MUNGKIN ramai tertanya-tanya, bagaimanakah situasi pandemik Covid-19 di wilayah bergolak seperti di Gaza, Palestin sekarang, bukan? Kita yang hidup aman sejahtera di Malaysia mungkin tiada masalah, tapi mereka?
Pengasas Cinta Gaza Malaysia (CGM) yang juga satu-satunya rakyat Malaysia yang tinggal di Gaza, Nadir Al-Nuri ada berkongsi maklumat semasa mengenai situasi Covid-19 di Gaza menerusi satu perkongsian di Facebooknya baru-baru ini.
Nadir menjelaskan, situasi pandemik di sana tidaklah terlalu membimbangkan memandangkan pergerakan keluar masuk penduduk dari Gaza sangat terhad. Ini bermakna, risiko penyebaran jangkitan dari luar Gaza adalah minumum.
“Semasa perang 11 hari Saiful Quds, prosedur operasi standard (SOP) diringankan kerana penduduk meletakkan keutamaan menyelamatkan nyawa daripada roket dan bom serta menyelamatkan nyawa mangsa perang. Selepas perang, SOP masih diringankan kerana penduduk terlalu sibuk membangunkan semula Gaza.
“Ketika perang, kementerian kesihatan yang sebelumnya mengiklankan jumlah positif Covid-19 setiap hari beralih (kepada) mengiklankan jumlah syuhada’ yang terkorban dan cedera setiap hari. Walau bagaimanapun, saf solat di masjid sehingga kini masih lagi dijarakkan,” katanya.
Dalam pada itu, SOP mula diketatkan semula apabila kerajaan telah meluluskan kebenaran masuk ke sebahagian pusat beli-belah dengan kewajipan memakai pelitup muka, selain pegawai kerajaan dan pemilik premis perniagaan turut diwajibkan mengambil vaksin.
Malah tambahnya, kerajaan juga mengambil inisiatif membuat cabutan bertuah untuk mereka yang mengambil vaksin sebagai usaha menggalakkan penduduk untuk mengambilnya. Hasilnya, puluhan ribu penduduk dapat divaksin setiap hari.
“Jenis vaksin yang ada sama ada Sputnik, Pfizer, Moderna dan lain-lain bergantung kepada sumbangan dari negara yang memberikannya kepada Palestin.
“Di Gaza, akibat kejahilan, sebahagian kecil penduduk takut untuk mengambil vaksin atas alasan kesan kepada kesihatan.
“Tetapi tidak pernah kedengaran orang menolak vaksin kerana takut ia agenda Iluminati dan Freemason, apatah lagi projek Yahudi dan WHO untuk membunuh umat Islam,” tambahnya lagi.
Nadir berkongsi sedemikian selepas dirinya selesai menerima suntikan vaksin dos pertama Moderna bersama-sama seluruh kakitangan Wisma Malaysia baru-baru ini.
Untuk rekod, Palestin (termasuk wilayah Tebing Barat) mencatatkan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak lebih 336,000 kes dengan hampir 3,700 kematian setakat ini.
Sumber artikel:
Facebook Nadir Al-Nuri
Leave a Reply
View Comments