6 Perkara Mendorong Seseorang Mengumpat 

 

6 Perkara Mendorong Seseorang Mengumpat

Sikap suka mengumpat atau menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain
dilaknat oleh Allah S.W.T. Mereka yang bersikap demikian, secara disedari atau tidak mencela dan mengaibkan orang lain yang hukumnya berdosa besar.
Firman Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman, kalau datang kepada kamu
orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan
sampai mencelakakan suatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal
di atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Sabda Rasulullah S.A.W seperti yang diriwayatkan oleh Al-Thabrani daripada
Abu Hurairah bermaksud: “Yang paling dikasihi Allah antara kamu ialah mereka
yang baik akhlaknya, merendah diri, suka pada orang dan disukai orang. Dan
yang paling dimarahi Allah ialah mereka yang membawa fitnah, mencerai
beraikan di antara sesama saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah.”
Imam al-Ghazali ada menyebut 6 perkara yang mendorong seseorang itu
mengumpat;
1. Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup
mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat
dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;
2. Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi
dan kehormatan seseorang;
3. Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh
dan rendah;
4. Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung
dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;
5. Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan
kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan
6. Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong
kerana memandang rendah orang lain.
Justeru kita sebagai umat Islam seharusnya menjaga akhlah dan juga lidah kerana lidah itu lebih tajam dari sebilah pedang. Bukan hanya boleh melukai hati tetapi tajamnya boleh memutuskan silaturrahim.
Sumber : http://tazkirah.yolasite.com/tazkirah.php