Survival Politik Netanyahu Gagal, Kemenangan Palestin Beri Isyarat Baharu Buat Israel?

Oleh: NUR ADNIN ABDUL RAZAK

KEPUTUSAN Israel memohon gencatan senjata setelah 11 hari bertempur dengan sayap bersenjata HAMAS, Briged Izzuddin Al-Qassam baru-baru ini bagaikan mengangkat bendera putih.

Terdapat banyak laporan di media antarabangsa menyatakan, suasana di Israel sangat kacau-bilau hingga mendatangkan trauma buat penduduknya.

Tindakan Israel itu mungkin dilihat sebagai tanda menyerah kalah. Bagaimanapun, sejauh manakah ‘keikhlasan’ mereka untuk mengaku kelemahan sendiri setelah terpaksa ‘tebal muka’ berdepan dengan kanak-kanak Gaza yang menggenggam sebiji batu?

Inilah persoalan utama yang menjadi perbualan ramai pihak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Nadir al-Nuri (gambar), difahamkan terdapat dua sebab mengapa Israel sanggup berbuat demikian, iaitu kerana faktor luaran dan juga faktor dalaman.

Secara luarannya, Israel yang kononnya ‘gah’ berdiri sebagai sebuah negara sah percaya kredibiliti mereka tidak akan sesekali jatuh, lebih-lebih lagi soal peperangan.

Bagaimanapun serangan balas bertali-arus dari Gaza sebaliknya telah menafikan kemegahan itu. Tidak cukup terpaksa ‘menadah’ kehadiran roket-roket Al-Qassam, mereka juga turut diserang melalui maya.

Serangan siber warganet khususnya Malaysia yang bersenjatakan kalimah keramat ‘#IsraelKoyak‘ terbukti telah memalukan mereka di mata dunia.

Sudahlah terpaksa mengerut dahi mengira kos peperangan yang menelan belanja terlalu tinggi, semangat Intifada yang sekian lama tersemat dalam jiwa anak watan Gaza pula sentiasa menghantui.

Bagi penduduk Gaza, jika rumah jiran mereka dibom dan mayat ahli keluarganya bergelimpangan, itu sebenarnya hanyalah ‘rutin harian’ yang biasa.

Tapi tidak bagi Israel. Walaupun hanya siren amaran roket sahaja yang dibunyikan, namun dengan pantas penduduknya akan bertempiaran lari menyelamatkan diri ke dalam ‘shelter’.

Sekolah terpaksa ditutup, suasana awam tidak lagi tenteram. Hilang terus ‘taring’ rakyat mereka yang selama ini ‘rakus’ meratah hak orang Palestin.

Ibarat kata pepatah, gajah (tentera Zionis) sama gajah (Al-Qassam) bergaduh, pelanduk (rakyat Israel) tersepit di tengah-tengah.

Disebabkan kecamukan ini, rakyat Israel agak begitu tertekan dan mula memprotes tindakan kerajaan yang masih ‘berdegil’ meneruskan operasi militari yang entah bagaimana hasilnya.

Jika diikutkan, Israel boleh sahaja memusnahkan Gaza sekelip mata. Boleh sahaja mereka memilih untuk membunuh terus jurucakap Al-Qassam, Abu Ubaidah yang sangat digeruni.

Tidak perlu lagi membuang masa dan peluru untuk melakukan serangan ‘kosong’ kepada rakyat Gaza yang sememangnya sentiasa bersedia menanti syahid. Namun jauh di sudut lain, sebenarnya Netanyahu tidak mampu berbuat demikian.

Jurucakap Briged Izzuddin Al-Qassam, Abu Ubaidah yang sangat digeruni & dikehendaki Israel | Kredit gambar: Middle East Monitor

Perang ini hanyalah ‘survival’ politik Netanyahu

Mungkin tidak ramai yang tahu, kerajaan Israel kini sedang bergolak menanti rebah disebabkan konflik dalaman politik. Israel baru sahaja menjalankan pilihanraya umum (PRU) yang keempat dalam tempoh dua tahun terkini.

Walaupun begitu, Netanyahu yang mewakili Parti Likud tidak mempunyai majoriti dalam membentuk kerajaan.

Ini sudah tentu membuatkan posisinya goyah. Dalam masa sama, Netanyahu masih optimis untuk mengekalkan kuasanya dan tidak sesekali mahu ‘terjatuh’.

Sekiranya gagal berkuasa dan ‘tumbang’ dari kerusi perdana menteri, tidak mustahil dia akan berdepan dengan risiko diheret ke muka pengadilan serta dipenjara, ekoran didakwa terpalit isu rasuah, korupsi dan sebagainya.

Justeru bagi mahu terus mengekalkan ‘kepercayaan’ rakyat, maka jalan ‘selamat’ yang diambil adalah melakukan serangan ke atas Gaza dan beraksi seakan-akan ‘hero’ Israel.

Dengan kuasa yang ada, Netanyahu beranggapan bahawa dia mampu untuk menjatuhkan maruah Gaza, malah boleh membuktikan kepada rakyatnya yang dia sebaik-baik pemimpin.

Namun teori Netanyahu hanyalah sekadar teori. Disangkakan misinya berjaya, namun perang kali ini sebaliknya telah memberi impak lebih buruk buat Israel.

Usahkan dikutuk seluruh dunia, malah turut dikecam teruk oleh rakyat sendiri sehingga Nadir al-Nuri berpendapat, perang kali ini adalah perang yang paling tidak bermakna dan sangat gagal.

Bayangkan dalam keadaan sedang jadi kerajaan tanpa majoriti, boleh pula dia buat sesuatu yang mencalarkan imej negara.

11 hari menuju pengakhiran

Maka setelah 11 hari tanah haram Israel ‘meraung’ pedih dibedil roket-roket Al-Qassam, akhirnya Netanyahu terpaksa angkat tangan memohon perjanjian gencatan senjata tanpa syarat bersama HAMAS.

Perjanjian diterima, maka perang pun tamat. Langit yang dulunya kelam sudah kembali cerah.

Israel berundur, Al-Qassam berlapang dada menurunkan kembali senjata. Misi tercapai, maka bergemalah langit malam Palestin dengan laungan takbir Allahuakbar diiringi percikan bunga api.

Rakyat Palestin khususnya di Gaza turun membanjiri jalanan sambil bersorak kegembiraan meraikan kemenangan dan Hari Raya Aidilfitri yang tertangguh. Syukur, Gaza telah ‘hidup’ semula.

Pengunduran Israel memberi definisi bahawa Palestin sudah selangkah ke depan dalam percaturan kali ini. Kemenangan ini diraikan seisi dunia, bagaimana sebuah tanah kecil yang tertindas mampu menggulingkan perancangan kuasa besar yang bersekutu.

Sudah tentu ini adalah satu isyarat baharu dunia buat Israel, bahawa adakah negara sah Palestin mungkin akan kembali berdaulat semula tidak lama lagi?

Nota: Pengisian artikel dipetik & diolah daripada siaran langsung forum ‘Kemenangan Palestin: Isyarat Dunia Terhadap Israel’ di FB Muslim Volunteer Malaysia pada 27 Mei 2021.