Projek #PenaMVM – Aku Seorang Sukarelawan Oleh Dr. Aida Azmi

Hai volunteers, hah mesti semua ternanti-nantikan siapakah pemenang tempat pertama #PenaMVM bulan Ogos. Di sini kami kongsikan kepada anda pemenang tempat pertama dimenangi oleh Dr Aida Firdaus Muhammad Nurul Azmi yang merupakan seorang pensyarah di UiTM Shah Alam.

Tahniah diucapkan kepada Dr. Aida Azmi. Semoga perkongsian daripada beliau dapat memberi manfaat kepada kita semua. Selamat membaca!

Penulis: Dr Aida Firdaus Muhammad Nurul Azmi

Tidak pernah terbayang betapa indah dan nyamannya perasaan apabila menelusuri jalan ini. Jalan penuh renyah dan payah, yang jarang-jarang menjadi pilihan kebanyakan manusia. Untuk apa bersusah-susah jika kita sudah mudah? Untuk apa berpanas berlelah jika kita bisa bersenang-senang dalam ruang pejabat dan rumah yang mewah.

Diawali dengan kisah perang di Bosnia sekitar zaman 90an, hati kecilku membisik kata untuk turut serta dalam misi-misi keamanan seperti itu. Hati ini rasa benar-benar terusik melihat segala macam kekalutan dan kegawatan di wilayah-wilayah bergolak seperti itu. Tetapi, impian dan harapan itu hanya kekal suatu mimpi apabila ‘jalan’nya tidak ditemui.

Tahun 2014 menyaksikan pengalaman pertamaku mula berjinak-jinak dalam aktiviti kesukarelawan. Tak sangka juga, misi pertamaku ini nun jauh di seberang laut. Di Sumatera Barat, Indonesia. Mungkin kerana jatuh cinta pandang pertama, aku tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja setiap kali ada peluang untuk menyertai mana-mana misi kemanusiaan atau apa-apa saja misi kemasyarakatan. Jika ada yang bertanya kenapa, maka jawabku hatiku ini telah ‘dicuri’ oleh mereka yang lebih memerlukan.

Misi demi misi, setiap satunya punya kisah unik yang membuatkan sekeping hati ini tambah tunduk pada Pencipta, tambah syukur dengan apa yang ada dan tambah empati pada yang tak punya. Memberi bukan bermakna kita lebih segalanya. Tapi memberi kerana kita ingin rasa ’kaya’ dengan berkongsi.

Misi paling mencabar yang pernah aku ikuti ialah Misi Menyantuni Muallaf Kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, Indonesia pada tahun 2016. Perjalanan mengambil masa selama lebih 13 jam menggunakan ‘Gambolo’ (Foto 1) atau Kapal Besar yang membelah Lautan Hindi yang luas terbentang. Misi dianggotai oleh lapan orang sukarelawan daripada Malaysia (Mewakili UiTM dan Global Peace Mission) dan beberapa orang sukarelawan tempatan daripada Yayasan Muslim Peduli Mentawai (YMPM) yang diketuai oleh Ustaz Shiddieq.

Gombolo

Kami menaiki Gambolo di Pelabuhan Teluk Bungus, Padang seusai solat maghrib iaitu sekitar jam 8 malam (WIB). Gambolo setinggi 3 tingkat buat kami rasa kagum saat melihatnya dari jauh. Apatah lagi apabila melihat kerlipan lampu pada Gambolo tersebut. Masing-masing rasa teruja dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan.

Namun, saat menghampiri Gambolo, kami mula tertanya-tanya dan berpandangan sesama sendiri apabila melihat keadaan perut Gambolo yang sesak dengan pelbagai barang dagangan seperti beras, bawang, sayur-sayuran bahkan ayam hidup! Kami terpaksa mengecilkan badan dan mencelah-celah di antara barang dagangan tersebut.

Keadaan di pintu masuk Gambolo

Menurut sahabat YMPM, penduduk di Mentawai bergantung kepada barangan dagangan yang di bawa masuk melalui jalan laut. Di Mentawai, tiada sawah padi. Kebanyakan penduduknya terdiri daripada kaum peribumi (orang asli) yang masih mengamalkan cara hidup tradisional. Makanan ruji mereka adalah sagu. Beras merupakan makanan mewah buat mereka. Mendengar penjelasan itu, barulah kami faham apabila melihat perut Gambolo yang sesak dengan pelbagai barang dagangan itu. Kesemuanya akan dijual di Pasar Muara Siberut, Mentawai.

Sukarelawan mencelah di antara barang dagangan yang berada dalam Gambolo

Kami kemudiannya dibawa oleh team YMPM ke dek yang menempatkan tempat tidur yang telah ditempah awal. Terdapat tempat tidur yang menempatkan katil dua tingkat yang disusun rapat-rapat dan bercampur antara lelaki dan perempuan. Ada juga dua bilik yang menempatkan katil dua tingkat yang disusun sebaris (lebih kurang 10 katil sahaja) dan dibentengi dengan kain langsir bagi memberikan sedikit ruang privasi kepada pengguna. Harga tiket Gambolo bagi bilik ini agak mahal memandangkan ia agak selesa dan berhawa dingin. Team YMPM telah mengambilkan bilik yang agak privasi ini untuk para sukarelawan.

