Bantuan Salam : Syawal Yang Dinanti Oleh Seorang Pesakit Kanser Tahap Empat
Sambutan Syawal yang bakal tiba pasti lebih manis bagi seorang penghidap kanser rahim tahap empat, Puan Idayu yang telah terpisah dengan ibu kandungnya sejak 41 tahun yang lalu.
Kedatangan kali kedua kami disambut dengan senyuman manis oleh Puan Idayu yang kelihatan semakin bersemangat daripada pertemuan sebelumnya.
Puan Idayu yang berusia 43 tahun merupakan penghidap penyakit kanser rahim sejak tahun lepas dan kini telah selesai menjalani rawatan kimoterapi.
Apa yang membuat jiwa kami meruntun dengan kisah Puan Idayu apabila suami yang diharap mampu meniti hari tua bersama meninggalkannya tanpa sebarang berita selepas mengetahui sakit yang dihadapi oleh beliau.
Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, Puan Idayu tetap redha menerima takdir yang ditetapkan Allah dan memilih untuk terus hidup bahagia bersama tiga orang anaknya walaupun beliau kini terpaksa membesarkan amanah Allah ini sendirian.
Biarlah apa orang nak kata apa, yang penting saya akan memastikan perut anak saya menjadi keutamaan
Ramadhan memberi sinar baharu buat Puan Idayu apabila ibu yang terpisah sejak sekian lama berjaya dihubungi dan akan meraikan Aidilfitri bersama-sama di kampung halaman di Air Hitam, Johor pada Syawal ini.
Alhamdulillah, unit MVM telah berjaya mengumpulkan tajaan dan menyerahkan kepada Puan Idayu. Antara bantuan yang diberikan adalah seperti berikut :
- Susu
- Bahan mandian
- Barangan asas dapur
- Bantuan kewangan
Terima kasih kepada penderma yang menyumbang kepada Puan Idayu yang dapat membantu serba sedikit beban keluarga serta memenuhi keperluan Puan Idayu.
Sama-sama kita doakan kesihatan Puan Idayu bertambah baik dan boleh menjalani kehidupan lebih bahagia bersama keluarga tercinta selepas ini. InshaaAllah.