persatu.” Imbas Shida Mohammad saat pertama kali beliau terjun ke dalam dunia perniagaan yang baginya suatu masa dahulu adalah sesuatu yang asing.

Selepas 1 tahun berlalu, barulah Shida Mohamamd belajar dengan lebih mendalam tentang selok belok perniagaan. Dari situ beliau sedar bahawa tidak cukup hanya belajar ilmu logik mengenai perniagaan sahaja tetapi hubungan dengan Tuhan juga perlu diperkemaskan.
“Hubungan dengan Allah juga kita kena jaga. Jadi  dari situ kita faham konsep sedekah dan bisnes adalah berkait rapat. Dari situlah Shida buat keputusan untuk tak mahu kejar dunia sangat tapi tumpu juga pada akhirat.”
Perbezaan Hidup Bila Bersedekah
“Bila kita fikir balik apa yang menyebabkan kita jadi down, kita akan semak satu persatu terutamanya dari segi amalan. Dari segi bagaimana kita layan staf dan bagaimana kita layan pelanggan.  At the end of the day kita akan kembali kepada persoalan sedekah.”
Mengakui yang suatu ketika dahulu beliau amat jarang menitik beratkan soal sedekah dalam perniagaan. Jarang menitik beratkan bukan bererti tidak bersedekah langsung tetapi lebih kepada konsep pemahaman sedekah yang ditanam di dalam hati sebelum ini.
“Satu masa tu saya memang down dan bertimpa-timpa masalah datang. Sehinggakan pelanggan sudah hilang kepercayaan kepada saya dan satu demi satu Allah tarik. Bila saya duduk muhasabah, saya sedar mungkin semua ini berlaku sebab saya kurang bersedekah. Selepas daripada itu saya konsisten bersedekah dan kesannya Allah mula bagi balik apa yang pernah hilang. Bukan bagi sikit tapi bagi lebih banyak lagi.”
Berkongsi keajaiban sedekah sehingga satu peringkat menurut Shida Mohamad Moha Group sudah berjaya melahirkan beberapa anak syarikat di bawahnya. Moha Group dapat lahirkan Moha Trading, Moha Biotech dan MBH Medispa dan Alhamdulillah pada tahun 2015 MBH Medispa berkembang baik.
Perjalanan Dipermudahkan

“Pada tahun 2015 ada satu time tu sale tak ada. Jadi saya bertanya dalam hati kenapa ye walaupun dah bersedekah  tapi sale tetap tak ada. Jadi terlintas di hati saya time nak sedekah lebih banyak dari kebiasaan. Tapi masalahnya masa itu duit tak ada. Namun saya nekad juga nak bagi dan saya keluarkan RM500. Alhamdulillah selepas itu ada pelanggan restock barang. Hasil daripada restock tu saya dapat buat sale sebanyak RM10,000. Saya macam tak percaya. Staf saya cakap mungkin sebab saya bersedekah semalam.”

Kejadian itu berlaku dalam tempoh 24 jam sahaja. Allah tidak mengambil masa yang lama untuk menggantikan dengan sesuatu yang lebih banya. Keluar RM500 Allah ganti dengan RM10,000. Maknanya Allah bagi 20 kali ganda dengan apa yang beliau keluarkan. Mungkin itulah hasilnya apabila kita 100% bergantung kepada Allah walaupun kita tahu saat itu kita tidak punya wang lebih untuk memberi.
Kenapa kita sibuk mahu membantu orang lain sedangkan ketika itu kita sendiri pun tidak berduit? Pertama, kerana dengan membantu orang lain, kita sedang membuka mata dan hati kita bahawa ramai lagi yang musibahnya lagi besar dari kita dan jika dibandingkan dengan apa yang menimpa kita, apalah sangat untuk kita menangis dan berduka. Kedua, dengan melihat mereka yang lebih susah dan lebih mudarat daripada kita, maka kita akan belajar untuk bersyukur terhadap apa yang Allah kurniakan kepada kita selama ini. Ketiga, dengan membantu orang lain, kita sebenarnya sedang menggembirakan 2 orang. Iaitu orang yang dibantu dan diri sendiri. Malah diri sendiri terasa lebih bahagia kerana telah melakukan sesuatu yang baik. Bila bahagia maka hidup kita terasa lebih bermakna.
“Sampai sekarang tiap-tiap hari jumaat kami saya akan konsisten ‘memberi’. Contohnya setiap jumaat saya bagi staf makan dan bagi makanan pada masjid. Perkara-perkara macam ni buat staf menjadi akrab dengan saya dan urusan kerja staf menjadi mudah. Sekarang ini kalau duit gaji staf masuk saya akan galakan staf asingkan duit gaji untuk bagi parents dahulu sebelum perkara-perkara lain. Dapat lihat daripada itu sale mereka pun tinggi.”
Apa Yang Sedekah Mampu Lakukan?

