Hidup Jadi Mudah Dengan Sedekah – Ika Radiusite

 

Hidup Jadi Mudah Dengan Sedekah – Ika Radiusite

Sebaik sahaja saya dan beberapa rakan lain melangkah masuk ke pejabat Radiusite di Rawang, kami disambut dengan senyuman manis dari insan yang bakal berkongsi kisah kejayaannya iaitu A’tikah. Saya kira senyuman inilah juga yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang menjadi tetamunya. Senyuman yang sangat positif dan berkarisma.
Beraura positif. Itulah respon pertama penulis terhadap A’tikah sebaik sahaja beliau memulakan bicara  dan mengatur kata-kata. Jika dilihat pada penampilannya yang sederhana dan tutur kata yang merendah diri pasti ramai yang tidak menyangka yang beliau adalah CEO kepada syarikat Radiusite dan beberapa perniagaan lain.
Menjadi Ika Yang Sekarang
Memulakan cerita bagaimana wanita kecil molek ini menjadi ‘saudagar’ tudung, beliau menceritakan sebenarnya apa yang beliau lakukan sekarang ini sama sekali tidak ada kena mengena dengan apa yang beliau belajar di universiti dahulu. Semuanya bermula dari sebuah perasaan yang bernama minat. Minat ini sebenarnya tanpa beliau sedar sudah tumbuh ketika masih di bangku sekolah lagi.

“Masa belajar dulu jual kuih raya. Jual tu bukan nak untung tapi disebabkan rasa seronok.” A’tikah mengimbau kembali bagaimana beliau melatih diri berniaga kecil-kecilan ketika masih kecil.

Mengimbau kembali saat-saat beliau berjualan ketika masih belajar, dari berjualan buah potong sehinggalah kepada minyak wangi. Semua itu dilakukan bukan kerana ingin meraih keuntungan. Tetapi disebabkan setiap kali ada orang yang membeli darinya, timbul rasa keseronokan.
Saya kira ketika itu A’tikah bukanlah seorang pelajar yang skeptikal seperti mana pelajar-pelajar lain yang mengharapkan duit pinjaman PTPTN atau wang belanja dari ibu bapa. A’tikah dari pandangan saya adalah seorang yang pandai berdikari dan suka pada cabaran. Beliau boleh sahaja memilih untuk memberi tumpuan kepada pelajaran sehingga tamat ijazah dan memohon kerja setelah menamatkan pengajian sambil menikmati gaji bulanan yang tetap. Namun A’tikah tidak melalui jalan itu.

Beliau mulakan apa yang beliau miliki sekarang ini ketika masih belajar di universiti lagi iaitu ketika beliau masih berumur 21 tahun. Beliau tidak mahu tenggelam dalam rutin harian yang hanya mengadap buku sahaja. Tetapi beliau merasakan bahawa ada sesuatu yang lebih besar boleh dicapai walaupun bergelar seorang pelajar.

Seminggu Untung RM500
Tahun 2009 adalah tahun dimana perniagaan secara online mula menjadi budaya dalam kalangan masyarakat kita. Kesedaran orang ramai tentang konsep membeli belah secara online menjadi semakin luas. Tahun itu juga A’tikah didatangi oleh seorang kawannya dan mencadangkan sesuatu.
“Kawan Ika datang dan cakap kenapa tak jual tudung? Sekarang shawl tengah in. Cubalah!” Kawannya cuba meyakinkan A’tikah.
A’tikah juga merasakan perkara yang sama. Tanpa berfikir panjang beliau ke Jalan Tunku Abdul Rahman untuk survey dan mencari stok-stok tudung yang mahu dijual. Walaupun tidak pasti bagaimana sambutannya nanti, beliau redah juga dan percaya pada rezeki. Dalam perniagaan harus mengambil risiko dan peluang. Katanya kalau takut untuk mengambil risiko dan malu untuk mencuri peluang, jangan berkira-berkira untuk menjadi usahawan.
Selepas itu, hampir setiap minggu beliau ke Jalan TAR untuk mendapatkan design-design shawl yang terbaru. Percaturan beliau menjadi apabila jualan shawlnya di blog mendapat sambutan diluar jangkaan. Namun disebabkan design-design shawl cepat berubah maka beliau perlu cepat menghabiskan stok.
“Masa tu saya boleh buat keuntungan seminggu RM500. Sebab itulah saya decide tak nak kerja makan gaji dan teruskan meniaga. Tapi keluarga masa tu tak setuju.” Keterujaan jelas terpancar di wajah A’tikah apabila penat lelah beliau ketika itu akhirnya berbaloi.
Bukan Milik Kita
Bila disuakan dengan persoalan sedekah ayat pertama yang terpancul dari bibir yang tidak malap dengan senyuman itu adalah :
“Semua ini bukan hak milik kita.”
Sebelum mengingatkan pada orang lain A’tikah selalu mengingatkan pada dirinya sendiri bahawa rezeki yang Allah bagi pada hari ini sebenarnya bukan hak miliknya. Apa yang ada di dalam poket dan bank kita itu tidak terjamin menjadi milik kita. Pesanan ini lalu mengingatkan saya akan kata-kata seorang ustaz:
“Apa yang ada dalam poket kita itu bukan hak kita. Tetapi yang pasti bahagian yang kita sedekahkan dari poket kita itulah yang kita punya.”
Berkongsi! Hidup ini adalah perkongsian. Dalam dunia perniagaan A’tikah tidak merasakan apa yang dimilikinya ini adalah hak miliknya kekal. Ada hak orang lain di dalamnya. Allah cuma memberinya sedikit kelebihan untuk menjaga hak orang lain melalui kejayaannya.

