Atlet Gimnas Wanita Jerman Pilih Bersut Penuh, Satu ‘Tamparan’ Buat Negara Islam Lain?

Kredit: Time Magazine

Temasya sukan antarabangsa Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung sejak minggu lepas menampilkan pelbagai kejutan baharu. Antara yang menarik perhatian adalah giliran perarakan kontinjen setiap negara yang tidak menggunakan susunan abjad Roman A-Z, sebaliknya mengikut huruf Jepun, Hiragana.

Malah selain itu, Jepun yang cukup terkenal dengan daya kreativitinya yang tinggi turut mempersembahkan montaj jenis-jenis acara yang dipertandingkan menggunakan konsep pictogram ‘hidup’ yang menyamai ‘orang bayang-bayang’ dalam rancangan hiburan ‘legenda’ mereka, Masquerede.

Namun di sebalik kemeriahan setiap sukan yang berlangsung ini, ada satu perkara yang menarik perhatian seantero dunia, iaitu aksi atlet gimnas Jerman yang mengenakan sut penuh menutupi hampir keseluruhan badan serta tidak lagi terlalu ‘mendedahkan’ anggota badan seperti kebanyakan atlet gimnas lain.

Ketiga-tiga atlet berkenaan, Sarah Voss, 21; Elisabeth Seitz, 27; Kim Bui, 32, dan  Pauline Schaefer, 24, memilih untuk memakai sut badan penuh ketika acara gimnas di Olimpik Tokyo 2020 . Hal ini adalah kerana mereka mahu membanteras elemen-elemen seksualiti yang wujud dalam sukan, khususnya melibatkan pakaian atlet wanita.

Barisan atlet gimnas Jerman yang berpakaian sut penuh | Kredit: Express/GETTY

Dalam masa sama, atlet gimnas Jerman ini juga mahu mempromosikan kebebasan hak untuk memilih dalam kalangan wanita. ‘Hak’ di sini adalah mengenai kebebasan mereka untuk mengenakan pakaian yang sesuai dan selamat. Ini berikutan insiden atlet bola tampar wanita Norway yang didenda sebelum itu gara-gara menolak untuk berpakaian bikini sewaktu acara berlangsung.

Keputusan mereka memakai sut badan penuh ini bukanlah perkara baharu. Semasa Kejohanan Gimnastik Artistik Eropah yang berlangsung pada April lalu, salah seorangnya, Sarah Voss telah memulakan revolusi ini atas tujuan yang sama, iaitu menentang unsur seksual. Malah ‘perjuangan’ mereka ini turut disokong oleh The German Federation sendiri.

Memetik ulasannya semasa ditemubual pemberita, Sarah Voss berkata, deria sensitivitinya terhadap anggota tubuh yang terdedah (bahasa mudahnya, aurat) mula terpancar apabila dia sudah ‘matang’. Katanya, ketika zaman kanak-kanak dahulu, pemakaian sut gimnas yang ketat dan terdedah bukanlah satu masalah, namun persepsi itu berubah apabila dia meningkat remaja.

Atlet gimnas Jerman, Sarah Voss yang bersut penuh semasa beraksi dalam Kejohanan Gimnastik Artistik Eropah April lalu | Kredit: BBC

Baginya, sut yang ketat itu agak tidak selesa untuk dipakai, apatah lagi ia jelas mendedahkan anggota tubuh kepada umum sekaligus menimbulkan unsur seksual. Dalam masa sama, Sarah berpendapat sut gimnas yang bertutup penuh lebih selamat melindungi tubuh dan kesihatan kulitnya. Padanya, sut tersebut lebih kelihatan elegan dan meyakinkan.

Malah mereka juga ingin menjadi contoh kepada atlet wanita yang lain tentang kesedaran melindungi anggota tubuh dalam acara sukan. Kata mereka, semua atlet wanita berhak untuk memilih kebebasan (khususnya) dalam soal keselamatan berpakaian demi menghindari diri daripada ‘ancaman’ seksualiti.

Satu tamparan buat negara Islam lain?

