Volunteer Action Now (VAN)

Bergerak tanpa pengetahuan pasti akan menghasilkan pengalaman. Tetapi jika sudah ada rujukan, berguru dengan yang berpengalaman tentulah lebih menguntungkan sekaligus mempercepatkan pembelajaran. Inilah matlamat Van 2024 yang telah berlangsung 17 Ogos lalu.

Menjadi sukarelawan dengan senyum positif selepas tamat program mungkin nampak mudah di media sosial. Tetapi menjadi ahli pasukan yang menguruskan satu daripada enam cabang projek dari awal hingga selesai, sudah tentu berbeza. Pendedahan inilah yang disusun dan disampaikan kepada sukarelawan baru dan lama.

Selaras dengan perjalanan organisasi yang bakal memasuki ulang tahun ke sepuluh, MVM membawakan perspektif yang lebih segar didalam kursus asas kesukarelawanan baru-baru ini. Mengambil kira penghayatan serta penglibatan MVM di pelbagai peringkat turun padang, highlight kursus ini adalah perkongsian pengalaman, proses pembinaan sesebuah program serta etika di sebalik kerja-kerja kesukarelawanan di peringkat asas.

Tujuannya satu, supaya organisasi bertanggungjawab terhadap sukarelawan serta program mereka dan sukarelawan jelas dengan apa yang bakal dilaksanakan.

Tindakan Hari Ini Mengubah Masa Depan

Ada sukarelawan yang kami temui mengatakan bukan kehidupan penerima manfaat yang pernah disantuni sahaja berubah, kehidupan mereka sendiri turut berubah.

Peluang berjumpa ramai orang dalam pelbagai program bantuan banyak membantu mereka merenung kelebihan diri sendiri di sebalik kekurangan dan ujian.

Kami setuju. Tidak dinafikan, medan aktiviti kesukarelawanan adalah salah satu platform yang dinamik untuk melihat perubahan diri. Apabila kepakaran disilangkan dan semua orang saling membantu, kecekapan komunikasi dan berfikir meningkat.

Kerbersamaan membuatkan banyak kerja menjadi mudah, ilmu berpindah dan kebuntuan dipecahkan. Inilah kelebihan yang dinikmati oleh sukarelawan.

Di peringkat kami, kebaikan ini menguntungkan dua pihak iaitu kami sebagai pelaksana program serta komuniti yang dibantu. Semakin ramai sukarelawan yang cakna dengan isu yang berlaku, semakin banyak yang boleh dilaksanakan secara bersama.

Kami menyukai mesej akhir daripada salah seorang sukarelawan yang mengatakan kerja mulia ini tidak terhad kepada turun padang membantu semata-mata.

Menjadi pemikir, berkongsi hebahan kebaikan, menghidupkan kesedaran di media sosial seperti Tiktok tentang isu tertentu juga sebahagian daripada tindakan kesukarelawanan.

Yang penting niat, hendak atau tidak sahaja.

Regards;
Jie Suzilawati Abdullah

“Jadi baik, baik-baik & bersungguh”