Di tengah-tengah gelanggang permainan ‘bola elak-elak’ Sabtu lalu, empat kumpulan yang bermula dengan takut-takut, akhirnya semakin berani menatap lawan.
Jika jam pertama berlalu dengan segan silu di antara pemain yang baru sahaja sepasukan, jam kedua menyaksikan gelanggang semakin riuh dengan lontaran tiga menentang dua biji bola yang berterbangan tanpa formasi. Masing-masing sudah kenal garisan, pandai mengelak, meluru dan melontar bola dengan bermacam jurus. Pengadil dan jurulatih ikut terhibur.
Semakin lama permainan, semakin banyak corak dan strategi yang dipasang oleh semua kumpulan. Semakin berpeluh, semakin teruja. Bukan tangan dan kaki sahaja yang laju, mata dan fikiran juga laju. Ada yang datang kosong dan suka-suka, selepas bermain baru disedari balingannya dahsyat. Kelebihan sukan ini semakin banyak yang kami nampak. Sakit hanya kenangan, semangat pasukan sudah tentu. Mungkin semua orang balik dengan pencapaian baru dalam hidup hari itu.
Walaupun misi permainan sudah jelas di kalangan pemain iaitu, “singkirkan lawan untuk menang!”, dodgeball hanyalah alasan untuk bertemu dan menyapa sukarelawan serta rakan kerjasama baru dan lama yang sudah mengikuti MVM tidak kira sejak bila. Khususnya sukarelawan baru. Tidak kami sangka ada yang sudi datang dari jauh. Kami benar-benar terharu.
Dodgeball tempoh hari bukanlah perlawanan, ia persahabatan. Di luar gelanggang MVM dapat bercerita tentang projek-projek terdahulu yang telah selesai dan projek akan datang yang sedang di tangan.
Di sini juga MVM dapat mendengar maklum balas daripada sukarelawan yang pernah mengikuti program terdahulu. Semakin menuju sedekad tentu banyak yang ingin diperbaiki dan diperbaharui. Khususnya kelompongan dalam kerja kebajikan komuniti yang memerlukan perkongsian serta kepakaran sukarelawan. Semoga MVM mampu menjadi platform yang berterusan menawarkan pelbagai program kesukarelawan pada masa akan datang.
Penulis by Jie.
Leave a Reply
View Comments