“PURE HEART BUKA KAUNTER PEMERIKSAAN MATA BUAT ASNAF”

Pagi Sabtu hari ini secantik cahaya matahari yang belum panas. Sejak semalam, barisan sukarelawan yang berkelapangan dan ringan tenaga telah bersama-sama kami menguruskan program Pure Heart siri 2 musim akhir.

Program sama, istimewanya di mana?

Seri kami hari ini adalah pemeriksaan mata percuma untuk semua penerima manfaat. Ia peluang tanpa syarat buat semua orang yang ingin tahu tahap kesihatan mata mereka. Inisiatif ini digerakkan di bawah tabung Projek Salam yang merupakan nadi bantuan kesihatan MVM.

Sasaran kami bagi projek khas “Can You See Me” adalah anak-anak yang memerlukan bantuan cermin mata, baik yang terkesan oleh PDPR atau selainnya serta ketua keluarga yang masih bekerja dan memerlukan cermin mata supaya produktiviti kerja mereka lebih baik.

Program yang menggabungkan dua jenis bantuan iaitu bantuan makanan asas dan kesihatan mata kali ini merupakan yang pertama dikendalikan oleh MVM dan sukarelawan kami. Malah ia turut disokong oleh pusat optik yang bersama-sama kami pada ketika ini melakukan pemeriksaan mata.

Sukarelawan MVM dan Sukarelawan dari PERWANIS sedang membungkus barangan asas pada Jumaat petang sehari sebelum program.

Untuk anda yang berada jauh dari kami hari ini, anda tetap berpeluang untuk turut serta. Kongsikan coretan ini bersama galakan menyumbang kepada kenalan terdekat anda di media sosial sebagai tanda sokongan supaya lebih banyak projek-projek keperluan sebegini dapat di laksanakan pada masa akan datang.

Penulis: Jie