Macam Mana Nak Bangkit Daripada Trauma Semalam? Ini Penjelasan Pakar


SETIAP daripada kita mesti mempunyai kisah silam sendiri yang tidak dapat dilupakan, walaupun sudah lama berlalu namun ia masih segar dalam ingatan.

Igauan lama yang bersarang dalam kepala ini agak sukar untuk dibuang jauh, sekaligus menjejaskan kehidupan yang kita lalui pada hari ini.

Menurut psikologis klinikal, Puan Niena Najwa Mohd Rashid, sebarang pengaruh atau pengalaman silam yang pernah berlaku memang akan beri kesan pada diri kita.

Kisah silam akan mempengaruhi seseorang disebabkan mereka melihat manusia dengan pelbagai perspektif iaitu biologikal, psikologikal, sosial dan kerohanian (spiritual).

Adalah menjadi usaha penting untuk memastikan mental ini dikelola dengan cara yang sihat.

Jelas Dr. Niena, setiap manusia mempunyai ‘tabung’ berkapasiti yang terhad dan ia perlu diuruskan dengan baik sekiranya sudah ‘penuh’.

Dalam pada itu, penyakit mental juga sebenarnya sama keadaannya dengan penyakit lain yang dihidapi seseorang.

Meskipun tiada sebarang luka fizikal di luar, namun penghidapnya tetap memerlukan rawatan psikologi oleh pakar.

Selain itu, memori yang dimiliki individu adalah tidak terhad. Justeru apa yang pernah terjadi, agak sukar untuk dilupakan sepenuhnya dalam satu tempoh tertentu.

Untuk hilangkan sepenuhnya dalam kapasiti memori tidaklah semudah yang kita boleh cakap.

Lebih-lebih lagi apabila pengalaman itu berlaku secara berulang-ulang dan menjadi satu pengalaman bermakna bagi seseorang, lagi cepat ia akan melekat dalam memori tersebut.

Kenapa kisah silam sukar dilupakan?

Sementara itu, konsultan psikiatris, Dr. Ahmad Rostam Md Zin menjelaskan, antara punca mengapa sesuatu itu sukar dilupakan adalah disebabkan memori bercampur dengan emosi. Malah jelasnya, apabila seseorang itu mengatakan, “Saya nak melupakan”, sebenarnya mereka masih sedang mengingatinya.

Pendek kata, semakin hendak melupakan, semakin kuat diingat. Memori yang ‘berkahwin’ dengan emosi menjadikan seseorang itu terperangkap dan sengsara. Ia menyebabkan walau apa pun yang terjadi, hanya dua perkara itu sahaja yang dilihatnya. Masalah ini memang kerap menyelubungi pesakit trauma. Setiap rutin yang dilakukan juga turut akan ‘dihantui’ dengan imbasan kisah silam.

Mereka sering mengalami ‘gangguan’ seolah-olah dirasuk oleh memori sendiri hingga mengakibatkan mereka tidak mampu untuk ‘engage’ dengan dunia luar, tidak mampu fokus dengan apa yang ada di depan mereka serta gagal untuk  berhubung dengan orang lain. Selain itu, orang yang mengalami trauma juga mempunyai ‘garisan masa’ yang berbeza berbanding manusia normal.

Seperti kita, kita menyedari bahawa ada tiga fasa masa yang dilalui dalam kehidupan, iaitu masa lepas, sekarang dan masa hadapan. Namun berbeza dengan pesakit trauma, emosi dan memori yang berkecamuk membuatkan mereka sentiasa berasa bahawa hari ini dan esok adalah hari semalam yang masih menghantui. Sehubungan itu, menerusi konteks ‘acceptence’, mereka seharusnya perlu menerima hakikat bahawa apa yang mereka alami itu sudah pun terjadi. Mahu tidak mahu, mereka kena ‘menceraikan’ emosi dan memori yang sudah lama bercantum menjadi barah dalam minda sejak sekian lamanya.

Jelas Dr. Rostam, sebahagian kita gemar melihat bahagia dengan apa yang ada pada orang lain, bukan pada apa yang kita ada. Kesilapan ‘aku nak apa yang orang ada’ itu juga salah satu faktor penyumbang kepada trauma yang masih kekal dalam memori.

Bagaimana cara tangani tekanan?

Terdapat lima kaedah yang digariskan dalam psikologi bagi seseorang yang ingin keluar dari tekanan dan trauma.
Kelima-lima kaedah tersebut sangat penting dalam membantu kita bergerak ke hadapan, melupakan kisah lalu untuk mencapai satu kehidupan baharu.

1. Dengar masalah orang lain

Ketika kita sedang mengalami masalah, kita kena ‘lapangkan’ telinga dan masa untuk mendengar masalah orang lain.
Dalam pada kita sibuk memahami bebanan yang menekan orang tersebut, secara tidak langsung kita sebenarnya sedang melihat masalah itu dengan perspektif yang berbeza daripada kaca mata sendiri.
Kaedah ini menuntut kesediaan kita untuk memberi peluang seseorang itu menceritakan masalah sepuas hatinya dan kita tidak boleh mengadili apa-apa akan isu itu.
Dia mungkin buntu mencari solusi, dalam masa sama kita pun ketika itu sedang ditekan masalah.
Tapi tidak mustahil masalah yang diceritakan itu akan membuka jalan dan ilham untuk kita berfikir bagaimana mahu keluar dari zon tekanan yang kita alami.

