Program Sumbangan Kasih MVM
Program Sumbangan Kasih MVM, ini adalah sebuah program kebajikan anjuran Muslim Volunteer Malaysia (MVM) yang bertujuan untuk meringankan beban keluarga asnaf dengan memberi bantuan segera. Berbeza dengan program bantuan Asnaf yang lain, bantuan Sumbangan Kasih ini hanyalah diberikan sekali sahaja (tidak berfasa) dan tiada pemantauan susulan yang diadakan.
Pemilihan keluarga asnaf adalah berdasarkan kepada laporan yang diterima oleh pihak pengurusan MVM. Setiap laporan akan dikaji dengan menziarahi serta menemuramah ahli keluarga penerima untuk melihat sendiri keadaan mereka.
Bantuan yang diberikan adalah bergantung kepada keperluan dan keutamaan pada saat itu. Contoh-contoh bantuan adalah kos Perubatan, kos Barangan Asas, kos Utiliti, kos Pendidikan dan kos lain-lain
Selain itu, ia juga bertujuan untuk memberi bantuan kepada keluarga asnaf terpilih dalam kadar segera, melihat ruang-ruang bantuan lain yang boleh diberikan dan merapatkan hubungan antara agensi lain dengan keluarga asnaf terpilih.
Sumbangan Kasih MVM – “Rintihan Doa Pak Hatta”
Beberapa minggu lepas, MVM telah menerima satu pesanan ringkas tentang sebuah keluarga asnaf iaitu keluarga Pak Hatta.
Pak Hatta atau nama sebenar Mohd Hatta Selamat, 48 tahun seorang bekas pemandu kren. Beliau telah menghidapi diabetes sejak berumur 30 tahun dan kini ia semakin kritikal. Anggota badan Pak Hatta telah bernanah di bahagian peha, pinggul dan kedua-dua belah kaki yang menyebabkan beliau perlu menjalani pembedahan bagi membuang nanah tersebut. Akibat sakit yang beliau alami ini, kini beliau tidak mampu lagi untuk bekerja dan hanya terlantar sahaja.
Pak Hatta mempunyai seorang isteri bernama Aneesah Makosing, 46 tahun. Beliau seorang surirumah sepenuh masa dan kini hanya menjual kuih muih untuk menyara keluarga. Pasangan ini dikurniakan 4 orang anak, iaitu seorang perempuan (29 tahun) dan 3 lelaki (18 tahun, 11 tahun dan 7 tahun).
Situasi kesihatan Pak Hatta yang kritikal ini telah membuatkan kami terpanggil untuk mengenali latar belakang keluarga ini dengan lebih dekat. Wakil MVM telah berkunjung ke rumah Pak Hatta pada beberapa hari lepas untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang latar belakang keluarga dan penderitaan yang mereka alami selama ini.
Alhamdulillah, setelah mengenali keluarga Pak Hatta dengan lebih mendalam dan mendapat informasi tentang jenis bantuan yang diperlukan, wakil MVM telah mengadakan lawatan kali ke-2 ke rumah beliau. Lawatan ini adalah untuk menyampaikan segala bantuan yang diperlukan oleh keluarga ini. Antara bantuan yang diberikan adalah katil, ubat-ubatan, barangan dapur dan sedikit wang tunai. Kami juga membantu untuk menyelesaikan bil-bil yang telah tertunggak.
Seperti yang dimaklumkan di atas, program Sumbangan Kasih MVM ini hanyalah program “ad-hoc” atau tidak berfasa. Dengan izin Allah, segala bantuan disampaikan dengan lancar sekali. In sha Allah, MVM akan meneruskan program Sumbangan Kasih ini pada setiap bulan pada masa akan datang. Kami juga membuka peluang kepada orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keluarga asnaf yang memerlukan bantuan segera seperti ini untuk memaklumkan kepada pihak MVM.
Berikut merupakan Galeri Foto Sepanjang Program Sumbangan Kasih MVM 2017 :
[foogallery id=”7283″]