“Sahabat Kami Di Gaza”

Sewaktu Dr. Ahmed Moghrabi masih rancak bercerita, ada di antara kami yang mula mencari maklumat hospital tempat terakhir beliau berkhidmat. Tujuannya satu, ingin melihat adakah hospital tersebut masih beroperasi ketika ini – 5 Julai 2024.

Kejutan Besar

Rupa-rupanya di perkarangan Kompleks Perubatan An-Nassr inilah kuburan besar lebih 300 syuhada ditemui. Ia seiring dengan cerita Dr Ahmed Moghrabi saat hospital tersebut tiba-tiba diserang dan dikepung secara brutal oleh rejim penjajah berhati iblis. Tidak cukup dengan kesibukan di hospital itu yang sejak 7 Oktober 2023 menerima lebih 300 pesakit setiap hari, kepungan rejim terus melumpuhkan keseluruhan operasi hospital.

Saat beliau menceritakan detik-detik staf, pegawai perubatan, orang awam dan pesakit yang dikepung dalam serangan serta penculikan rejim, beliau menceritakan dengan mata yang hidup. Walaupun kenyataannya beliau melihat kami di skrin, mata beliau bergetar seperti trauma berat itu diulang siar di hadapannya. Selaku saksi yang terselamat, beliau tetap tidak mampu menanggung kekejaman itu meskipun sudah beberapa bulan meninggalkan Gaza secara terpaksa.

Survival Baru

Siapa sangka selepas hampir lima bulan bertugas secara terkejar-kejar di hospital tersebut sehingga mengganggu mental serta emosi, bukan anugerah yang diterima tetapi gelaran baru – pelarian. Sejak terpaksa meninggalkan Gaza, tiada lagi gelaran Ketua Jabatan Pembedahan Rekonstruktif pada namanya. Beliau dan keluarganya kini adalah pelarian yang berlindung di Rafah.

Tanpa peperangan, hidup beliau dan sebahagian warga Gaza yang mencari perlindungan di situ tetap menyedihkan. Kekejaman rejim penjajah meranapkan seluruh kepunyaan mereka. Rumah, harta benda dan paling penting, dokumen. Tanpa dokumen mereka adalah John Doe dan Jane Doe yang terperangkap di dalam limbo. Mereka akan dinafikan kerja. Anak-anak mereka pula pasti akan dinafikan hak pendidikan. Untuk ke mana-mana pasti mustahil sekiranya tiada pihak berwajib yang mahu membantu.

Kami lekas-lekas bertanya apakah keperluan orang-orang Gaza seperti beliau yang berada di Rafah, “Sumber kewangan dan bekalan kami pasti akan habis sekiranya kami tidak boleh bekerja.” Jawab beliau.

Kami faham benar kerana kami telah melihat apa yang berlaku di kalangan pelarian di negara lain yang majoritinya hidup melarat. Meskipun bantuan datang setiap tahun, ia tidak pernah cukup. Lagi-lagi apabila bilangan mereka semakin ramai.

Setiap kali beliau gagal menyembunyikan kekesalannya terhadap pemimpin negara-negara Arab yang tidak tampil membantu, kami memahaminya sekali lagi dalam diam yang panjang.

Setelah mendengar perkongsian beliau, kami tidak mahu sekadar menjadi seperti media barat yang menjadikan trauma beliau sebagai cerita sensasi semata-mata. Sedangkan kisah beliau sebenarnya adalah seruan untuk kita semua bertindak. Kami percaya kita tidak boleh menutup mata terhadap penderitaan pelarian perang. Perjuangan mereka adalah nyata, dan keperluan mereka sangat mendesak.

Setelah bertanya lanjut, dengan persetujuan beliau, kami melancarkan projek bantuan kemanusiaan musim sejuk Gaza (Gaza dan Mesir) serta Syria 2025. Bersama-sama kita membantu mereka.

:: Dr Ahmed Moghrabi adalah sahabat kepada Ketua Pegawai Operasi MVM

 

Regards;
Jie Suzilawati Abdullah