Russia Dilapor Rancang Tempatkan S-400 Di Timur Laut Syria

Kredit: Alexey Malgavko/Sputnik via Southfront

Tentera Russia dilapor merancang untuk mengerahkan trak sistem pertahanan udara jarak jauhnya, S-400 ke wilayah timur laut Syria.

Menurut laporan Southfront baru-baru ini, wilayah tersebut adalah di bawah kawalan dan penguasaan tentera Syrian Democratic Forces (SDF) yang terdiri daripada puak Kurdish.

Kata laporan itu, lokasi spesifik yang disasarkan adalah di Lapangan Terbang Al-Qamishli yang berkedudukan di sempadan Syria-Turki.

Difahamkan, sistem S-400 tersebut didakwa mampu mengesan pergerakan musuh di udara sejauh lebih 600 kilometer.

Tidak hanya itu, ia juga dilapor mampu melepaskan misil anti-pesawatnya dalam radius sekitar 40 hingga 400 kilometer.

Sekitar seminggu lalu, Russia Aerospace Forces telah mengerahkan beberapa pesawat perangnya untuk bersiap siaga di lapangan terbang berkenaan.

Kesemua pesawat tersebut didakwa mengambil bahagian dalam beberapa siri latihan bersama Tentera Arab Syria di utara dan timur laut Syria.

Tambah Southfront lagi, sekiranya benar Russia menempatkan S-400 di Timur Laut Syria, ia adalah mesej jelas kepada Turki yang sebelum ini bersiap-sedia melancarkan operasi baharu di wilayah tersebut terhadap SDF.

Dalam masa sama, Moscow dan Damsyik pula dikatakan menentang operasi tersebut kerana ia didakwa bakal menjejaskan kestabilan rantau itu.

Untuk rekod, Russia sebelum ini telah pun menempatkan dua S-400 nya di Syria, iaitu di Lapangan Udara Hmeimim di utara Lattakia dan di kubu pertahanan udara di barat Hama.

 

Sumber: Southfront