SINAR RAMADAN
Kami sedang meneliti senarai barang-barang keperluan makanan untuk dibeli bagi projek yang sedang berjalan. Sedar-sedar, kami terdiam ketika melihat harga barang-barang yang sekarang, hmmm rasanya anda pun tahu. Terus, kami terfikir lagi. Kalau di tempat yang jauh begini pun dengan komunitinya yang bekerja biasa-biasa dan ramai asnaf serta B40, belum lagi dikira jumlah ahli keluarga yang ramai untuk ditanggung, harga barang-barang sudah begini mahal, bagaimana pula di tempat lain?
Ia hanya sedikit ingatan yang membuatkan hati kami tercuit, tetapi telah membuatkan fikiran kami terbang jauh memikirkan ramai orang di tempat lain. Belum lagi jika mengambil kira jumlah permohonan yang kami terima daripada ketua keluarga yang merayu bantuan makanan asas. Rata-ratanya sedang berdepan kesempitan kewangan yang mereka alami sejak kehilangan kerja.
Ada sebahagian permohonan pula, pemohonnya hilang upaya mahu membuat pilihan kerana keadaan keluarga yang benar-benar kesulitan. Situasi seperti ini selalu memaksa kami membuat keputusan bagi pihak mereka selepas mengambil kira pelbagai perkara. Sama ada menyalurkan keperluan makanan atau keperluan anak-anak seperti pampers dan susu kerana jumlah bantuan yang mampu kami salurkan terhad. Jika ada yang berkata corona virus telah mengubah sinematografi kehidupan rakyat Malaysia, jujurnya kami sedang melihat kesan itu.
Ramadan yang Dinanti
Ramadan datang setiap tahun, lalu tahun ini apa yang kami harapkan? Walaupun Ramadan sinonim dengan program makanan seperti edaran kotak makanan asas, program iftar, agihan bubur lambuk malah sedekah juadah, Ramadan adalah bulan yang selalu dinanti kerana peluang menjadi pemberi dan beramal dalam bulan ini pahalanya berganda.
Bagi sesetengah penerima manfaat pula, ia adalah bulan yang mungkin hanya sekali dalam setahun mereka akan bergembira kerana mendapat peluang dibantu serta diraikan. Di sinilah harapan kami sebagai sebuah organisasi kebajikan yang sederhana kecil ini.
Manisnya Sumbangan, Ringannya Beban
Sebaik sahaja hasrat kami untuk membantu menyalurkan keperluan Ramadan kepada asnaf dan B40 di seluruh negara disusun dalam projek yang kami panggil MVM Rover Jejak Masjid (MRJM): Sinar Ramadan, kami terus bergerak bermula bulan Februari lalu. Bersama-sama kami adalah sukarelawan yang berada di setiap negeri yang berbesar jiwa untuk menjadi jurutera projek. Kami terharu, sungguh kerana MRJM: Sinar Ramadan ini proses dan gerak kerjanya adalah secara jarak jauh. Kami di Selangor, sukarelawan pula jauh-jauh.
Alhamdulillah sehingga hari ini, pelbagai proses yang berkaitan sedang berjalan dengan kesungguhan semua pihak. Selain daripada kami dan sukarelawan, anda juga diperlukan untuk menjadi sebahagian daripada komuniti kecil kami, iaitu sebagai dermawan bagi mencukupkan kos projek yang kami perlukan. Berapa pun nilai yang anda ada, sekalipun hanya melalui sumbangan kecil bernilai satu ringgit ia tetap mampu mengubah keadaan. Satu ringgit daripada anda, kawan-kawan serta ahli keluarga yang lain dapat menaja banyak keperluan untuk keluarga yang memerlukan.
“Kita buat mereka gembira dapat berpuasa dengan kecukupan, beraya dalam kegembiraan”
Leave a Reply
View Comments