Tips Muslim: Cara-cara Melupuskan Wang ‘Syubhah’

Gambar hiasan | Google

PERNAHKAH anda mempunyai sebarang wang yang tidak diyakini ‘kesuciannya’ atau disebut sebagai wang syubhah? Wang syubhah ini membawa maksud sesuatu harta yang diperolehi daripada sumber yang tidak patuh syariah dan diragui, contohnya hasil curi, riba, berjudi, penipuan, rasuah, transaksi dan sebagainya.

Jika kita ada duit sendiri yang datang daripada hasil berniaga, maka jelaslah bahawa ia  kepunyaan kita dan statusnya halal. Bagaimanapun jika kita memiliki sejumlah wang tunai yang dicuri daripada seseorang, maka jelaslah bahawa ia bukan hak kita. Kita mengambilnya dari tangan pemilik asal dan sudah tentu statusnya haram.

Dalam istilah syara’, pemilikan harta atau wang syubhah ini disebut sebagai al-mal ghair mutaqawwam yang bermakna ‘harta yang tidak bernilai’. Definisi ‘tidak bernilai’ di sini bermaksud, walaupun secara fizikalnya harta itu ada pada tangan kita dan dianggap ‘bernilai’ daripada segi komersial, namun hakikatnya ia tidak diiktiraf langsung di sisi Allah SWT.

Sebab itulah kita amat dilarang untuk menggunakannya bagi apa saja tujuan, lebih-lebih lagi untuk kepentingan peribadi. Hal ini demikian kerana kita tidak mempunyai hak ke atasnya, kerana ia bukan milik kita, apatah lagi ‘suci’ di sisi syara’. Maka sebab itu harta tersebut perlu dikembalikan ke ‘tempat’ asalnya.

Kembalikan ke tempat asal

Memetik perkongsian di laman portal mufti Terengganu, jika harta itu diketahui pemiliknya yang sebenar seperti dalam kes curi atau rompakan, maka ia perlu dikembalikan kepada pemilik asalnya.

Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta itu perlu dipulangkan kepada ahli warisnya. Malah jika warisnya juga tidak diketahui, maka ia hendaklah diserahkan kepada Baitulmal atau Institusi Islam seumpamanya.

Bagaimanapun, bagi kes harta yang diperolehi daripada sumber haram seperti perjudian, arak atau riba, hak pemilikan harta tersebut telah terpindah kepada kemaslahatan umum.

Ia perlulah diserahkan kepada Baitulmal bagi urusan selanjutnya, selain turut diserahkan kepada golongan fakir miskin dan memerlukan (melalui prosedur yang betul).

Selain itu, ia juga perlu digunakan untuk maslahah-maslahah umum umat Islam (bagi kegunaan awam), contohnya membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan raya, tandas dan sebagainya.

Guna wang syubhah untuk kemaslahatan umum

Mungkin ramai yang keliru, bagaimana wang yang didapati daripada sumber yang syubhah dan haram – yang jelas tidak mematuhi syara’ – boleh digunakan untuk kemaslahatan umum?

Memetik perkongsian daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, penggunaan wang daripada sumber haram untuk kegunaan umum seperti menyelenggara jambatan, membaik pulih tandas masjid dan sebagainya adalah dibolehkan.

Hal ini pernah diungkapkan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah yang menyebut fatwa Imam Al-Ghazali dalam kitab Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab (9/351):-

“Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya.Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya.

“Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya daripada segi boleh dikongsi bersama orang Islam…

Berpandukan konteks hujah Imam Al-Ghazali, penggunaan harta syubhah tersebut adalah diharuskan bagi tujuan membaik pulih kerosakan di surau (misalnya) seperti yang dinyatakan kerana ia termasuk dalam maslahat umat Islam.

Bagaimanapun jelas Mufti WP, sekalipun dibolehkan namun penggunaannya mestilah hanya pada perkara yang tidak ada kena-mengena dengan ibadat seperti membaiki tandas masjid dan surau.

Dalam pada itu, hukum harus ini juga bukanlah lesen untuk membenarkan lagi amalan maksiat yang melahirkan wang syubhah tersebut  dengan alasan ‘ia akan diberikan kepada masjid dan surau atas alasan maslahat’.

Sebaliknya ia perlu diikat dengan syarat ketat bahawa si pelaku atau empunya wang syubhah itu hendaklah bertaubat kepada Allah SWT dan berazam tidak mahu mengulangi perbuatan maksiat itu lagi.

Si pelaku hendaklah menyalurkannya kepada pihak agama berautoriti seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Negeri dan seumpamanya agar mereka maklum serta boleh menguruskannya melalui prosedur yang ditetapkan.

Namun hal ini berbeza jika wang syubhah atau haram itu jelas melibatkan aktiviti jenayah yang berkaitan dengan undang-undang negara seperti pengubahan wang haram, perdagangan manusia, penyalahgunaan dadah dan rasuah.

Pihak yang terlibat hendaklah melaporkan mengenai wang syubhah ini kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasatan lanjut.

 

Sumber:-

1. Cara Pelupusan Wang Syubhah, Pejabat Mufti Terengganu

2. Al-Kafi #1001: Menggunakan wang haram untuk membaik pulih surau, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan