Kisah ‘Harun Yahya’ Yang Dipenjara 1,075 Tahun Kerana Jenayah Seksual Melampau

Bagi yang mengenali tokoh-tokoh ilmuan dan pemikir Islam, pasti cukup kenal dengan nama Harun Yahya, bukan? Ilmuan dari Turki ini pernah menjadi ‘fenomena’ dalam dunia keilmuan Islam satu ketika dahulu.

Buku-buku tulisannya seperti The Atlas of Creation, Islam Denounces Terrorism, Design in Nature dan The Evolution Deceit serta laman sesawang harun-yahya.net sering menjadi rujukan oleh penimba-penimba ilmu di seantero dunia.

Tidak cukup dengan itu, Harun Yahya atau nama sebenarnya Adnan Oktar ini juga pernah menulis lebih 300 buah buku ilmiah yang turut diterjemahkan dalam pelbagai bahasa. Boleh dikatakan ‘auranya’ sebagai sumber ilmu sangat kuat.

Walaupun dianggap sebagai ulama’ kontemporari, namun kredibiliti figura Islam ini mula tumbang apabila dia ditahan pihak berkuasa pada 2018 atas beberapa jenayah kontroversi. Dalam sekelip mata, ‘Harun Yahya’ akhirnya musnah.

Gambar: Skeptical Inquirer/Google

Apa yang berlaku?

Pada Julai 2018 lalu, Adnan Oktar bersama 200 pengikutnya telah ditahan oleh pihak berkuasa Turki di rumahnya di Istanbul dalam satu operasi khas besar-besaran atas beberapa tuduhan jenayah berat melibatkan keganasan, seksual, wang dan sebagainya.

Ketika serbuan dibuat, pihak polis turut menjumpai beberapa koleksi simpanan senjata, alat perisai tubuh dan kereta kebal tentera di kediamannya. Dikatakan dia cuba melarikan diri namun tidak berjaya.

Difahamkan, polis Turki juga mengeluarkan 235 waran tangkap ke atas pengikutnya bagi jenayah yang serupa, di mana 79 daripada mereka berjaya ditangkap setelah diburu menggunakan helikopter.

Gambar: Aljazeera

Adnan dan pengikutnya menghadapi pelbagai tuduhan jenayah seperti pengubahan wang haram (money laundering), membentuk organisasi jenayah terancang, penipuan, penderaan seksual kanak-kanak, pencurian data, jenayah politik serta pengintipan tentera.

Selain itu, ‘tokoh’ ini juga mencipta kontroversi agama ketika menjadi pengacara dalam rancangan bual bicaranya, A9 apabila mencampurkan sesi diskusi ilmiah berkenaan Islam dengan aktiviti menari oleh wanita-wanita seksi.

Kepelikan sikap Adnan yang dilihat sangat berbeza dengan tahap keilmuannya membuatkan jabatan-jabatan agama Islam di Turki ketika itu menyifatkannya sebagai seorang tokoh agama yang telah ‘kehilangan’ akal.

Gambar: Hurriyet Daily News

Pengakuan bekas teman wanita ‘belaan’ Adnan

Difahamkan, Adnan memiliki begitu ramai teman wanita yang ‘disimpan’ di kediamannya sebagai sumber ‘hiburan’. Namun agak menjengkelkan, kesemua wanita simpanan ini digelarkan sebagai ‘anak kucing’.

Walaupun hidup dalam serba mewah di rumah agam Adnan di Istanbul, namun difahamkan anak-anak kucing ini sering didera dengan teruk oleh ‘tokoh ilmuan’ tersebut, lebih-lebih lagi diperlakukan seperti hamba seks.

Gambar: Hurriyet Daily News

Menurut pengakuan salah seorang ‘anak kucing’ kesayangan, Koncagül (gambar), tempoh sembilan tahun ‘berkurung’ di kediaman mewah itu adalah perkara yang paling menyeksakan dalam hidupnya.

Jelas Koncagül, wanita-wanita ‘anak kucing’ itu akan diseksa dan dirogol pada setiap hari. Kezaliman Adnan membuatkan Koncagül tidak mampu bertahan dan cuba untuk melarikan diri namun gagal.

“Saya pernah cuba melarikan diri sebanyak lima kali, tapi di rumahnya mempunyai 60 pengawal bersenjata, beratus-ratus kamera litar tertutup (CCTV) dan senjata di kebanyakan sudut. Memang sangat mustahil untuk saya lolos.

“Di sana juga ada 17 orang budak seks yang dipaksa melayaninya (Adnan) dalam keadaan separuh bogel. Dia selalu pukul kami, memaki hamun kami, mendera kami dan memaksa kami untuk melakukan seks. Walau apa pun yang dibuatnya, kami dipaksa untuk memanggilnya dengan panggilan ‘sayangku‘,” katanya.

Selain itu, kebanyakan wanita simpanannya memiliki rupa bentuk dan fizikal yang hampir serupa. Jelas Koncagül, kesemua mereka disuruh untuk melakukan pembedahan kosmetik semata-mata mahu menuruti kehendak seksualnya yang pelik.

Gambar: Hurriyet Daily News

“Dia telah mengubah fizikal kami untuk menjadi seperti wanita di kelab malam shanty yang pernah dilihatnya semasa muda dahulu. Ada beberapa doktor bedah yang sanggup bekerja dengannya. Namun kami langsung tidak dibenarkan untuk membantah pembedahan kosmetik itu,” tambahnya.

Dakwanya lagi, segala perkara yang dibentuk di rumah itu adalah mengikut keselesaan dan nafsu lelaki tersebut. Salah satunya adalah apabila mahu membaca akhbar, akan ada wanita bogel yang ‘ditugaskan’ untuk memegang akhbar tersebut untuknya.

Selain itu, seksual pelik yang dimiliki Adnan mendorongnya untuk melakukan pelbagai kekerasan kepada kanak-kanak bawah umur. Ini terbukti apabila lelaki berkenaan sering mendera beberapa kanak-kanak dipercayai yang pernah diculiknya sebelum itu.

“Dia juga sering menyeksa kanak-kanak. Malah dia juga mempertahankan hujahnya bahawa hubungan seksual adalah dibenarkan sekiranya seseorang itu sudah berusia lebih tujuh tahun. Dia mendera kanak-kanak secara seksual sambil memaksa mereka memakai skirt pendek.

“Katanya, dia rasa bahawa dia lebih hebat daripada nabi. Walaupun begitu, satu-satunya masa yang dia akan bercakap tentang agama hanyalah ketika di TV. Kami tidak pernah dengar pula dia sebut kalimah Allah walaupun pada waktu yang lain,” luahnya.

Koncagül merupakan salah seorang bekas wanita simpanan Adnan yang berjaya diselamatkan setelah pihak polis membuat perjanjian dengannya untuk tampil bekerjasama bagi membantu siasatan dan prosiding mahkamah.

Dipenjara lebih 1,000 tahun

Setelah tiga tahun menjalani pertuduhan, akhirnya pada 11 Januari 2021, pihak Mahkamah Turki memutuskan bahawa Adnan Oktar dijatuhkan hukuman penjara selama 1,075 tahun atas kesalahan 10 kes jenayah yang berbeza.

Bekas pendakwah itu dipenjara sedemikian atas 10 kes berat iaitu mengasas dan memimpin organisasi jenayah; pengintipan politik dan ketenteraan; membantu Organisasi Pengganas Fetullah (FETO) walaupun tidak mengganggotainya; penderaan seksual ke atas kanak-kanak; penderaan seksual; rampasan kebebasan seseorang (deprivation of liberty of person); penyeksaan; gangguan hak pendidikan; merekod data peribadi (secara haram) dan membuat ancaman.

Gambar: Anadolu Agency

Selain itu, tertuduh (pengikutnya) yang lain, Tarkan Yavas menerima hukuman penjara selama 211 tahun atas kesalahan menjadi pengikut organisasi jenayah, penderaan kanak-kanak, pecah amanah harta benda dan melakukan sumpah palsu dalam dokumen rasmi.

Dalam masa sama, salah seorang pengikutnya yang lain (juga tertuduh), Oktar Babuna, dijatuhkan hukuman penjara selama 186 tahun atas kesalahan menganggotai gerakan jenayah, penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan penderaan seksual.

Berita penangkapan dan hukuman penjara terhadap Adnan Oktar ini telah membuatkan seluruh dunia Islam ‘tergamam’ seribu bahasa. Masakan tidak, ‘Harun Yahya’ yang selama ini menjadi rujukan ilmu, tiba-tiba berubah menjadi lubuk jenayah.

Hal ini demikian kerana mereka tidak menyangka bahawa figura Islam yang disanjung selama ini rupa-rupanya adalah seorang penjenayah terkutuk yang berselindung di sebalik imej agama.

Sumber: Aljazeera / The Guardian / Anadolu Agency / Hurriyet Daily News