Bendera Putih: Sehelai Kain Lusuh Beribu Makna

Oleh: NUR ADNIN ABDUL RAZAK

Saban hari berita tentang tragedi bunuh diri semakin ‘memanaskan’ muka depan akhbar. Banyak kes bunuh diri yang dilapor melibatkan mereka yang dianggap sudah putus asa dengan kehidupan ketika pandemik ini.

Seperti yang kita lihat, ekosistem ekonomi negara yang menguncup akhir-akhir ini sangat membebankan ribuan rakyat, lebih-lebih lagi bagi mereka yang hidupnya cuma kais pagi makan pagi, kais petang malamnya belum tentu lagi.

Antara berita terkini yang semakin menakutkan adalah penutupan Hotel Istana yang selama ini menjadi salah satu ikonik di ibu kota, selain penamatan khidmat ratusan (mungkin ribuan) pekerja di pelbagai sektor ekonomi atas nama ‘pengecilan operasi’.

Senario ini jelas membuktikan bahawa negara sedang berdepan dengan ancaman baharu. Ini bukan lagi cerita tentang virus, varian baharu ataupun kluster, tetapi mengenai risiko yang lebih berbahaya iaitu pembunuhan mental.

Sampai satu tahap, rakyat sudah tidak mampu lagi ‘berfikir’ apa yang perlu disimpan untuk hari tua. Keadaan sangat genting, mereka sedang kritikal. Satu-satunya yang bermain dalam kepala hanyalah ‘apa yang ada untuk esok’.

Bendera putih: mesej umum beribu makna

Menyedari keadaan semakin mendesak, mungkin entah berapa ramai lagi yang mahu bunuh diri kerana tertekan, kempen kibar bendera putih secara tiba-tiba muncul di tengah kekalutan awam.

Secara umumnya, mengibar bendera putih membawa maksud bahawa sesuatu pihak itu sudah menyerah kalah dan sedia ‘ditawan’ atau dibuat apa sahaja ke atasnya gara-gara harapan yang pernah ada telah berakhir.

Namun bagi senario rakyat hari ini, bendera putih yang dikibar lesu di depan rumah itu sebaliknya sebagai satu mesej untuk meminta pertolongan daripada orang lain. Pendek kata, itulah pilihan terakhir yang ada.

Kempen ini dilihat menjadi satu fenomena baharu. Semakin hari semakin ramai yang terpaksa mengaku jujur bahawa mereka perlukan ‘talian hayat’ untuk bergantung hidup. Malu bukan lagi penghalang, apa yang penting adalah perut anak mesti diisi.

Tapi malangnya, kempen solidariti ‘rakyat untuk rakyat’ ini telah dimanipulasikan oleh golongan tertentu demi kepentingan mereka. Akhirnya rakyat sudah terkeliru yang mana perlu dibantu, yang mana sekadar ‘hantu’.

Dari rakyat untuk rakyat

Memang benar, kerajaan telah menyediakan pelbagai saluran untuk memohon bantuan hayat, ditambah lagi dengan usaha sesetengah badan bukan kerajaan (NGO) sebagai sumber alternatif.

Lanjutan moratorium selama enam bulan, Pakej Perlindungan Rakyat & Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dan beberapa lagi bentuk bantuan yang diberikan, ini semua adalah di bawah tanggungjawab kerajaan.

Namun jauh di lapangan masyarakat, mengibar bendera putih itu sudah cukup memadai bagi mereka. Setiap sehelai kain putih yang dinaikkan ke udara, ia umpama membunyikan siren pertolongan kecemasan.

Tidak perlu menghadap skrin untuk mendaftar itu dan ini, membaca segala terma dan syarat yang berjela-jela dan menandatangani perakuan, cukup sekadar mendengar siren itu dan bergegas ke depan pintu menghantar pertolongan walau cuma sekampit beras.

Pendekatan ini memang tidak rasmi, jauh sekali ‘diiktiraf’ oleh sistem undang-undang. Namun apakan daya, mereka sudah terlalu letih menghadap dunia yang pahit. Mereka tidak berdaya. Mereka ‘burn out’.

Jadi inilah masa yang tepat untuk rakyat turun padang dan saling membantu sesama mereka dalam tempoh paling singkat tanpa sebarang formaliti mahupun tingkatan birokrasi.

Akhirnya secara tidak langsung, solidariti ini berjaya menghidupkan kembali perpaduan yang sudah lama terjeda. Ini bukan lagi soal bangsa, bahasa atau agama. Ini soal kita sebagai rakyat yang hidup untuk apa.

 

-Nur Adnin Abdul Razak,
1 Julai 2021.