Secara kasarnya, Jerman bukanlah negara yang diklasifikasikan sebagai negara Islam. Jika mengikut statistik, majoriti penduduk Jerman adalah beragama Kristian, sama ada Roman Katholik, Protestan dan Ortodoks, diikuti dengan sebahagian kecil golongan athies. Namun agama kedua terbesar yang dianuti rakyatnya ialah Islam.

Selain itu, Jerman juga merupakan negara yang memiliki populasi Muslim kedua terbesar di Eropah. Data demografi Statista pada 2016 mencatatkan, Perancis mempunyai populasi Muslim tertinggi di Eropah dengan 5.7 juta orang, diikuti Jerman dengan 4.9 juta, United Kingdom 4.1 juta, Itali 2.8 juta dan Belanda 1.1 juta.

Wajah penduduk Muslim di Jerman | Kredit: Robert Bosch Stiftung/Google

Mungkin kedengaran agak janggal apabila negara Eropah seperti Jerman yang jarang dianggap sebagai ‘negara Islam’ ini menampilkan atlet wanitanya dengan berpakaian menutup badan. Definisi ‘negara Islam’ itu pula umumnya dikaitkan dengan negara yang diduduki penduduk majoriti Muslim seperti di Timur Tengah dan rantau Asia Tenggara (Nusantara).

Namun berbeza dengan Jerman, terdapat sebilangan atlet wanita dari negara Islam ini sendiri yang tidak mengamalkan ‘prinsip’ yang sepatutnya. Hal ini telah menjadi perdebatan sesetengah pihak tentang bagaimana Jerman selaku ‘negara bukan Islam’ mampu membuat sesuatu yang tidak mampu dibuat oleh ‘negara Islam’ sendiri.

Isu ini harus dipandang daripada pelbagai sudut dan perlu dibincang secara ilmiah. Berpandukan contoh terdekat iaitu Malaysia sendiri, pihak kerajaan khususnya Majlis Sukan Negara dicadangkan untuk merangka semula protokol pemakaian khas bagi atlet wanita Muslim. Ini bukan soal menongkah arus perdana, bukan juga mahu mencampurkan nilai agama semata-mata.

Isu pemakaian atlet wanita Muslim ini sebaliknya perlu dibahaskan mengikut hujah umum yang dipercayai boleh ‘meyakinkan’ semua pihak. Misalnya Jerman sendiri, mereka bertindak sedemikian tidaklah kerana ‘hukum aurat’ sebab mereka bukannnya Muslim. Tapi mereka menilainya daripada sudut pandang lebih umum iaitu soal ‘sensitiviti wanita’ dan ancaman unsur seksualiti.

Peninju wanita Muslim US, Amaiya Zafar | Kredit: Instagram Carolineyangphoto

Pendek kata, semua atlet wanita tidak mengira agama mahupun bangsa perlu menyedari isu sensitiviti ini. Penampilan mereka di gelanggang adalah untuk berjuang demi negara, bukan untuk menjadi ‘bahan’ seksual oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang pernah diakui atlet gimnas Jerman sendiri.

Sejarah telah membuktikan penampilan menutup badan serta berhijab tidak menghalang seseorang atlet wanita itu untuk beraksi cemerlang. Ibtihaj Muhammad, atlet pedang US mampu meraih pingat gangsa semasa Olimpik Rio 2016, manakala Amna Al-Haddad, atlet angkat berat UAE pula pernah ‘tapau’ enam pingat emas dan tiga perak dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Mereka beraksi dalam keadaan berhijab dan mengikuti protokol pakaian atlet Muslim sebaiknya dan akhirnya mereka berjaya. Jerman pula berani membuat langkah awal melalui perubahan etika pemakaian atas dasar keselamatan seksual. Adakah ini satu tamparan buat kita?

Atlet angkat berat UAE, Amna Al-Haddad | Kredit: Step Feed

 

Sumber rujukan:-

1- German gymnastics team wears full-body suits at Olympics after Norway takes stand

2- German gymnasts’ outfits take on sexualisation in sport

3- Japanese women celebrate German gymnasts’ full body suits at Olympic Games

4- Germany population

5- Estimated Muslim populations in European countries as of 2016 

6- 10 Inspiring Hijabi Athletes Who Are Making History In The World