Hai volunteer,
Insyallah pada hari ini, kami akan kongsikan kepada anda artikel #PenaMVM .Beliau yang merupakan salah seorang pelajar Universiti Teknologi Mara Shah Alam iaitu Norashikin Binti Che Hamid. Semoga anda mendapat manfaat daripada tulisan beliau. Selamat membaca!
Penulis : NORASHIKIN BINTI CHE HAMID
Bismillahirohmanirohim…
Pesanan Rasulullah Sallallahu‘alaihuisallam:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
“Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.”
(Riwayat Ibn Hibban).
Berdasarkan pesanan Rasulullah di atas, amatlah bertepatan dengan kerja- kerja sukarelawan yang telah disertai ramai orang tanpa mengharapkan wang ringgit. Hal ini kerana, niat utama mereka sebagai sukarelawan adalah untuk memberi manfaat dan kebaikan untuk orang ramai. Sebetulnya sukarelawan adalah satu kerja yang perlu dilakukan dengan rela hati tanpa meminta balasan ataupun nama. Apabila kita berbuat sesuatu perkara dengan rela hati, nescaya semua pekerjaan yang kita buat akan berakhir dengan bahagia. Hal ini adalah kerana untuk skop sukarelawan, seorang sukarelawan akan bahagia bila dapat tolong orang ramai dengan hanya melihat senyuman di wajah- wajah orang yang ditolong.
Seterusnya, saya pernah mendengar kata-kata daripada ketua program sukarelawan yang pernah saya sertai di Kelantan, iaitu “bila kita sertai program sukarelawan, kita mestilah suka dan rela untuk melakukan apa sahaja perkara sepanjang program berlangsung”. Menjadi sukarelawan ini sebenarnya tak mudah kerana apabila menjadi sukarelawan kita kena korban kan masa, tenaga malahan jikalau berkemampuan wang ringgit juga boleh disalurkan. Malahan, skop kerja sukarelawan ini adalah dari sekecil-kecil pekerjaan sebagai contoh mengutip sampah hinggalah sebesar-besar pekerjaan iaitu menolong orang yang sakit. Oleh kerana itu, saya amat kagum dan hormat dengan mereka- mereka yang begitu komited dengan kerja sukarelawan yang mereka sertai.
Perkataan ‘suka’ dalam kata sukarelawan ini amat penting kerana jikalau kita tidak suka untuk membuat sesuatu perkara, hati kita akan menjadi berat dan ayat ‘tida rela’ akan terbit dari mulut kita tanpa kita sedar. Hal ini adalah kerana, kerja sukarelawan memang tidak mudah dan hanya orang-orang yang hebat sahaja yang mampu menjadi sukarelawan. Orang muda bila bercinta akan menggunakan ayat “bila hati sudah suka, lautan api sanggup ku redah”. Melalui ayat ini, boleh kita tafsirkan yang seseorang sanggup bergadai nyawa demi orang lain dan sesuatu perkara yang mereka suka. Sama juga seperti kerja sukarelawan yang ahli-ahlinya bersusah payah menolong orang yang tiada kaitan darah dengan mereka pun, tetapi mereka sedar yang tidak rugi untuk menolong sesama manusia. Amatlah mulia kerja seorang sukarelawan ini.
Seterusnya, skop kerja sukarelawan ini adalah luas, sebagai contoh, sukarelawan menolong dalam menjaga kebersihan, menolong dalam mengagihkan makanan, menolong dalam menjaga orang tua dan lain-lain lagi. Perkerjaan tanpa bayaran ini seperti sedia maklum amatlah besar ganjarannya disisi Allah s.w.t. Saya yakin yang ahli-ahli sukarelawan melakukan kerja dengan ikhlas kerana konsep sukarelawan itu sendiri adalah berteraskan pengorbanan untuk orang lain. Bagi sesetengah orang, kebahagiaan buat mereka yang ditolong adalah kebahagiaan buat dia. Betapa mudahnya untuk bahagia jika diri kita terisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat serta berfaedah untuk orang lain. Bagi saya, kebahagiaan itu adalah sederhana, kerana kita mampu untuk bahagia dengan hanya melihat senyuman daripada orang lain tambahan pula jikalau senyuman itu adalah daripada orang yang kita bantu.
Sebagai ahli sukarelawan, dalam pada kita membantu orang lain, secara tidak langsung sebenarnya kita sedang bantu diri kita sendiri untuk menjadi manusia yang lebih baik dari yang dulu. Hal ini adalah kerana, bila kita menolong orang lain, hati kita akan menjadi lembut dan mudah untuk merasai sakit orang lain dan kita akan lebih menghargai apa yang kita ada sekarang daripada merungut apa yang kita tiada. Sifat Qanaah itu akan timbul bila kita selalu bersama orang-orang yang tidak bernasib baik. Rela itu amatlah penting supaya kerja-kerja amal seperti sukarelawan itu hadir dengan perasaan ikhlas dalam diri.
Akhir sekali, kerja-kerja sukarelawan amatlah saya kagumi, kerana istilah ‘suka’ dan ‘rela’ yang diterapkan dalam diri semua para sukarelawan agar segala amalan sukarelawan disambut baik oleh masyarakat dan dicatit ole malaikat di sebalah kanan kita. Selamat maju jaya saya ucapkan kepada semua Sukarelawan.
Leave a Reply
View Comments