Al-Quds Kembali ‘Berdarah’, 17 NGO Sasar Kumpul RM10 Juta Untuk Al-Aqsa

Oleh: NUR ADNIN ABDUL RAZAK

Kumpulan Mempertahankan Al-Aqsa Malaysia atau MyAqsaDefenders menyasarkan kutipan sumbangan kecemasan sebanyak RM10 juta untuk disalurkan ke Palestin ekoran isu krisis kemanusiaan yang terjadi baru-baru ini.

MyAqsaDefenders yang juga merupakan gabungan 17 badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan memaklumkan, bantuan tersebut akan dibahagikan melalui bantuan kecemasan, bantuan jangka masa sederhana dan bantuan jangka masa panjang di mana sejumlah RM2 juta telah berjaya dikumpulkan setakat ini.

“Daripada jumlah tersebut, dana sebanyak RM1 juta telah pun disalurkan bagi memenuhi keperluan membaik pulih Klinik Al-Aqsa yang terjejas di samping memastikan stok ubat dan juga keperluan rawatan kecemasan sentiasa tersedia termasuk alatan seperti ventilator bergerak.

“Sebahagian daripada juga telah dimanfaatkan untuk bantuan kewangan segera kepada muratibin Al-Quds, bayaran kos guaman mereka yang telah ditangkap sama ada dalam insiden Al-Aqsa atau Perkampungan Syeikh Al-Jarrah, serta kafalah sara hidup penduduk Kota Lama Al-Quds,” maklumnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, RM1 juta seterusnya pula turut telah diperuntukkan bagi bantuan membaik pulih infrastruktur dan juga rumah penduduk di Kota Lama Al-Quds dalam usaha untuk memastikan mereka dapat terus bertahan dan mengekalkan demografi rakyat Palestin di kawasan tersebut.

Jelas MyAqsaDefenders, pertambahan jumlah bantuan akan seiring dengan jumlah sumbangan yang diterima dari semasa ke semasa, selain pelan perancangan strategik jangka masa panjang seperti pembangunan kekuatan ekonomi, wakaf dan juga pendidikan akan turut diberikan perhatian.

“Selain itu, kempen serangan siber juga dilancarkan dengan meminta rakyat Malaysia menularkan hantaran di laman sosial bersama hashtag #ShameOnIsrael dan #IsraelKoyak bertujuan untuk mengutuk tindakan yang dilakukan Israel ke atas penduduk Palestin dan juga Masjid Al-Aqsa.

“Kempen ini berjaya tular serta memberi impak kepada Israel di Facebook, Instagram dan juga Twitter sehingga carian maksud perkataan ‘koyak’ turut meningkat di laman sesawang,” tambah kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia digesa untuk melihat isu Palestin tersebut bukan sekadar daripada sudut pandang hal keagamaan, namun juga terkait dengan ketidakadilan, pencabulan hak asasi manusia serta krisis kemanusiaan sejagat.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia dengan kepelbagaian latar agama dan kaum untuk bersuara serta menyokong perjuangan Palestin dalam menuntut dan mempertahankan hak mereka yang dirompak sejak tujuh dekad yang lalu.

“Justeru itu kami mengalu-alukan penglibatan dan sokongan mana-mana institusi, badan bukan kerajaan (NGO), tokoh-tokoh berpengaruh dan para selebriti untuk bersama menanam tekad mempertahankan Masjid Al-Aqsa dan Kota Al-Quds,” jelasnya

Gabungan MyAqsaDefenders dianggotai 17 NGO iaitu Cinta Gaza Malaysia (CGM), Global Peace Mission (GPM) Malaysia, MAPIM Malaysia, Malaysia For Syria (MFS), Iman Care, Pertubuhan Wilayah Ummah Malaysia (One Nation), Azhar Care, Pertubuhan Dana Kita, Murtadha Dakwah Centre (MADAD), Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Cinta Syria Malaysia (CSM), MyFundAction, Philandure, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Warga Cakna dan Cakna Palestin.

Dalam masa sama, gabungan tersebut turut disertai beberapa selebriti tanah air dan ‘influencer‘ seperti pasangan penyanyi adik-beradik, Helize Helmi dan Hazwana Helmi; pasangan selebriti, MizzNina dan Noh Salleh (MinQalby Foundation); penyanyi isu-isu kemanusiaan, Faizal Tahir (IamFaithMen); badan dakwah, Info Taqwa Malaysia; pengacara terkenal, Fedtri Yahya; pendakwah program realiti Imam Muda, IM Fakhrul dan pengacara, Dahlia Syazwan.

Sumbangan kecemasan boleh disalurkan terus kepada mana-mana NGO yang tersenarai di atas. Orang awam juga boleh menyalurkan sumbangan kepada MVM melalui kempen Emergency Appeal For Palestine 2021 di pautan www.donation.mvm.org.my atau hubungi wakil MVM di talian 012-2356854.