Semalam wakil kami di Gaza turun ke khemah perlindungan Bilal bin Rabah di Deir Al-Balah. Bersama dengan mereka adalah makanan panas yang mencukupi untuk 5,000 orang. Semua ini adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui Muslim Volunteer Malaysia.
Wakil kami di sana memulakan agihan bantuan pada 6 Ogos 2024 bertempat di dapur tempat mereka memasak. Hari itu sahaja, seramai 3,000 orang telah dibekalkan dengan makanan panas.
Bantuan kemanusiaan MVM dilanjutkan lagi pada tarikh 7 Ogos. Untuk pengetahuan anda, ini adalah bantuan kali keempat. Kali pertama pada bulan Disember 2023 (bantuan ubat-ubatan dan makanan), manakala kali kedua dan ketiga pada bulan Mac dan April 2024 (bantuan iftar dan sahur Ramadan lalu). Tetapi bantuan bertarikh 7 Ogos 2024 adalah yang paling mengerikan berbanding sebelumnya.
Wakil kami telah selesai melaksanakan agihan makanan dan mengumpul maklumat penerima bantuan (ya, mereka tetap bekerja dengan baik walaupun situasi mereka amat buruk). Mereka juga telah keluar dari kawasan khemah perlindungan.
Tidak berapa jauh dan beberapa jam selepas mereka keluar dari lokasi, kawasan tersebut bergegar. Bunyi yang kuat dan menakutkan serta-merta merebak di udara. Tiga serangan roket rejim penjajah dilihat membadai kawasan tersebut.
Boleh anda bayangkan keadaan mereka? Sudahlah barang bantuan ditahan dan dirosakkan, entah sempat menghabiskan makan atau tidak.
Ketika serangan roket kejam itu ditujukan ke kawasan khemah, Malaysia sedang lena (jam 2 pagi waktu tempatan).
Pasukan kami selamat, tetapi kesan daripada apa yang mereka saksikan di depan mata akan kekal bersama mereka selama-lamanya.
Wakil kami termasuk jurukamera yang masih hidup sempat mengambil beberapa gambar keadaan. Jika kawasan tersebut hancur, bayangkan warga di situ yang baru sahaja kami temui sewaktu agihan makanan sebelumnya.
Kami sedar setiap hari Gaza masih sama. Kami berkongsi kerana kami tidak boleh mengabaikan penderitaan berterusan mereka yang telah kehilangan segala-galanya. Keadaan mereka amat teruk, dan keperluan untuk hidup sentiasa di ambang kritikal.
Kami memohon anda untuk mengutuk tindakan keganasan ini dan terus menyokong mereka yang terperangkap di dalam plot pembunuhan yang semakin menghampiri satu tahun dari sekarang.
Bersama-sama, kita mesti terus berjuang untuk dunia di mana tiada siapa yang perlu hidup dalam ketakutan, di mana setiap manusia mempunyai hak untuk keselamatan, maruah, dan keamanan.
Leave a Reply
View Comments