Setelah setengah jam, kami dipanggil berkumpul di dek atas. Dek atas separuh terdedah. Kawasannya agak luas dengan beberapa meja dan kerusi untuk berehat. Ustaz Shiddieq memulakan musyawarah dengan bacaan Al-fatihah. Kami melakukan taaruf agar saling kenal. Team Malaysia terdiri daripada aku, Aini, Noraini, Fauzi, Alif, Khairul Zaman, Nazrin dan Amirul. Sementara wakil team YMPM terdiri daripada Ustaz Shiddieq, Ustaz Abu Dzaky, Ustaz Zaki Purnama, Ustaz Marhalim, Ustaz Iman, Charles, Hamzah dan Ibuk Maya Chania ….. Dalam sesi musyawarah tersebut, Ustaz Shiddieq telah dilantik sebagai ‘Amir’ atau pun ketua bagi misi ini. Semua arahan akan diberikan oleh Amir dan perlulah dipatuhi selagi tidak menyalahi syariat. Musyarawah berakhir dengan doa agar semua urusan misi dipermudahkan Allah dan semua sukarelawan diberikan kesihatan dan kemudahan sepanjang misi.

Aku mengambil kesempatan untuk menikmati hembusan angin laut malam yang terasa amat menyegarkan. Walaupun agak sejuk, tapi pengalaman begini belum tentu boleh diulang. Syukurlah aku tidak mabuk laut. Aku mengambil satu sudut di hujung dek dan melabuhkan pandangan pada laut lepas yang gelap dan kelam itu. Entahkan di mana pemisah antara laut dan langit. Semuanya menyatu dalam gelap malam yang dingin itu. Aku tenggelam dalam monolog dengan Tuhanku. Setiap kali bermusafir, aku akan selalu mencari momen-momen seperti ini. Saat musafir adalah antara saat tidak ditolak doa orang yang meminta. Dengan kasih sayang dan rahmat dari Tuhanku itu, aku mengambil sebanyak mana masa yang aku kehendaki untuk bermunajat kepada

Dia, Rabbi.

Ada air jernih yang luruh dari kelopok mataku saat aku terlalu tenggelam dengan cinta-Nya. Betapa aku bersyukur diberi kesempatan merasai dan melalui saat-saat ini. Mungkin belum layak digelar dai’e, tapi yang nyata, perjalanan dakwah ini yang sedang kami telusuri. Hatiku meminta kepada Dia agar aku dikekalkan selamanya atas jalan ini. Selalu diberi kemudahan dan kelapangan untuk berbagi harta, masa, tenaga dan ilmu yang ada untuk mereka yang memerlukan. Semoga Allah beri segala kemudahan dalam setiap urusan hidupku dan keluargaku, sahabat-sahabatku, saudara mara dan seluruh umat manusia. Dan semoga kita semua diganjari syurga-Nya walau tahu, mungkin kita tak layak ke situ jika bukan dengan rahmat dan kasih sayang-Nya!

Usai berkhalwat bersama Rabbku, aku mengambil kesempatan untuk bersembang sebentar bersama sukarelawan yang lain sebelum memohon izin untuk berehat. Maklumlah, perjalanan kami daripada Malaysia sudah bermula daripada awal pagi. Esok pastinya perjalanan kami lebih mencabar lagi. Menurut Ustaz Shiddieq tadi, keadaaan di Mentawai tidak seperti yang kita bayangkan. Tiada jalan raya yang sempurna. Hanya sedikit sahaja jalan yang diturap simen. Selebihnya masih jalan tanah dan berlopak-lopak. Di sana juga tiada kereta.

Kami perlu menaiki motorsikal, melalui turun naik gunung dan lurah atau pun menaiki bot jika kampong tersebut terlalu jauh untuk diziarahi dengan menaiki motorsikal. Mendengar sahaja sudah mencabar minda, apatah lagi melaluinya nanti. Sudah pasti kami perlu kuatkan minda dan fizikal secukupnya!

Pagi kami bermula dengan solat subuh berjemaah dan diikuti sesi tazkirah ringkas. Bersolat di dalam kapal besar yang membelah lautan Hindi yang luas, sudah pasti satu pengalaman yang baru dan amat berbeza buat kami. Alhamdulillah, diberi peluang merasai pengalaman ini. Usai tazkirah, kami kembali ke dek terbuka untuk menikmati saat matahari terbit. Masing-masing sudah bersedia dengan kamera di tangan. Bagi aku, secara peribadi, ini adalah pengalaman pertama menikmati indahnya saat matahari terbit dari atas kapal yang sedang berlayar. Sungguh benar-benar satu pengalaman yang mengasyikkan. MasyaAllah. Sangat indah alam ciptaan-Mu Tuhan saat matahari mula menjengukkan wajahnya.

Solat jemaah di atas Gombolo

Sinarnya yang menyerak, menerangkan awan sedikit demi sedikit. Awan mula berhias, memperlihatkan sisi lain dari warna putih yang selalu menjadi kebanggaannya. Subhanallah. Tidak kami temui satu pun kecacatan pada kecantikan alam yang terbentang di hadapan mata kami ini. Sungguh, kami insan yang bertuah.

Puas berfoto sebagai kenang-kenangan, Ustaz Shiddieq menarik perhatian kami dengan memperkenalkan Pak Joko, kapten Gambolo yang sedang membawa kami ke Kepulauan Mentawai ini. Dalam hati kecilku berkata, kenapa perlu ditemuramah kapten kapal ini? Apa yang istimewa tentang dia? Aku jadi bingung apabila melihat team YMPM sudah bersedia dengan kelengkapan untuk membuat rakaman bagi sesi wawancara tersebut.

Sewaktu proses wawancara dijalankan, kami hanya mendengar dengan khusyuk. Pak Joko rupanya sudah lama menjadi kapten kapal Gambolo. Dia akan berulang-alik antara Padang dan Mentawai sebanyak 2 kali seminggu. Sepanjang menjadi kapten Gambolo, Pak Joko selalu mengalunkan azan setiap kali masuk waktu solat (Isyak dan Subuh kerana Gambolo hanya bertolak waktu malam). Setelah itu, beliau akan pergi ke setiap dek dan mengajak para penumpang untuk bersolat berjemaah. Pernah juga katanya dia mengejutkan seorang paderi daripada tidur sewaktu solat subuh kerana menyangka beliau beragama Islam (kerana di Indonesia agak sukar menentukan agama seseorang).

Pak Joko juga akan menyapu lantai dan membentangkan sejadah di bahagian dek atas, sebelum bertindak menjadi imam kepada para jemaah. MasyaAllah, hebat rupanya kapten Gambolo ini. Pelan-pelan aku malu sendiri kerana tadi tertanya-tanya apa perlunya kapten Gambolo ini diwawancara. Allahu.

Ustaz Shiddieq kemudian meneruskan pertanyaan, “Pak, apakah yang memotivasikan bapak untuk melakukan semua ini? Dari azan, mengajak orang solat, mengurus keperluan solat dan akhirnya bertindak menjadi imam di atas Gambolo ini?”…

Jawab Pak Joko, “Saya ini hanya menurut Rasulullah saw. Baginda menganjurkan berbuat baik dan mengajak orang berbuat baik. Makanya saya melakukan itu”…
Allah…Allah…Allah…benar-benar rasa terpukul dengan jawapan ringkas tapi padu dan mantap itu. Tidak terfikir beliau akan menjawab dengan menjadikan Rasulullah sebagai idolnya. Sungguh beliau bukan orang yang biasa-biasa.

Di akhir wawancara, kami juga mendapat tahu bahawa Pak Joko telah diundang sebagai tetamu khas Kerajaan Arab Saudi bagi melaksanakan ibadah Haji pada tahun 2014. Perjalanan haji beliau telah ditaja dan beliau diberikan penginapan di Clock Tower, Mekah.

MasyaAllah, tabarakallah! Memang benar-benar hebat. Benarlah sebagaimana firman Allah swt dalam Surat Al Hajj, Ayat ke-40: “Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa”.

Sikap dan tindakan Pak Joko selama menjadi kapten Gambolo dibayar Allah dengan hadiah yang cukup sempurna. Namun, masih ada kebingungan di benakku. Bagaimanakah dalam keadaan di tempat yang tersorok dan terceruk begini, Pak Joko dapat ditemui oleh Kerajaan Arab Saudi?

Soalan ini aku ajukan kepada sukarelawan YMPM iaitu Ibuk Maya Chania, tanpa aku tahu kalau jawapannya nanti akan menjadi azimat bagi seluruh hidupku.

Jawab Ibuk Maya Chania, “Apa yang mustahil bagi Allah, dik?”.

Allahu…! Terpukul sekali rasanya dengan jawapan yang kembali ditanyakan kepadaku itu.

Aku yakin, monologku waktu khalwat bersama Rabbku waktu beratapkan langit di atas Gambolo malam tadi telah terjawab dalam cara yang cukup indah. Bahawasanya, TIADA APA YANG MUSTAHIL BAGI ALLAH APABILA DIA BERKEHENDAK. Kun Fa Ya Kun. Ya, inilah initisari terbaik permusafiranku yang baru bermula. Aku yakin, lebih banyak hikmah yang bakal ku gali dalam beberapa hari ke hadapan ini.

Allahuakbar!

Aida Azmi

Dr Aida Firdaus Muhammad Nurul Azmi
Pensyarah Kanan
Sains dan Teknologi Makanan
Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi MARA
Shah Alam
Selangor

dr.aidaazmi@gmail.com