Hadiah Buat Malaysia, Rakyat Palestin Namakan Jalan Di Bandar Gaza Dengan Nama ‘Malaysia Street’

Kredit gambar: Nadir Al-Nuri

SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, sambutan Hari Merdeka biasanya dimeriahkan dengan perarakan aset pertahanan negara, julangan bunga api ke udara, kibaran megah Jalur Gemilang dan sebagainya.

Namun jauh di tanah suci Palestin semalam, nama ‘Malaysia’ sebaliknya pula diabadikan sebagai nama jalan yang terletak di tengah-tengah bandar Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, penamaan jalan tersebut adalah sebagai tanda peringatan rakyat Gaza buat Malaysia.

“Inilah hadiah paling besar Palestin buat kita bersempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke-64 pada tahun ini. Sebahagian tanah Palestin kini dinamakan dengan nama negara kita, Malaysia.

Malaysia Street ini terletak di salah sebuah jalan penting di tengah bandar Gaza, berdekatan himpunan universiti, bangunan-bangunan kerajaan dan agensi antarabangsa di sini.

“Pemilihan lokasi ini menandakan penghargaan terhadap persaudaraan dan solidariti kita bersama mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Perasmian papan tanda ‘Malaysia Street’ pada semalam. | Kredit gambar: Nadir Al-Nuri

Jalan ‘Malaysia Street’ itu dirasmikan oleh Datuk Bandar Gaza, Dr. Yahya As-Sarraj dan turut hadir selain Muhammad Nadir adalah Pengarah MyCare di Gaza, Dr. Ziad Shehadah serta rakan-rakan media tempatan.

“Tahniah Malaysia! Kita sudah bertapak di Palestina!” tambah Nadir lagi.

Sementara itu, penamaan dan perasmian jalan Malaysia Street itu juga turut dikongsikan oleh Pengerusi Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran.

Muslim memaklumkannya menerusi satu ciapan di Twitter pada semalam.

“Majlis Perbandaran Gaza menamakan sebatang jalan di daerah barat Gaza sebagai ‘Malaysia Street’ bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia, hari ini (semalam).

“Lokasi (jalan ini ialah) berdepan dengan Bulatan Ansar, barat kota Gaza,” katanya di Twitter semalam.

Kewujudan Malaysia Street di Gaza itu melambangkan kejayaan Malaysia dalam membina hubungan diplomasi yang lebih baik bersama Palestin.

Sumber:

1- Facebook Nadir Al-Nuri

2- Twitter Muslim Imran