“Kita kena ingat Allah yang beri rezeki dan Dia boleh tarik bila-bila masa saja apa yang kita ada sekarang. Ada bahagian orang lain dalam rezeki kita. Maka kita kena bagi.”

Bahkan melalui jalan memberi inilah Allah menggandakan rezeki A’tikah sekeluarga. Rezeki ibu bapanya. Rezeki staf-stafnya. Seperti di dalam sekepinggan nasi, di situ adanya rezeki penanam padi yang menjadi beras. Di situ ada rezeki penternak ayam yang menjadi lauk. Di situ juga ada rezeki penamam kobis yang menjadi sayur.
“Apa yang Ika nampak, dengan berniaga rezeki tidak pernah putus. Walaupun sale ada turun naik tapi tetap ada rezeki sebab kita selalu memberi secara konsisten setiap bulan. Kalau kita memberi, Allah tak tunggu lama nak ganti balik apa yang kita sedekahkan. Malah digantikan dengan perkara yang lebih baik.” Ujar A’tikah.
Matematik Sedekah
Seperti pengasas-pengasas syarikat lain yang pernah berkongsi keajaiban sedekah, A’tikah percaya apabila kita mempermudahkan urusan orang lain, Allah tanpa berkira-kira akan mempermudahkan urusan kita. Jika selama ini urusan kita terasa susah, maka kita sudah punya jawapannya mengapa. Tanya hati dan ingat kembali bila kali terakhir kita memudahkan urusan orang lain?
“Bila kita memberi dengan niat untuk meringankan beban orang lain atau memudahkan urusan orang lain, Allah akan permudahkan urusan kita. Contohnya dikurniakan kakitangan yang memudahkan gerak kerja perniagaan kita. Dari situ hidup kita akan terasa terurus dan tenang.” Cerita A’tikah yang sangat yakin tentang kehebatan bersedekah.
Walaupun hakikatnya A’tikah dengan merendah diri mengakui marketing yang dijalankan tidaklah sehebat orang lain. Tetapi pada sudut lain terasa ‘ada’ yang membantu. Dengan memberi dan bersedekah, kelompangan yang ada pada bahagian marketing atau pengurusan lain ‘dibantu’ dan dipermudahkan oleh Allah. Lebih-lebih lagi kalau orang yang kita bantu itu adalah ibu bapa kita sendiri.
“Pernah dulu masa bisnes baru nak berkembang, kami dah niat baiki rumah mak dan ayah walaupun ketika itu kami langsung tiada duit. Tapi tak lama selepas itu rezeki mencurah-curah masuk.”
“Satu lagi peristiwa yang kami ingat, pernah satu ketika dahulu bil pos laju mencecah  RM4000 untuk diselesaikan dengan segera tapi ketika itu tak ada duit. RM4000 bagi kami ketika itu amatlah besar jumlahnya. Tapi sebabkan kami percaya dengan sedekah, semua itu kami langsaikan dengan mudah.”
Kata A’tikah, kadang-kadang kalau kita kira secara logik matematik, memang terasa tiada duit simpanan. Tetapi tidak pada matematik Allah. Lagi banyak kita keluarkan wang untuk bersedekah, lagi banyak yang akan kita dapat. Terma ‘lagi banyak’ itu juga subjektif. Tidak semestinya banyak dari segi wang ringgit dan angka-angka dalam buku bank, tetapi ‘lagi banyak’ kebahagian yang singgah ke dalam hidup kita.
Pre-Order Buku Ohsemnya Sedekah

Kisah penuh kejayaan A’tikah dalam membangunkan empayarnya boleh anda baca di dalam buku Ohsemnya Sedekah. Buku ini menceritakan kisah jatuh bangun 6 orang usahawan berjaya di Malaysia. Yang paling penting adalah bagaimana konsep sedekah membantu mereka untuk berjaya. Jangan lupa untuk dapatkannya. Pre Order dibuka! Sebarang tempahan boleh terus menghubungi wakil MVM – 013 834 3012 / 012 235 6854