Sejarah Bulan Muharram
Bila tibanya 1 Muharram setiap tahun maka akan terdengarlah lagu nasyid yang paling sinonim dengan bulan mulia ini bertajuk Maal Hijrah di stesen tv dan juga radio. Itu menandakan kita sedang memasuki bulan Muharram.
Tahukah kita sejarah bulan Muharram? Kenapa bulan ini begitu penting di dalam kalendar Islam? Muharram adalah bulan pertama dalam tahun Hijrah. Sebelum peristiwa Hijrah Rasulullah S.A.W ke dari Mekah ke Madinah, kiraan bulan dibuat mengikut tahun masihi. Peristiwa Hijrah ini adalah satu peristiwa yang penting kepada perjanalan dakwah Rasulullah S.A.W.
Muharram bermaksud ‘diharamkan atau dilarang’. Iaitu Allah S.W.T melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun larangan itu telah digugurkan selepas pembukaan Kota Mekah.
Tahukah kita pada bulan Muharram ini, banyak sejarah Islam yang terlakar, terutamanya pada 10 Muharram atau lebih dikenali dengan hari ‘Asyura. Mari kita selami kembali sejarah penting yang pernah berlaku agar 10 Muharram yang kita lalui ini terisi dengan kesedaran dan pemahaman
10 Muharram tersimpan peristiwa penting di dalamnya :
- Nabi Musa A.S diselamatkan dari dikejar Firaun.
Peristiwa ini berlaku pada 10 Muharram. Peristiwa ini juga termaktub di dalam kitab Injil. Oleh sebab itulah umat Yahudi juga melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai tanda syukur Nabi Musa dan Bani Israil telah diselamatkan oleh Firaun.
- Allah menerima taubat Nabi Adam A.S
Nabi Adam A.S melanggar larangan Allah untuk tidak memakan salah satu buah di dalam Syurga. Sebagai balasan, Nabi Adam A.S diturunkan ke bumi bersama SIti Hawa.
Nabi Adam A.S amat menyesali perbuatannya dan berdoa. Doanya termaktub di dalam Al-Quran, “ Wahai Rabb kami, sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri. Dan apabila Engkau tidak mengampuni kami, tentunya kami termasuk dari orang-orang yang rugi.”
Maka pada 10 Muharram, Allah menerima taubat Nabi A.S
- Allah selamatkan Nabi Yunus A.S dari perut ikan.
Allah telah menghukum Nabi Yunus A.S dengan cara ikan Nun menelannya. Selama 40 hari Nabi Yunus terperangkap di dalam perut ikan tersebut. Doa taubat Nabi Yunus terakam di dalam Al Quran ketika berada di dalam perut ikan Nun “Tiada Tuhan melainkan Engkau ( Ya Allah )! Maha Suci Engkau ( daripada teraniaya,tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang zalim”
Maka pada tanggal 10 Muharram, Nabi Yunus A.S dibebaskan dari kegelapan perut ikan Nun.
Pada bulan ini juga kita dianjurkan untuk mempertingkatkan amalan. Antara amalan-amalan Sunnah yang digalakkan untuk kita amalkan :
- Memperbanyakkan puasa
“Sabda Rasulullah S.A.W bersabda : Puasa yang paling afdhal selepas bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan Muharram dan solat paling afdhal selepas solat fardhu adalah solat malam”
(Muslim, Riyadhussalihin, Kitab Al Fadhail 117)
2. Puasa Asyura ( 10 Muharram )
Dari Abu Qatadah Radiallahu ‘Anhu mengatakan :
“Rasulullah S.A.W ditanya tentang puasa pada hari Asyura, kemudian baginda menjawab, ‘Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu”
( Muslim, Riyadhussalihin, Kitab Al Fadhail 262)
- Puasa Tasu’a ( 9 Muharram )
“ Dari Ibnu Abbas RadiAllahu ‘Anhuma beliau menceritakan, ketika Nabi S.A.W melaksanakan puasa Asyura dan memerintahkan sahabatnya untuk berpuasa. Kemudian ada sahabat berkata, “ Ya Rasulullah sesungguhnya hari Asyura adalah hari yang diangungkan oleh Yahudi dan Nasrani.” Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda, “ Tahun hadapan kita akan berpuasa pada tanggal 9. Namun belum sempat sampai tahun hadapan, Nabi S.A.W sudah diwafatkan”
( Bukhari )
Maka jangan kita jadi golongan yang menyambut bulan Muharram tanpa ada pemahaman tentang sejarah bulan mulia ini. Terikut-ikut dengan trend memberi ucapan bila tiba Awal Muharram namun jiwa kosong tentang makna sebenar Muharram.
Selamat menghayati dan selamat beramal.
Leave a Reply
View Comments