“Saya minta dengan Allah supaya diberikan team yang betul-betul ikhlas bekerja dengan saya. Alhamdulillah memang Allah bagi pada saya staf yang macam tu, yang ikhlas dan tak berkira pasal kerja. Allah juga hantar pada saya kawan-kawan yang positif.”

Ada juga suatu ketika menurut Shida Mohammad dengan asbab beliau bersedekah Allah membantu dengan memberi idea untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan cepat. Kadang- kadang dalam perniagaan kita akan rasa buntu dan keliru untuk membuat keputusan-keputusan penting. Tidak semua masalah itu kita perlu selesaikan dengan strategi-streategi yang mantap. Adakalanya cukup hanya dengan kita memberi sedekah.
“Kalau saya ada masalah selalunya saya akan bersedekah dan Alhamdulillah Allah datangkan pada saya idea untuk mengatasi masalah itu. Kadang-kadang terlalu buntu tak tahu nak buat apa lebih lebih lagi soal strategi. Saya akan bertenang dan buat apa yang wajib dulu dan akhirnya dimudahkan urusan itu.”
Jika setiap bulan kita boleh allocate budget untuk melunaskan bil, kita juga seharusnya mempunyai peruntukkan khas untuk bersedekah setiap bulan. Biar sedikit tetapi asalkan berterusan. Inilah yang dilakukan oleh Shida Mohammad terhadap kakitangannya. Bagi beliau, sesuatu kejayaan syarikat itu bergantung kepada kegembiraan kakitangan. Bila kakitangan cintakan kerja mereka maka secara tidak langsung syarikat juga akan makin berkembang. Jangan terlalu memikirkan bagaimana mengikat hati pelanggan. Fikirkan juga bagaimana untuk mengikat hati kakitangan.
“Kita juga sediakan bajet untuk meraikan kakitangan. Kalau ada kakitangan kita yang sambut hari jadi, kita hargai dengan memberi tunai dan kita jadikan konsep menghargai kakitangan ini sebagai amalan dalam syarikat.”
Kecukupan Rezeki
Shida Mohammad mengakui bahawa dengan perniagaan yang beliau jalankan ini menjadikan pemahaman beliau terhadap sedekah semakin menebal. Beliau mula bersedekah pun ketika berada dalam dunia perniagaan. Berbanding dengan kerja makan gaji suatu ketika dahulu, beliau merasakan ada perbezaan daripada sudut kecukupan rezeki.

“Waktu dulu gaji saya RM1500 kiranya sudah besar ketika itu. Tapi dengan gaji sebesar itu saya rasa tidak cukup. Tetapi bila mula berbisnes, saya hidup dengan gaji yang sama ketika makan gaji dahulu tapi saya rasa cukup. Kecukupan itu mungkin sebab saya utamakan ibu bapa saya terlebih dahulu. Dengan mengutamakan ibu bapa, saya tidak pernah merasa kurang.”

Beliau dapat merasakan dengan mengutamakan ibu bapa sebenarnya memberi impak yang besar terhadap kecukupan dan keberkatan rezeki. Jumlah gaji yang sama tetapi menghasilkan 2 keadaan yang berbeza. Apabila kita banyak memberi maka banyak jugalah yang akan kita terima.
“Kadang-kadang menerima itu bukan berkisar pada duit sahaja. Ia termasuklah kesihatan. Kalau dulu walaupun saya ada duit tapi saya tak dapat apa yang saya nak. Tapi sekarang walaupun duit tu tidak banyak tetapi saya rasa cukup.”
Kecukupan inilah membuat hidup kita terasa tenang. Jiwa terasa luas dan hati terasa lapang. Soal sikit atau banyak harta yang kita ada sebenarnya soal yang subjektif. Ramai orang merasa cukup walaupun dengan wang yang sedikit. Ramai juga orang yang merasa hidup sempit walau dengan harta yang bertimbun-timbun. Kerana apa? Kerana hidupnya tidak ada berkat.
Bagaimana nak hidup berkat? Bersedekahlah tanpa syarat.
Pre-Order Buku Ohsemnya Sedekah

Kisah penuh kejayaan Shida Mohammad dalam membangunkan empayarnya boleh anda baca di dalam buku Ohsemnya Sedekah. Buku ini menceritakan kisah jatuh bangun 6 orang usahawan berjaya di Malaysia. Yang paling penting adalah bagaimana konsep sedekah membantu mereka untuk berjaya. Jangan lupa untuk dapatkannya. Pre Order dibuka! Sebarang tempahan boleh terus menghubungi wakil MVM di 013 834 3012 / 012 235 6854