SMTG : RUMAH AMAL LIMPAHAN KASIH (RALK)

rumah amal limpahan kasihProgram : Social Media The Gathering : Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK)

Tarikh : 19 November 2016
Tempat : Rumah Amal Limpahan Kasih

PENGENALAN RUMAH AMAL LIMPAHAN KASIH ( RALK )

Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK) adalah pusat kebajikan dan pendidikan menaungi anak-anak yatim, anak fakir miskin, ibu tunggal, warga emas dan golongan yang layak menerima zakat. Selain 100 orang di asrama, anak-anak yatim dan juga anak-anak asnaf yang tinggal di rumah sendiri juga turut diberi bantuan oleh RALK. Sehingga kini jumlah mereka melebihi 300 orang dimana mereka sering dilibatkan dengan pelbagai aktiviti RALK.

Rumah Amal Limpahan Kasih ( RALK ) ini memulakan operasi pada Januari 2007 di atas tanah milik persendirian dengan beberapa bangunan rumah lama yang diubahsuai menjadi asrama dan kelas pengajian. Selain menjadi pusat perlindungan dan asrama untuk anak-anak yatim, miskin dan golongan asnaf, RALK juga juga mengagihkan lebihan barangan keperluan asas yang disumbangkan kepada fakir miskin tanpa kerenah birokrasi. RALK juga berfungsi sebagai pusat pendidikan dan pengajian untuk para penghuninya agar seimbang dari segi aspek rohaniyah dan lahiriah.

SOCIAL MEDIA THE GATHERING: RUMAH AMAL LIMPAHAN KASIH 

Pada 19 November 2016 ini, Projek SMTG Muslim Volunteer Malaysia dengan kerjasama iM4u membawakan sukarelawan dari negara Asia Pasifik seperti Brunei, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Australia, Thailand dan Filipina untuk mempelajari dan merasai sendiri budaya masyarakat Malaysia melalui aktiviti kesukarelawanan. Program ini berlangsung di Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK).

Tema “Humanity Beyond Borders” ini dipilih bersesuaian untuk mengeratkan silaturrahim sesama manusia tanpa mengira negara, bangsa, budaya, agama dan lingkungan umur. Selain itu, sukarelawan dapat mengukuhkan sifat tanggungjawab dan keprihatinan bukan sahaja terhadap keluarga malah juga kepada masyarakat yang kurang bernasib baik dan memerlukan lebih perhatian disamping berbudi kepada masyarakat.

rumah amal limpahan kasih

Membina ikatan kemesraan berpanjangan antara satu sama lain melalui projek ini diharap dapat memberi nafas baru kepada persekitaran Rumah Amal Limpahan Kasih ini dengan aktiviti gotong-royong untuk memperindah kawasan supaya mereka dapat tinggal dengan selesa dan gembira. Bantuan asas termasuklah beras, minyak masak, bihun, gula, garam, tepung, biskut kering dan lain-lain.

Pada hari tersebut, tepat jam 9.30 pagi rombongan sukarelawan iM4u telah tiba di Rumah Amal Limpahan Kasih. Selepas sesi pendaftaran, semua sukarelawan MVM dan iM4u berserta anak-anak RALK telah berkumpul untuk mendengar ucapan alu-aluan daripada wakil MVM dan Guru Besar RALK, Puan Rahmah.

rumah amal limpahan kasih

Selepas itu, para sukarelawan telah dibahagikan kepada 4 kumpulan iaitu GEM4u, Cook4u, Fauna4u, dan Color4u. Antara aktiviti yang dijalankan adalah latihan dalam kumpulan (GEM4u), memasak untuk makan tengah hari (Cook4u), membersih kawasan mini zoo (Fauna4u) dan mengecat beberapa kawasan rumah (Color4u). Anak-anak RALK pula telah dibahagikan kepada 6 kumpulan untuk GEM4u di mana mereka dikehendaki menyelesaikan “games” dan tugasan yang diberikan.

rumah amal limpahan kasih

Alhamdulillah, segala perancangan telah berjalan dengan lancar dan baik sekali. Usaha ini juga telah mengukir kegembiraan anak-anak yatim di sini dan juga memberi pengalaman baru terutamanya dalam memperkenalkan budaya Melayu dan Islam kepada para sukarelawan daripada negara Asia Pasifik.

rumah amal limpahan kasih

Istimewanya, program ini diakhiri dengan persembahan khas nyanyian lagu-lagu nasyid daripada anak-anak Rumah Amal Limpahan Kasih dan penyerahan sijil kepada para sukarelawan.

Terima kasih kepada para sukarelawan yang secara langsung dan tidak langsung terbabit dalam menjayakan Program Social Media The Gathering pada kali ini.

Berikut merupakan Galeri Foto Sepanjang “SMTG: Rumah Amal Limpahan Kasih” :

[foogallery id=”2502″]