Arab Saudi Dilapor Wajibkan Vaksin COVID-19 Untuk Jemaah Haji, Syarat Utama Dapatkan Visa

INDIVIDU yang telah menerima dos suntikan vaksin COVID-19 sahaja yang akan diberikan kebenaran untuk memasuki Arab Saudi bagi tujuan ibadah haji.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr. Tawfiq Al-Rabiah berkata, keputusan itu telah diputuskan oleh pihak kerajaan sebagai langkah keselamatan di kala pandemik COVID-19 yang masih belum reda hingga kini.

“Vaksin COVID-19 diwajibkan kepada mereka yang mahu masuk ke negara ini untuk menjalankan ibadah haji.

“Malah ianya juga termasuk dalam salah satu syarat utama bagi mendapatkan visa,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini, memetik laporan Aljazeera.

Dalam pada itu, Dr. Tawfiq turut menjelaskan bahawa kerajaan Arab Saudi perlu mempertingkatkan kesiapsiagaan menerima kehadiran jemaah haji dari seluruh dunia.

“Kerajaan perlu melantik sejumlah petugas khas kesihatan yang akan berkhidmat di fasiliti kesihatan di Mekah dan Madinah sebagai langkah persediaan.

“Fasiliti kesihatan ini dijangka akan ditempatkan di pintu-pintu masuk jemaah haji.

“Selain itu, satu jawatankuasa khas berkenaan vaksinasi COVID-19 juga akan ditubuhkan,” tambahnya lagi.

Suasana Masjidilharam ketika sebelum pandemik COVID-19 | Kredit foto: REUTERS/BBC

Mengimbas kembali, ketika pandemik COVID-19 mula tersebar pada awal tahun lalu, Arab Saudi mengambil tindakan pantas menutup sempadan negaranya daripada kemasukan jemaah haji.

Dalam masa sama, umat Islam di seluruh dunia yang telah dijadualkan bakal menjalani ibadah haji dan umrah di kota suci itu diminta untuk menangguhkan dahulu giliran mereka.

Kouta jemaah haji yang kebiasaannya boleh mencapai kira-kira dua juta orang dalam satu masa juga turut diturunkan kepada 10,000 orang.

Tidak kurang juga, Masjidilharam pada ketika itu hanya dibuka dan dibenarkan pengimarahannya bagi kalangan rakyat tempatan sahaja.

Segala pengurangan dan limitasi demikian adalah bertujuan untuk mengekang penularan wabak COVID-19 yang agak memuncak pada ketika itu.

Vaksinasi ‘harus’, selari keperluan syara’

Sementara itu, hukum menjalani vaksinasi sebagai ikhtiar mencari ‘jalan keluar’ daripada risiko wabak sudah pun dibahaskan oleh barisan agamawan yang berautoriti.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah sebelum ini menjelaskan, segala kekeliruan dalam kalangan masyarakat berkenaan pengambilan vaksin COVID-19 ini sudah pun dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan kali ke-2/2021 pada 11 Feb lalu.

Malah usaha kerajaan dalam memerangi wabak COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Feb baru-baru ini juga turut mendapat sokongan penuh daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah | Kredit foto: Berita Harian

Maka dengan itu, hasil mesyuarat jawatankuasa tersebut telah pun memutuskan bahawa hukum penggunaan dan pengambilan vaksin COVID-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh peringkat golongan seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Keputusan ini adalah selari dengan dalil seperti firman Allah Ta’ala yang bermaksud, ‘Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dengan bersikap bakhil’ melalui Surah al-Baqarah ayat 195.

“Sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, ‘Tidak boleh melakukan sesuatu yang memudaratkan dan tidak boleh memberikan mudarat kepada orang lain’ seperti diriwayatkan Ibn Majah,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Hukum harus yang diputuskan itu juga turut mengambil kira pendirian tegas kerajaan di mana hanya vaksin yang telah dikenal pasti statusnya sebagai ‘Halal dan tayyiban’ (halal lagi baik/suci) sahaja yang akan digunakan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini.

Dalam masa sama, ia juga adalah selari dengan kaedah fiqh seperti ‘Kemudaratan itu mestilah dihilangkan’ dan ‘Urus tadbir pemimpin ke atas rakyat adalah berlandaskan kepada maslahah’.

“Keputusan ini dibuat selepas melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.

“Tambahan pula, ia juga antara usaha pihak kerajaan dalam memastikan negara ini berjaya mengharungi krisis COVID-19 ini dengan lebih efisien.

“Justeru, marilah kita menjadikan fatwa ini sebagai rujukan yang utama khususnya bagi mendukung usaha pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan,” jelasnya lagi.

Sumber: Aljazeera / BBC / Wall Street Journal / KKM / Mufti WP melalui Berita Harian