Akur Keputusan Arab Saudi, Malaysia Tidak Hantar Jemaah Haji Tahun Ini – Menteri Agama

Oleh: NUR ADNIN ABDUL RAZAK

Kerajaan Arab Saudi mengesahkan bahawa ibadah haji yang bakal berlangsung pada Julai ini hanya dibenarkan buat warganegara dan penduduk tempatan sahaja.

Hal ini demikian kerana situasi pandemik COVID-19 yang masih belum mengizinkan, justeru kouta jemaah haji yang diperuntukkan hanyalah sehingga 60,000 sahaja.

Menteri kesihatannya memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih ketat diperkenalkan, antaranya jemaah mestilah sihat dan bebas daripada sebarang penyakit kronik.

Selain itu, kebenaran hanya akan diberikan kepada jemaah berusia lingkungan 18 hingga 65 tahun yang sudah diberi suntikan vaksin sepenuhnya, selaras dengan program vaksinasi yang dilaksanakan kerajaan.

Dalam masa sama, kebenaran juga diberikan kepada jemaah yang telah menerima suntikan vaksin dos pertama dalam masa 14 hari sebelum ibadah haji bermula, atau mereka yang divaksinasi selepas sembuh daripada jangkitan.

Semua SOP baharu ini dikuatkuasakan bagi memastikan keadaan terkawal, di samping sebagai usaha kerajaan mengurangkan penularan wabak berkenaan.

Limitasi kouta ibadah haji yang dilaksanakan Arab Saudi ini sekaligus ‘menutup’ pintu buat negara-negara lain yang ingin menghantar jemaah haji mereka termasuk Malaysia.

Akur situasi semasa, Malaysia tidak hantar jemaah haji

Menghormati keputusan Arab Saudi, maka kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak akan menghantar jemaah haji lagi bagi tahun ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah namun ianya harus diterima demi kemaslahatan ummah.

“Sesungguhnya hifz al-nafs (memelihara nyawa) adalah salah satu daripada prinsip maqasid syariah yang sentiasa dijunjung oleh kerajaan Malaysia dalam mengambil sebarang keputusan.

“Saya menginsafi situasi yang sedang kita hadapi mutakhir ini sebagai sebuah ujian yang amat berat. Pun begitu, saya tetap yakin dengan doa dan munajat kita semua yang sudah pasti pandemik COVID-19 akan berlalu pergi dari kamus kehidupan kita,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya sedia memohon maaf atas penangguhan ibadah haji buat tahun ini yang sememangnya menebalkan lagi rasa rindu umat Islam terhadap Tanah Suci berkenaan.

“Saya memohon maaf kepada semua bakal jemaah haji yang amat cinta dan rindukan dua Tanah Suci kerana terpaksa menangguhkan ibadah haji pada tahun ini.

“Keputusan ini sudah pasti amat berat dan sukar untuk diterima, tetapi kita tetap yakin dengan hikmah di sebalik keputusan tersebut,” tambahnya, merujuk kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

 

 

Sumber: Arab News / Kenyataan Media Dr. Zulkifli