2. Letak tepi masalah kita

Mungkin kelihatan mustahil sebab kita sendiri sedang berpenat melawan masalah, tiba-tiba kena ‘hold’ dulu ke tepi dan hadapi masalah lain pula.
Tapi sebenarnya itulah kaedah psikologi yang disebut sebagai ‘supression’, di mana kita ketepikan dahulu masalah sedia ada untuk menghadapi masalah yang lebih besar.
Namun, ianya bukan mudah sebab biasanya apabila ada masalah, kita hanya akan selesaikan masalah kita sahaja.
Namun tidak bagi supression, kita letak tepi dulu masalah kita dan bantu masalah orang lain yang lebih utama dan memerlukan berbanding kita.

3. Salurkan tenaga ke arah positif

Jelas Dr. Rostam, kaedah yang disebut sebagai ‘sublimation’ ini menuntut kita untuk menyalurkan tenaga yang ada ke luar.
Sama ada tenaga itu positif atau negatif, salurkankah ia kepada sesuatu yang memberi impak positif kepada jiwa dan mental.
Sebagai contoh, bagi pesakit trauma yang emosinya sering berkecamuk, dia boleh ‘melepaskan’ tenaga negatif itu kepada aktiviti lasak yang digemari.
Dalam pada dia giat membuat aktiviti tersebut, secara tidak langsung aura negatif yang mencengkam emosi dan memori sudah dikeluarkan.
Tidak kurang juga, ada yang menyalurkan tenaga melalui kerja-kerja kesukarelawanan, tidak kisahlah sama ada kepada manusia mahupun perkara lain.

4. Bersedia menerima apa yang berlaku

Sebagai manusia, secara fitrahnya kita perlu sedar dan menerima hakikat bahawa apa yang kita ingini tidak semestinya terjadi.
Langkah ‘anticipation’ seperti yang digariskan dalam psikologi ini adalah untuk ‘mendidik’ jiwa sanubari agar menerima segala apa yang telah ditetapkan (oleh Allah SWT).
Tetapan berfikir (mind-setting) juga perlu ditanam dengan kepercayaan bahawa bukan semua yang jadi adalah sama dengan apa yang kita mahukan.
Namun sebagai Muslim, kita perlu yakin bahawa apa yang terjadi, itulah yang terbaik buat diri kita.
Ini selari dengan Sunnatullah bahawa Allah lebih Maha Mengetahui segala-galanya berbanding kita hamba yang tidak tahu apa-apa.

5. Menghiburkan orang lain

Jangan tidak tahu, elemen humor juga merupakan salah satu kaedah psikologi untuk kita bangkit daripada tekanan.
Ketika mental sedang ‘berat’ ditekan masalah, apa kata cuba lupakan sebentar dan cuba buat sesuatu yang menggembirakan orang lain.
Dr. Rostam turut menerangkan, terdapat seorang pelawak di luar negara yang sering membuat orang lain terhibur.
Tapi di sebalik tabir, sebenarnya dia seorang pejuang bipolar dan sedang berusaha melawan masalah emosi yang mencengkam mentalnya.
Dikatakan dia sangat berjaya ‘survive’ daripada bipolar apabila berasa puas membuat orang terhibur dengan lawak jenakanya.

Bagaimana untuk dapatkan rawatan?

Puan Niena menjelaskan, rawatan bagi pesakit trauma perlulah daripada mereka yang benar-benar berautoriti dalam bidang psikologi mahupun kesihatan mental.
Ramai psikiatris dan psikologis profesional telah ditempatkan di pelbagai agensi, mereka sentiasa bersedia mencurahkan khidmat baktinya buat sesiapa yang dirundung masalah mental.
Kita boleh mendapatkan khidmat mereka di mana-mana pusat perubatan awam mahupun swasta.


Tidak kurang juga, banyak pusat pakar psikologi diwujudkan bagi membantu mereka yang memerlukan rawatan ini, salah satunya ialah Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai di Seksyen 7, Shah Alam.

Anda Perlukan Bantuan Dana?

Sekiranya anda perlukan servis konsultasi psikologi ini tetapi mempunyai kekangan kewangan, anda boleh mohon dana bantuan dalam Projek Bantuan Salam iaitu inisiatif bantuan perubatan anjuran MVM. Hubungi wakil MVM disini: 012-224 6854

Malah bagi yang ingin menjalani ‘terapi’ mental melalui aktiviti kesukarelawanan, boleh juga menyertai mana-mana program kebajikan yang dianjurkan oleh Muslim Volunteer Malaysia.
Bagi golongan siswa pula, tidak perlu risau kerana setiap universiti akan menempatkan pakar psikologi dan kaunseling di jabatan-jabatan tertentu.

Pendek kata, agak mudah untuk kita berjumpa dengan mereka demi rawatan kesihatan mental kita.

Kesimpulannya, biarkan apa yang berlalu semalam ‘pergi’ jauh menjadi memori. Ia sudah tiada. Tidak perlu lagi untuk difikirkan.
Yang terjadi, sudah pun terjadi. Kita hanya perlukan satu nafas baharu untuk sedia dihembus pada hari esok sebagai ‘kita’ yang baharu.
Yakinlah, sebenarnya kita mampu bangkit dan ‘move on’.

Sumber: kandungan diambil daripada forum ‘Bangkit & Move On 2021’ yang berlangsung di Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai pada 8 Januari 2021 yang lalu.